Tuesday, December 22, 2009

Itulah Politik Namanya

Jika kamu kesukaanku
semuanya baik belaka..,
Jika kamu berwang banyak
aku kata kuat kamu berusaha..,
Jika kamu berkereta lawa
aku kata itu berkat bekerja..,
Jika kamu berumah mewah
aku kata untuk tamu yang melimpah..,

Jika kamu kebencianku
semuanya dinilai celaka..,
Jika kamu berkereta lawa
aku kata kamu mengada-ngada..,
Jika kamu berumah mewah
aku kata itu duit rasuah..,
Jika kamu pilihanku
semuanya aku setuju..,
Jika kamu bercakap kasar
kata aku..kamu memang perlu diajar..,
Jika kamu cakap berputar
aku kata mereka itu yang celupar..,
Jika kamu berdusta
aku kata bohong mereka lebih berganda..,
Jika kamu bersumpah
aku kata itu tanda mereka bersalah..,
Jika kamu berdansa
itu hanya untuk rakyat bersuka..,
Jika kamu seteruku
semua tindakanmu aku palu..,
Jika kamu bercakap lunak
aku kata kamu memang nak berlagak..,
Jika kamu bercakap lurus
aku kata harapan kamu dah putus..,
Jika kamu bercakap benar
aku kata kamu hanya buat kelakar..,

Jika kamu bersumpah
aku kata kamu memang telah diupah..,
Jika kamu berzikir
aku kata kamu hanya cuba menyindir..,
Musuhku..semuanya haram
Pilihanku..semuanya harum
Ajaran Tuhan
jangan hukum ikut perasaan dan sangkaan
jangan hukum ikut kumpulan dan pasukan
hukumlah ikut Firman dan alasan..,
Ajaran syaitan
hukumlah ikut perasaan dan kebencian..,
Lihat dulu kawan atau lawan
bukan kata Tuhan atau sabda Junjungan..,

Maka, dunia pun bertukar
hukum menjadi putar-putar..,
siapa sahabat maka dia diangkat
siapa tak sepakat maka dia musibah..,
Pilihanku semuanya ditabal mulia
pilihanmu semuanya ditabal celaka..,
Tanya mereka
mengapa begitu jadinya..,
Jawabku
Itulah Politik Namanya...



~puisi oleh Dr. MAZA

Monday, December 21, 2009

Perkembangan Masyarakat Sivil Di Malaysia

Melihat kepada amalan sistem demokrasi di Malaysia secara keseluruhan, dapat dijelaskan bahawa kedudukan masyarakat sivil di negara ini tidaklah memenuhi ciri-ciri universal yang diterima sebagai sebuah bentuk masyarakat sivil yang ideal. Walaupun secara hakikatnya Malaysia mengamalkan pemerintahan demokrasi, akan tetapi terdapat juga atau wujudnya halangan-halangan masyarakat sama ada mengenai hak, kebebasan dan sebagainya melalui alat-alat undang-undang yang dimanipulasi oleh kerajaan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan banyak lagi. Melalui alat-alat inilah, pemerintah memanipulasinya untuk meningkatkan kuasa mereka.

Walau bagaimanapun, masyarakat sivil di Malaysia juga turut melalui perkembangannya dari semasa ke samasa untuk bertindak sebagai sebuah kesatuan dan organisasi yang bebas serta berjuang untuk kepentingan seluruh masyarakat. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi perkembangan masyarakat sivil di Malaysia. Antaranya ialah melalui struktur masyarakat Malaysia itu sendiri iaitu kaum, amalan demokrasi dan kestabilan politik. Selain itu, peranan media dan ketidaksamarataan ekonomi, politik dan sosial antara kaum juga merupakan faktor-faktor penting yang mempengaruhi perkembangannya.

Semenjak Malaysia mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957, adalah merupakan antara negara membangun yang stabil dari segi pelitiknya dan ekonomi. Kestabilan politik dan ekonomi tersebut dapat dicapai daripada kandungan struktur masyarakatnya yang berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya. Kejayaan pemerintah Malaysia iaitu Barisan Nasional mengekalkan kuasa politik banyak dikaitkan dengan strategi pemerintah memanipulasi isu kaum sebagai isu ekonomi-politik yang dominan dalam kerangka pembangunan dan perkembangan ekonomi dan politik di Malaysia.

Peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah banyak mengubah corak dan dasar kerajaan. Tun Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Ke-2 Malaysia, telah meletakkan dasar demokrasi ala Malaysia ekoran kejadian rusuhan kaum tersebut dan menerusi pentadbiran darurat selama hampir dua tahun oleh Majlis Gerakan Negara selepasnya (Saliha Hassan, 2000:220). Beliau menjelaskan bahawa negara ini perlu melahirkan satu demokrasi yang sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah negara membangun yang mempunyai komuniti di dalamnya. Beliau juga menganggap bahawa amalan demokrasi seperti di United Kingdom tidak sesuai dengan keadaan masyarakat tempatan. Keadaan ini telah menyebabkan terbentuknya sistem demokrasi acuan sendiri seperti yang diamalkan di Malaysia sekarang ini yang mana didalamnya banyak terkandung pelbagai jenis akta dan peraturan politik untuk tujuan mengawal, mengawasi, dan jika perlu menghapuskan cabaran-cabaran politik yang dianggap kerajaan sebagai halangan kepada agenda politik dan pembangunan negara.

Pengenalan akta dan peraturan tersebut yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah bertujuan untuk mewujudkan keselamatan dan kestabilan politik. Selain itu, ia juga akan menjamin persekitaran yang wajar bagi interaksi harmoni di antara kaum, membolehkan berlakunya pembangunan ekonomi yang mantap dan menjamin Malaysia diterima sebagai sebuah anggota yang dihormati di dalam kalangan komuniti antarabangsa. Sementara itu, dalam masa yang sama juga, kerajaan mengambil tindakan untuk memenuhi keperluan masyarakat seperti pembangunan ekonomi, kebajikan sosial, keselamatan, ketenteraman awam dan kestabilan serta ia juga memebuhi hasrat rakyat untuk ikut serta dalam proses politik melalui pilihanraya yang dijalankan menurut perlembagaan (Saliha Hassan, 2000:222).

Perkembangan masyarakat sivil di Malaysia juga banyak dipengaruhi oleh media sama ada media massa mahupun media elektronik. Misalnya, pada era 1980-an, akhbar berbahasa Inggeris, The Star dan tabloid Melayu, Watan telah memberi ruang yang banyak kepada perdebatan mengenai peranan masyarakt serta menerima sambutan yang baik dalam kalangan pembaca Inggeris dan Melayu dalam tempoh itu. Selain itu, terdapat juga banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti ALIRAN (Aliran Kesedaran Negara), CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang), ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), SGS (Selangor Graduate Society) dan lain-lain lagi yang sering mengkritik aspek-aspek amalan demokrasi yang menghadkan kebebasan asasi seperti kebebasan bersuara dan berpersatuan yang terdapat di negara ini serta menganjurkan pelbagai bentuk penerbitan dan penganjuran seminar, forum dan dialog tentang pengamalan demokrasi.

Peranan media juga dapat dilihat semakin berkesan pada era 1990-an dalam mempengaruhi perkembangan masyarakat sivil di Malaysia. Ini dapat dilihat berikutan peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia pada 2 September 1998. Peristiwa ini menyebabkan wujudnya pelbagai bantahan daripada masyarakat terhadap perkara ini yang mana dilihat berlakunya kezaliman, ketidakadilan dan salah guna kuasa oleh pemerintah yang disuarakan melalui pelbagai bentuk saluran khususnya melalui media seperti akhbar, televisyen, radio dan sebagainya. Sebagai contohnya, akhbar tabloid iaitu Suara Keadilan, Harakah, Siasah dan lain-lain lagi yang menyuarakan bantahan dan meminta keadilan terhadap perkara ini. Selain itu, kita juga dapat lihat kesepaduan dan kerjasama erat antara masyarakat sivil yang pelbagai bentuk dan isu perjuangan, keluar daripada kerangka kaum, serta jalinan aktiviti dengan masyarakat politik Malaysia yang telah memberi impak begitu berkesan yang mana muncul bukan sahaja sebagai sebuah organisasi alternatif, tetapi juga sebagai sebuah organisasi yang menjadi sumber informasi maklumat kepada masyarakat, yang pada akhirnya lahir dalam konteks mencabar status quo pemerintah.

Ketidaksamarataan sosioekonomi yang dimaksudkan ialah ketidaksamarataan di antara kaum yang berlaku khususnya sebelum dan awal kemerdekaan negara. Ketidaksamarataan sosioekonomi ini telah melahirkan kelompok-kelompok yang mewakili kaum masing-masing untuk memperjuangkan hak dan kepentingan kaum mereka. Faktor ini merupakan faktor penting yang mengubah corak perkembangan masyarakat sivil di Malaysia khususnya penglibatan mereka dalam setiap pembuatan keputusan dan dasar kerajaan supaya mengambil kira kepentingan semua kaum.

Kedudukan geogarafi kaum masing-masing yang berbeza telah mewujudkan suatu jurang yang lebar antara kaum tersebut yang menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati terhadap kaum lain. Struktur masyarakat yang terpisah ini juga merupakan salah satu penyebab kepada berlakunya peristiwa berdarah iaitu peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan kemuncak kepada perbalahan kaum yang menunjukkan wujudnya perasaan iri hati, cemburu, tidak puas hati dan lain-lain terhadap kaum lain. Keadaan ini telah memaksa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat bagi menjarakkan dan mengurangkan jurang antara kaum sama ada dari segi ekonomi, politik dan sosial serta untuk mewujudkan semangat perpaduan antara kaum bagi mewujudkan keadaan sejahtera dan aman dalam negara.

Sebenarnya semenjak 1970-an lagi terdapat pemerhatian bahawa tidak wujud rasa kesamarataan yang menyeluruh atau rasa keberkesanan politik yang merata yang sepatutnya menjadi asas penyertaan politik awam. Selain tidak meluasnya budaya politik yang perlu bagi kewujudan demokrasi liberal di negara ini, terdapat juga kelemahan ‘infrastruktur ekonomi dan sosial’ (Saliha Hassan, 2000:222). Misalnya, sebelum DEB belum terdapat jumlah majoriti kelas menengah yang merupakan kelompok dasar dalam sistem politik demokrasi. Tan Sri Ghazali Shafie menyatakan bahawa kekurangan dan kelemahan ini wujud semenjak kita menyambut kemerdekaan pada 1957.

Contoh persatuan-persatuan yang wujud sebelum kemerdekaan negara ialah Persatuan Anak Melayu Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor yang kemudiannya bergabung pada 1946 menjadi sebuah kesatuan masyarakat politik yang dikenali sebagai UMNO (United Malays National Organizations) yang berjuang untuk menuntut kemerdekaan Malaysia. Walaupun tuntutan sivil yang diperjuangkan oleh kesatuan tersebut ialah kemerdekaan Malaysia, ia telah dilihat oleh kaum lain sebagai persoalan Melayu dan kepentingan Melayu (Zaini, 2002:51). Demikian juga halnya dengan perkembangan awal masyarakat sivil seperti Malaysian Chinese Association (MCA) dan juga Malaysian Indian Congress (MIC) yang memperjuangkan hak sosial masyarakat Cina dan India, yang juga dilihat oleh kaum Melayu sebagai bersifat kepentingan Cina dan India. Oleh itu dapat dilihat bahawa perkembangan awal masyarakat sivil di Malaysia terkongkong dalam kerangka kaum dan kegagalan untuk bersatu atau bergerak secara bersepadu diluar kerangka kaum itu.

Perkembangan masyarakat sivil selepas merdeka juga menunjukkan trend yang tidak jauh bezanya daripada keadaan masyarakat sivil sebelum merdeka. Kemunculan organisasi sivil seperti ABIM, al-Arqam, JIM (Jemaah Islah Malaysia), Pertubuhan Belia, ALIRAN, dan JUST (International Movement For A Just World) gagal untuk keluar daripada kerangka kaum, bersepadu dengan organisasi sivil yang lain, walaupun isu yang diperjuangkan bersifat sejagat (Zaini, 2002).

Secara kesimpulanya dapat disimpulkan bahawa kewujudan masyarakat sivil yang berkesan dan bermakna dalam sesebuah sistem demokrasi bergantung kepada kebebasan berpersatuan dan kebebasan menyuarakan pendapat walaupun bertentangan dengan pendirian umum individu didalamnya. Dengan itu, diandaikan bahawa akan wujud pelbagai kumpulan pendesak atau NGOs yang boleh dikatakan golongan pluralis yang menganjurkan atau memperjuangkan pelbagai kepentingann masyarakat terhadap sesuatu dasar atau undang-undang yang dibuat oleh kerajaan.


Rujukan;
Saliha Hassan, 2000. NGO, Masyarakat Sivil dan Demokrasi. Dalam Abdul Rahman Embong(penyt.) Negara Pasaran dan Pemodenan Malaysia: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zaini Othman, 2002. Masyarakat Sivil dan Pendemokrasian. Dalam Ghazali Mayudin (penyt.)Politik Malaysia Perspektif Teori dan Praktik: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Semester Baru & Terakhir

Begitu pantas masa berlalu seolah-olah tidak menyedari dan tidak percaya bahawa sekarang ini berada ditahun akhir pengajian yang juga merupakan semester terakhir. Rasanya masih tidak terlewat lagi untuk mengucapkan Salam Maal Hijrah 1431H kepada seluruh umat Islam didunia khususnya dibumi Malaysia ini.

Melangkahkan kaki ke universiti terpilih merupakan suatu harapan ketika berada dizaman persekolahan. Pada 1 Julai 2007, insan bernama Mohd Farid Jazari akhirnya berjaya mendaftarkan diri sebagai pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia. Tahun-tahun pengajian ditempuhi dan dilalui dengan penuh bermakna. Begitu banyak cabaran yang terpaksa dilalui dan ditempuhi apabila bergelar sebagai pelajar universiti akan tetapi semua itu tidak menjadi masalah dan halangan dalam meneruskan pengajian dalam menimba ilmu. Pada hari ini, sudah berada di tahun akhir pengajian dan InsyaAllah kalau atas kehendakNya akan menamatkan pengajian peringkat ijazah ini pada pertengahan tahun hadapan. Semoga tahun baru 1431H ini akan mendatangkan seribu makna dan kemanisan dalam mengenal erti kehidupan sebenar.



~ini merupakan sedikit celoteh dimalam hari dalam mengimbau kenangan semasa mula-mula menjejakkan kaki di UKM pada 1 Julai 2007.


Friday, October 23, 2009

SELOKA AKU DAN DIA

DIA menang pilihan raya,
DIA dapat blazer percuma,
DIA dapat elaun MPP,
DIA hidup cukup mewah..
DIA tiap minggu ke jamuan menteri,
DIA tiap minggu ketemu menteri,
DIA hanya hadiri majlis VVIP,
DIA terus hidup bangga diri..
DIA ketemu student jauh sekali,
Nak jumpa DIA hantar surat kat secretary,
DIA ke censelori bodek TNC,
Begitu DIA hidup sehari-hari,
Hidup ditaja tak sedar diri...

AKU hanya pelajar biasa,
AKU tidak punyai apa kuasa,
AKU senyap tiada suara,
AKU harap semua diwakili,
AKU harap siapa yang AKU undi,
AKU bukan orang senang,
AKU belajar tajaan PTPTN,
AKU tak mampu makan dengan VVIP,
AKU tak mampu jumpa menteri,
AKU gelisah yuran tinggi,
AKU tak pasti apa bakal terjadi,
Kerana AKU anak petani...

DIA tipu! DIA bohong! DIA retorik! DIA pengampu!
Yuran AKU tidak selesai!
Suara AKU tidak sampai!
Yuran AKU, DIA pakai!
DIA dapat elaun AKU yang pokai!
Masalah yuran DIA tak selesai..
Mana DIA pemimpin penggadai?
Tolong selesai masalah AKU pencacai...



~petikan daripada artikel "Gelora Anak Muda, Kearah Pembentukan Mahasiswa Mandiri".

Budaya "Kaki Bodek"

Untuk pengetahuan semua, 'post' kali mungkin boleh dikatakan kontroversi serta akan menyentuh hati beberapa pihak khususnya melibatkan warga UKM sendiri. Melihat kepada situasi sedemikian yang semakin menjadi-jadi telah mendorong saya membicarakan isu ini. Budaya "kaki bodek" ini melibatkan pelbagai golongan lapisan sama ada daripada golongan bawahan seterusnya kepada golongan atasan yang mana bertujuan untuk mendapatkan perhatian, kepentingan, imbuhan, pengaruh dan sebagainya yang boleh dianggap suatu budaya buruk, hina, tidak tahu malu, keji, serta memalukan bangsa, agama dan masyarakat apatah lagi apabila ianya melibatkan golongan terpelajar dan mempunyai akademik yang tinggi. Tidakkah terfikir sejenak dalam kalangan mereka ini, apakah mereka ini tidak merasa malu dengan perbuatan mereka yang sedemikian?

Untuk pengetahuan semua, budaya "kaki bodek" inilah yang merupakan salah satu faktor penting yang mewujudkan budaya kronisme dan nepotisme dalam masyarakat kita pada hari ini. Mungkin masih ada yang tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan "kaki bodek". "Kaki bodek" ini merupakan sesuatu perbuatan atau tingkah laku seseorang individu terhadap individu lain yang mempunyai pengaruh, kuasa, harta, pangkat dan sebagainya yang mana boleh dilihat melalui perbuatan seperti memuji individu itu secara berlebih-lebihan yang mana mempunyai agenda tertentu, bersalam dan mencium tangannya walaupun jarak umur menunjukkan mereka lebih muda berbanding individu terbabit, berkelakuan baik di hadapannya sedangkan secara realitinya mereka bukan begitu, menyokong idea,buah fikiran serta kata-kata individu terbabit secara membabi-buta tanpa mempersoalkan kerasionalan dan kebenarannya, bersifat hipokrit dan sebagainya yang mana perbuatan ini telah menjadi budaya dalam masyarakat kita. Di UKM sendiri, perbuatan atau budaya sedemikian dilihat semakin menjadi-jadi sama ada daripada golongan pensyarah mahupun daripada golongan pelajar. Dengan gelagak yang berbagai dalam kalangan mereka itu telah menonjolkan satu imej buruk terhadap nama baik universiti yang merupakan gedung atau pusat ilmu yang terpilih.

Tujuan isu ini dibangkitkan bukan kerana ingin mengejar nama atau populariti tetapi hanya sebagai teguran dan nasihat supaya sedar akan kesilapan dan bersikap rasional dalam setiap perkara. Bukan apa, apabila ianya melibatkan pelajar atau pensyarah lebih-lebih lagi apabila mereka ini memegang suatu jawatan penting dalam universiti, mereka sepatutnya bersikap terbuka, menjadi contoh kepada orang lain, berfikiran rasional, tidak 'bias' dalam sesuatu perkara atau hujahan, tidak berlagak dan angkuh dengan jawatan yang disandang, serta sedia menerima sebarang teguran atau kritikan daripada orang lain. Sebagai seorang yang mempunyai taraf akademik yang tinggi, sepatutnya mereka ini patut tahu apa yang benar dan apa yang salah serta apa yang patut dilakukan atau apa yang tidak sepatutnya dilakukan supaya dapat menonjolkan nilai jati diri serta keperibadian yang tinggi dalam diri sebagai panduan kepada orang lain. Dan juga seharusnya sedar akan tanggungjawab yang digalas supaya tidak tergelincir daripada landasan yang sebenar.

"Kepimpinan Melalui Teladan"..

"Bahasa Tuhan Kita Kuasai Didalam Dada,
Bahasa Inggeris Kita Kuasai Didalam Minda,
Bahasa Melayu Kita Daulatkan Didalam Jiwa..
Diatas Keruntuhan Kota Melaka,
Kita Bangunkan Semula Peradaban Bangsa.."


Sekian..

Bagaimana Patriot Act Dilihat Bersifat Diskriminasi?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada post yang lepas, saya telah menghuraikan apa yang dimaksudkan dengan Patriot Act dan juga objektif-objektif pelaksanaannya. Untuk kali, saya akan menunjukkan bagaimana akta yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat ini bersifat diskriminasi khususnya terhadap umat Islam dan juga negara-negara Islam yang mana juga peruntukan-peruntukan yang terdapat didalam akta tersebut secara jelasnya telah melanggar kebebasan dan hak individu seperti yang diperjuangkan didalam Perlembagaan Amerika Syarikat.

Serangan 11 September 2001 telah mengubah secara mengejut dasar luar Amerika. Selepas serangan tersebut, kerajaan Amerika terus mempersalahkan puak Al-Qaeda ke atas serangan bangunan WTC dan Pentagon itu. Pelaksanaan Patriot Act selepas serangan tersebut yang memberi kuasa kepada penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat dan menahan tanpa bicara sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengganas atau mempunyai hubungan dengan pengganas dilihat telah melanggar kebebasan dan hak asasi manusia iaitu melanggar Pindaan IV, Perlembagaan Amerika Syarikat, “Hak rakyat yang menjamin hak dirinya, rumah, dokumen, dan selainnya daripada penggeledahan dan perampasan yang tidak munasabah, tidak akan dilanggar, dan tiada waran akan dikeluarkan, tetapi berdasarkan sebab-sebab barangkali, dengan disokong oleh sumpah atau pengakuan, dan terutamanya menerangkan tempat yang akan digeledah, dan orang-orang atau barang-barang yang akan dirampas”.

Dalam Seksyen 213, 215, 411, 412 dalam Patriot Act dilihat wujudnya diskriminasi apabila akta ini membenarkan penguatkuasa undang-undang menghendap kediaman atau pejabat, masuk, mengambil gambar dan menyita atau merampas barangan seseorang tanpa memberitahu pemilik itu. Selain itu, akta ini juga membenarkan penangkapan warganegara dan bukan warganegara Amerika tanpa memerlukan penguatkuasa itu mengenalpasti sama ada mereka secara fakta adalah terlibat dalam aktivit pengganas atau pun sebaliknya.

Serangan pertama kerajaan Amerika dalam membendung kegiatan dan aktiviti pengganas ini dimulakan dengan serangan terhadap kerajaan Taliban di Afghanistan dengan alasan kerajaan Taliban memberikan perlindungan kepada puak Al-Qaeda serta membenarkan wilayah Afghanistan digunakan sebagai tempat markas latihan pejuang Al-Qaeda dan juga digunakan sebagai sebagai tapak pelancaran serangan ke atas kepentingan Amerika. Selepas menghancurkan bumi Afghanistan dengan serangan tidak berperikemanusiaan, kerajaan Amerika di bawah pimpinan George W.Bush pula meneruskan serangan ke atas bumi Iraq yang pada ketika itu berada dibawah pemerintahan Saddam Hussein dengan alasan serangan tersebut kerana kerajaan Iraq juga membantu dalam kumpulan Al-Qaeda serta membangunkan senjata nuklear disamping turut dijadikan markas untuk latihan pejuang kumpulan terbabit. Akibat daripada serangan terhadap kedua-dua buah negara ini, telah menyebabkan ramai orang awam terkorban, rumah-rumah kediaman runtuh, serta kehancuran hampir keseluruhan bumi negara-negara tersebut. Selain itu, serangan yang tidak berperikemanusiaan ini dilihat sebagai wujudnya pencabulan hak asasi manusia, pencabulan kedaulatan negara tersebut serta disifatkan sebagai berlakunya jenayah perang.

Selain itu, Seksyen 23 dalam Patriot Act yang memberi kebebasan kepada pihak berkuasa untuk mengeledah kediaman seseorang tanpa waran dan kebenaran pemilik kediaman juga telah melanggar Pindaan III, Perlembagaan Amerika iaitu yang menyatakan dalam pindaan tersebut “Tiada askar akan, pada masa aman ditempatkan di mana-mana rumah, tanpa kebenaran pemiliknya, mahupun sewaktu peperangan, tetapi mengikut apa yang telah ditetapkan oleh undang-undang”. Disamping itu juga, Seksyen 411 dalam Patriot Act juga dilihat wujudnya diskriminasi dan mengancam kebebasan beragama di Amerika. Sebagai contohnya, individu yang menganggotai sesebuah organisasi agama yang disyaki terlibat dalam kegiatan yang menurut kerajaan Amerika mengancam keselamatan negara akan ditahan kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan aktiviti pengganas.

Oleh itu dapat disimpulkan bahawa walaupun Patriot Act ini diwujud dan dilaksanakan untuk membendung aktiviti keganasan, akan tetapi pada masa yang sama, objektif dan seksyen-seksyen yang terdapat dalam akta ini dilihat jelas bertentangan dan melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia serta kebebasan individu yang terkandung dalam Perlembagaan Amerika Syarikat. Ini kerana, hak asasi dan kebebasan sivil yang diperjuangkan oleh bapa-bapa kemerdekaan Amerika sebelum ini sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan Amerika telah dilanggar akibat kesan daripada sifat dan sikap paranoid yang melanda kerajaan Amerika selepas berlakunya tragedi 11 September 2001.


Sekian..

Saturday, October 17, 2009

OBJEKTIF PATRIOT ACT

Kepelbagaian budaya serta asas pemerintahan sistem demokrasi telah meletakkan Amerika sebagai salah sebuah negara yang mendokong sepenuhnya kebebasan dan hak asasi manusia. Namun, serangan pengganas pada hari Selasa, 11 September 2001 di World Trade Centre (WTC), New York yang dikatakan didalangi dan dilaksanakan secara teratur oleh puak Al-Qaeda iaitu yang dilabelkan sebagai pengganas Islam telah menyebabkan berlaku satu perubahan besar dalam dasar luar serta perlembagaan Amerika Syarikat ini.

Dalam usaha membendung aktiviti keganasan, pelbagai akta telah diperkenalkan oleh kerajaan Amerika yang secara nyata telah melanggar hak asasi penduduknya. Hak asasi yang diperjuangkan oleh bapa-bapa kemerdekaan Amerika sebelum ini sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan Amerika telah dilanggar oleh akta-akta pencegahan aktiviti keganasan ini. Antara akta yang diperkenalkan ialah Akta Anti-Keganasan 2001 (Anti-Terrorism Act Of 2001) dan Akta Patriot USA 2001 (2001 USA Patriot Act). Kedua-dua akta ini telah memberikan hak kepada kerajaan Amerika untuk menahan sesiapa sahaja sebelum ia dibuktikan bersalah. Perbuatan ini telah melanggar Pindaan ke-IV, Perlembagaan Amerika Syarikat.

Oleh hal yang demikian, perbincangan selanjutnya akan mengupas dengan meneliti apakah objektif Patriot Act yang mana telah diluluskan dengan pantas oleh Kongres Amerika hanya selepas 45 hari berlakunya tragedi 11 September 2001;

1. Mempertingkatkan kawalan keselamatan dalam negeri atau domestik dan menentang keganasan (Enhance domestic security against terrorism).

2. Mempertingkatkan kawalan melalui kaedah-kaedah pengawasan kepada warganegara dan juga bukan warganegara (Enhance surveillance methods on citizens and non-citizens).


3. Menahan warga asing dan juga warganegara yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti pengganas (Detain aliens and citizens engaged in terrorist activities).

4. Mengadaptasikan atau menyesuaikan prosedur-prosedur undang-undang jenayah untuk tujuan ini (Adapt the criminal law and procedures to meet these ends).


5. Menghentikan bantuan kewangan daripada disalurkan kepada pengganas (Halt financial support for terrorist).

6. Membekalkan pasukan kecemasan dan sokongan bagi mencapai tujuan akta ini (Provide for emergency authorizations and appropriations to meet these ends).

PATRIOT ACT?

USA Patriot Act 2001, yang juga dikenali sebagai Patriot Act merupakan singkatan daripada “ Uniting and Strenghtening America by Providing Appropriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism” (Menyatukan dan Memperkukuhkan Amerika dengan Menyediakan Alat-alat Sesuai yang Dikehendaki untuk Menyekat dan Menghalang Keganasan) iaitu akta yang diperkenalkan selepas berlakunya tragedi serangan 11 September 2001 ke atas bangunan WTC, New York, Amerika Syarikat. Patriot Act adalah undang-undang yang diperkenalkan oleh perwakilan James Sensenbrenner pada 23 Oktober 2001 dan dihantar kepada sembilan ahli jawatankuasa yang utama dimana telah diundi serta diluluskan oleh kesembilan ahli jawatankuasa tersebut. Pada keesokannya, rang undang-undang atau “bill” ini dihantar kepada Senat dan segera diluluskan serta terus dihantar kepada Presiden Amerika, George W.Bush. Patriot Act ditandatangani, diluluskan serta diwartakan menjadi undang-undang pada 26 Oktober 2001 iaitu hanya 72 jam selepas diperkenalkan.

Akta ini memberi kuasa yang luas kepada Penguatkuasa Undang-Undang Persektuan Amerika untuk menyiasat dan menahan tanpa bicara sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dalam aktivit pengganas atau mempunyai hubungan dengan pengganas. Akta ini diluluskan Kongress dan disokong kuat oleh Parti Republikan dan Parti Demokratik. Akta ini juga telah meningkatkan keupayaan agensi penguatkuasa undang-undang untuk mencari dan merekod penggunaan telefon, komunikasi melalui email, perubatan, kewangan, dan rekod-rekod lain untuk mengurangkan sekatan ke atas pengumpulan risikan asing dalam negara Amerika.

Namun, akta ini dikritik kerana kelemahannya dalam melindungi kebebasan sivil (Civil Liberties) dan juga pelanggaran hak asasi manusia apabila menahan tanpa bicara serta memasuki rumah atau premis mereka tanpa pengetahuan atau kebenaran pemiliknya. Selain itu, Perluasan Penggunaan Surat Keselamatan Nasional (National Security Letter) yang memberikan kuasa kepada penguatkuasa undang-undang untuk mencari nombor telefon, e-mail dan rekod kewangan tanpa arahan daripada pihak makhamah dan perluasan pengaksesan terhadap rekod perniagaan telah dikecam hebat oleh masyarakat dunia khususnya penduduk Amerika sendiri.


..untuk post seterusnya akan menghuraikan objektif Patriot Act dan bagaimana akta ini dilihat bersifat diskriminasi..

Saturday, October 10, 2009

Makan Malam Alumni & Sambutan Ulangtahun ke-33 Program Sains Politik

Majlis Makan Malam Alumni & Sambutan Ulangtahun Ke-33 Program Sains Politik yang akan di adakan pada 11 Oktober 2009 (hari Ahad) di Dewan Sri Endon Mahmud, Bangunan Puspanitapuri, Presint 10 Putrajaya ini akan menghimpunkan bekas-bekas pelajar Program Sains Politik UKM selama 33 tahun penubuhannya merupakan program julung-julung kali diadakan di UKM ini. Dengan tema "Memori Tercipta" pasti akan meninggalkan seribu kenangan kepada kita semua. Saya sebagai ahli jawatankuasa program ini sukacitanya menjemput pensyarah-pensyarah Sains Politik, pelajar-pelajar Sains Politik dan Alumni Sains Politik UKM ke majlis ini. InsyaAllah kita mendoakan agar majlis ini berjalan dengan lancar dan meninggalkan seribu kenangan manis kepada kita semua.

PERBUALAN SEHARIAN

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Nampaknya kemeriahan sambutan hari raya Aidilfitri masih dirasai walaupun ianya sudah berada dipenghujungnya..Salam Aidilfitri saya ucapkan kepada semua umat Islam khususnya di Malaysia dan UKM ini. Mula-mula sekali mohon ampun dan maaf kerana sudah lama tidak meng"update" blog ini. Rasanya kawan-kawan sepengajian mesti faham kerana dipenghujung semester ini, terlalu banyak tugasan yang perlu disiapkan dalam masa yang boleh dikira sudah singkat ini. Apapun post yang terbaru ini saya merasakan patut saya celotehkan disini iaitu mengenai perbualan seharian kita yang mana sering dihiasa dan diwarnai dengan kata-kata atau perkataan yang boleh dianggap kotor, hina, jijik dan sebagainya yang mana sudah menjadi gaya dan kebiasaan dalam perbualan kita pada hari ini khususnya muda-mudi sama ada yang berpendidikan tinggi sampai kepada tahap pendidikan rendah.

"Bengong, Sial dowh, anak haram, rileks dowh, butuh ko, nate gilo (loghat kelantan), babi, laknat" dan banyak lagi yang mana sering kita dengar melalui perbualan muda-mudi pada hari ini termasuk kawan-kawan kita. Kita ambil contoh perkataan "dowh". Adakah kita semua tahu maksud sebenar disebalik perkataan tersebut atau kita hanya sekadar buat tidak tahu akan maksudnya. "dowh" merupakan singkatan daripada perkataan "bodoh" yang mana sering digunakan oleh golongan remaja didalam perbualan seharian mereka yang digunakan sebagai pengakhiran ayat. Contohnya "rileks dowh", "ko nak pergi mana dowh". Adakah kita sedar akan situasi sebegini atau kita hanya buat-buat tidak sedar kerana kita juga bercakap menggunakan pengakhiran ayat sedemikian? Apakah kita mahu gaya percakapan sebegini meresap dan sebati dalam perbualan seharian kita? Tidak mustahil kalau suatu hari nanti kita akan dengar anak-anak kecil juga akan bercakap menggunakan perkataan sedemikian apabila bercakap dengan rakan-rakan mereka dan juga dengan orang tua mereka iaitu ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan mereka. Kita sebenarnya seolah-olah 'menghalalkan' perbuatan ini sedangkan secara hakikatnya ianya memberi makna yang buruk terhadap kita.

Kadang-kadang bila difikirkan balik,saya merasa hairan kerana orang yang berasal sama ada dari negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta yang berasal dari negeri utara seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang mana sebelum ini pekat dengan dialek negeri masing-masing apabila sampai ke Kuala Lumpur dan Selangor boleh terpengaruh dengan bahasa sedemikian. Saya tidak nafikan perkataan lain seperti yang telah saya terangkan diatas tidak digunakan tetapi perkataan "dowh" ini seolah-olah lebih mendominasi perkataan buruk yang lain. Ini boleh dilihat apabila orang yang berasal dari negeri pantai timur dan utara juga bercakap menggunakan perkataan "dowh" dipengakhiran ayat mereka. Secara peribadi saya jelaskan bahawa saya merasakan sangat benci dan menyampah apabila mendengar rakan-rakan saya berbual menggunakan perkataan sedemikian.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini dan mungkin juga ada dalam kalangan kita merasakan perkataan tersebut normal dalam perbualan seharian mereka dan tidak memberi maksud apa-apa pun kepada mereka. Mungkin bagi mereka normal tetapi tidak pada saya. Saya merasakan semua sedia maklum bahawa apabila kita bercakap, kita juga dalam masa yang sama mendoakan mereka. Apakah kita merestui dan menerima seadanya jika rakan-rakan kita bercakap dengan kita menggunakan perkataan "dowh" yang mana mendoakan kita sebagai "BODOH"?. Tepuk dada dan tanya diri kita masing-masing adakah kita mahu suatu hari nanti anak-anak kita juga akan bercakap dengan kita menggunakan perkataan sedemikian?


Sekian..

Monday, August 24, 2009

Salam Ramadhan Al-Mubarak


Assalamualaikum dan salam sejahtera..Rasanya tidak terlambat lagi rasanya saya hendak mengucapkan salam Ramadhan Al-Muabarak dan selamat berpuasa kepada rakan-rakan dan seluruh umat Islam..Dikesempatan ini, saya menyeru kepada diri saya dan kamu semua, marilah sama2 kita memperbanyakkan amal ibadah disempena bulan ini yang penuh dengan keberkatan dan keredhaan Allah swt..

Jam sekarang ini menunjukkan pukul 2.20 pagi dan insyaAllah sekejap lagi kita semua akan bersahur dan meneruskan ibadah puasa yang akan masuk hari ke-3 keesokan harinya..InsyaAllah kita mintak mudah-mudahan kita sentiasa dipermudahkan perjalanan hidup agar sentiasa diberkati oleh Allah..

Dikeheningan pagi ini dimana suasananya sunyi sepi dengan keadaan yang mana aman damai membuatkan diri ini termenung dan terkenang akan insan-insan yang bermakna didalam hidup ini yang telah pergi mengadap seruan Ilahi..Wajah-wajah mereka sentiasa dalam ingatan dan kenangan bersama mereka tidak akan dapat saya lupakan untuk selama-lamanya. InsyaAllah pada bulan ini, saya akan perbanyakkan lagi sedekah dan doa saya kepada mereka semua agar dipermudahkah perjalanan "disana"...Yang pergi tetap pergi dan kita yang didunia ini yang hidup masih panjang lagi perjalanan dan liku-liku kehidupan yang terpaksa ditempuhi..Bak kata orang-orang tua, patah tumbuh hilang berganti..

Kenangan tercipta tanpa kita minta dan ianya juga berlalu tanpa kita dapat halang..Kenangan manis akan sentiasa kekal dalam ingatan..Bila dekat, kita tidak pedulikan atau ambil tahu pasalnya tetapi bila jauh pula sentiasa dikenang-kenangkan..Begitulah lumrah sifat manusia..

Saturday, August 22, 2009

Umat Islam Di Malaysia Semakin Dicabar...

Soal agama Islam tidak boleh pandang remeh demi kepentingan politik. Kebiadapan sesetengah pihak seolah-olah telah mencabar kesabaran n sifat bertolak ansur umat Islam di Malaysia. Apa tidaknya dengan pelbagai isu yang telah melanda negara sejak akhir-akhir ini telah menggugat kedudukan masyarakat Islam apabila soal agama Islam seolah-olah dipandang remeh oleh pihak berwajib.. Dua contoh yang akan dikemukana disini ialah tentang Restoran Mamak yang mana bukan beragama Islam telah menipu masyarakat Islam dengan ayat-ayat suci Al-Quran dipaparkan dikedai mereka untuk menarik pelanggan beragama Islam. Keduanya ialah tentang penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang mana meminta kuasa supaya suruhanjaya ini berhak memutuskan kes pertentangan atau pertelingkahan yang membabitkan antara agama di Malaysia. Apa ini semua??Tindakah biadap pihak ini seolah-olah hendak menyamaratakan agama Islam dengan agama lain yang terdapat di Malaysia..

Pernahkah anda bertanya kepada tauke Restoran Mamak atau lebih senang dengan panggilan 'maple' ini tentang status agama mereka? Tidakkah anda berasa ragu-ragu kenapa dikebanyakkan restoran mamak ini tidak disediakan hidangan lauk berupa daging lembu sama ada dalam bentuk kari,goreng atau pun gulai..?Pernahkah anda perasan tabung derma yang diletakkan dihadapan dikaunter bayarannya sebenarnya bukan tabung derma untuk kepentingan masyarakat Islam sama ada membina sekolah tahfiz, masjid atau sebagainya sebaliknya tabung derma untuk persatuan agama Hindu? Persoalan-persoalan ini sepatutnya kita ambil perhatian kerana kebanyakan restoran mamak yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor ini sebenarnya pemiliknya bukan beragama Islam. Ayat-ayat Al-Quran yang digantung di dinding mereka sebenarnya hanya untuk mengaburi mata masyarakat Islam dan juga dijadikan alat untuk menarik pengunjung beragama Islam. Apa tidaknya,kebanyakan pengunjung yang makan dan minum dikedai mamak majoritinya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Ayat-ayat Al-Quran yang sepatutnya dibaca,dihayati dan difahami oleh orang Islam telah digugat dan dipersendakan oleh golongan yang biadap ini. Tetapi yang hairannya dimana pihak berwajib dalam menangani masalah ini? Ke hanya duduk goyang kaki di pejabat dengan menanti duit gaji bulanan masuk?

Dibawah ini akan disenaraikan 14 tuntutan IFC terhadap umat Islam yang mana telah berani mencabar kesabaran umat Islam dinegara ini;
1. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.
2. Orang bukan Islam yang telah memeluk Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali ke agama asal mereka(murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.
3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil
4. Tidak perlu dicatatkan didalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam
5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam dan orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam(murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan tindakan undang-undang.
6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberi hak penjagaan anak.
7. Orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak untuk menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.
8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.
9. Orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.
10. Bibel dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.
11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah
12. Program2 berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan dan program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing2.
13. Orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.
14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Berdasarkan kepada 14 senarai tuntutan IFC terhadap umat Islam ini, kita masyarakat Islam seharusnya boleh berfikir sama ada tuntutan ini relevan atau pun merupakan suatu ancaman yang besar terhadap umat Islam di Malaysia ini...

Sunday, August 2, 2009

Forumcyber.com "Komuniti Untuk Semua"

Layarilah forumcyber.com "Komuniti Untuk Semua" bagi mengikuti perkembangan terkini mengenai isu-isu politik,ekonomi dan sosial. Selain itu, pendapat atau pandangan anda mengenai sesuatu isu juga boleh disampaikan melalui forum ini. Sama-samalah kita memeriahkan forumcyber.com ini bagi memperkayakan pemikiran akademik dan keintelektualan anda semua.


Thursday, July 30, 2009

DEMOKRASI ISLAM

Berbicara tentang demokrasi Islam, kita sedia maklum bahawa hubungan Islam dengan demokrasi sebenarnya memperlihatkan satu interaksi antara Islam dengan Barat. Ramai sarjana mahupun aktor gerakan Islam yang bersetuju demokrasi memiliki ciri-ciri politik Islam yang mengutamakan kebebasan dan menolak unsur-unsur kediktatoran. Cuma apa yang kurang dipersetujui mereka ialah fahaman leberalisme yang menyanjung kebebasan mutlak kerana Islam mengajar umatNya tunduk dan patuh terhadap tuntutan Allah SWT. Tetapi apa yang menjadi persoalan disini ialah adakah wujudnya sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi Islam??

Seperti kita sedia maklum, antara ciri-ciri utama bagi sistem demokrasi ialah kebebasan berucap, kebebasan media, pilihanraya bebas dan adil, kebebasan berorganisasi, pemerintahan berasaskan majoriti iaitu melalui suara rakyat, hak minoriti dihormati dan juga kebebasan kehakiman. Jadi tidak hairan la kalau kita tengok negara yang mengamalkan pemerintahan diktator pun mengaku mereka mengamalkan sistem demokrasi dan bersikap demokratik.

Berbalik kepada perbincangan tentang demokrasi Islam, kita ambil contoh negara Pakistan dan Iran, adakah kedua-dua negara ini mengamalkan sistem demokrasi Islam? Kalau di Pakistan mungkin tidak kerana disana tidak mengamalkan demokrasi Islam tetapi mengamalkan sistem pemerintahan Islam. Berdasarkan kepada penduduk Pakistan yang mana pada majoriti penduduknya Islam, kita boleh mentafsirkan bahawa golongan-golongan atasan yang melaksanakan sesuatu dasar, keputusan ataupun undang-undang adalah daripada kalangan orang Islam yang mana bijak pandai dalam hukum syarak yang mana sesuatu keputusan dibuat itu mestilah berdasarkan Al-Quran, hadis Rasulullah, ijtimak ulama' dan ijtihad. Begitu juga di Iran, banyak pandangan dan hujahan yang mengatakan bahawa negara Islam itu mengamalkan demokrasi Islam sedangkan secara konsepnya bahawa dalam demokrasi Islam, keputusan majoriti yang dibuat dan dicapai tidak semestinya muktamad. Ini kerana kuasa penentu segala keputusan adalah terletak ditangan ulama' yang mana merupakan pemimpin tertinggi di negara tersebut yang mana setiap keputusan dibuat mesti mengikut hukum Allah SWT. Jadi adakah kita boleh mengatakan bahawa Iran mengamalkan sistem demokrasi Islam kerana dalam sistem demokrasi, kuasa penentu sesuatu keputusan adalah berada ditangan warganegara atau rakyat. Adakah dengan mengadakan pilihanraya,kita boleh mengatakan bahawa sesebuah negara itu mengamalkan sistem demokrasi dan bersikap demokratik??Kita mengambil contoh pandangan daripada bekas Presiden Amerika Syarikat yang mengungkap demokrasi sebagai "Government Of The People, By The People, For The People". Jadi kita boleh melihat bahawa dalam sistem demokrasi, ianya meletakkan kedaulatan manusia paling tinggi. Persoalan tentang demokrasi Islam hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini dan sering dibincangkan oleh para sarjana sama ada dalam kalangan sarjana Islam itu sendiri atau pun dalam kalangan sarjana Barat. Jadi disini kita juga boleh mengatakan bahawa demokrasi Islam wujud tetapi terbentuk dalam bentuk acuan sendiri dengan mengambil idea-idea Barat dan di adun dengan ciri-ciri dan nilai-nilai Islam yang mana sentiasa mengutamakan pandangan Allah SWT dan bukan kehendak manusia semata-mata.


Sekian...

Thursday, July 23, 2009

RINDU

Rindu??Apakah itu rindu?Adakah kita menganggap rindu itu menyakitkan dan menyeksakan?mungkin sesetengah orang akan mengatakan rindu itu amat menyakit dan menyeksakan tapi sesetengah orang akan menganggap rindu itu merupakan suatu perasaan indah yang lahir dari hati nurani yang ikhlas. Mesti rakan-rakan merasa pelikkan kenapa post pada kali ini saya bercakap tentang rindu. Sebenarnya post ini bukan saya hendak tujukan pada seseorang tapi pada semua kerana disebabkan rindu itu,seseorang akan bahagia atau merana seperti yang saya katakan iaitu menyakitkan dan menyeksakan.

Perasaan rindu merupakan suatu emosi yang terdapat dalam diri manusia yang normal. Ianya wujud apabila kita mengingati sesuatu yang penting dan amat bermakna bagi diri kita. Sesetengah orang mengaitkan perasaan rindu ini apabila melibatkan seseorang yang dicintai atau disayangi yang sedang bercinta. Akan tetapi perasaan rindu sebenarnya bukan sekadar cinta dan sayang kita kepada seseorang tetapi lebih daripada itu dimana melibatkan banyak perkara sama ada kita merindui keluarga, kenangan lalu, rindukan barang-barang, haiwan atau rindukan sesuatu perkara yang kita anggap telah memberi kesan mendalam diri kita. Perasaan rindu datang tidak mengira tempat, masa dan keadaan. Ianya datang tanpa kita duga akan kehadirannya. Perasaan rindu ini sangat istimewa dan ianya sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Mungkin kita akan merasa rindu apabila kita kehilangan sesuatu yang bermakna dalam diri kita lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan cinta dan kasih sayang kita kepada seseorang insan. Perasaan rindu ini mungkin memberi kesan positif kepada kita jika pandai mengatsi dan mengawalnya. Jika perasaan rindu ini dapat diluahkan dan diucapkan mungkin kita tidak merasa ianya menyakitkan dan menyeksakan akan tetapi apabila ianya tidak dapat diluah dan diucapkan, kita akan merasakan ianya sesuatu bebanan yang sukar dikawal. Ini terjadi apabila perasaan rindu itu sukar dikawal dan mampu menyebabkan seseorang itu mengalami masalah murung,hilang 'mood' bekerja/belajar, suka menyepikan diri dan sebagainya yang akan memberi kesan negatif kepada individu yang mengalaminya.

Merinduilah selagi kita merasakan ianya berhak untuk dirindui....



Petikan daripada kata-kata seseorang....

"Sekali sayang selamanya sayang,
Sekali maaf sukar melupakan,
Sekali berjanji mesti pegang pada janji.."


Salam....

Saturday, July 11, 2009

MAHASISWA DAN HIBURAN

Mungkin kita semua tertanya-tanya kenapa masyarakat kita pada hari ini terlampau menggilai seni hiburan sehinggakan sanggup menghabiskan wang ringgit, masa dan juga sanggup melompat-lompat ibarat beruk diatas pokok apabila artis pujaan dan kesayangan mereka sama ada tengah membuat persembahan, memenangi sesuatu anugerah muzik, dan juga sanggup berebut dan tolak menolak semata-mata untuk mendapatkan tandatangan mereka. Situasi sebegini dapat dilihat dimana sahaja berlangsungnya persembahan hiburan sehinggakan sanggup menjatuhkan nilai moral dan adab orang Malaysia khususnya dalam kalangan orang Melayu. Situasi sebegini telah menjadi serius sehinggakan gejala hiburan ini telah berjaya merebak masuk kedalam kampus-kampus universiti sama ada universiti awam ataupun swasta sehinggakan menjadi barah yang sukar dirawati. Kita semua sedia maklum apa yang telah terjadi di universiti awam khusunya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak akhir-akhir ini yang mana gejala hiburan semakin berleluasa dan banyak aktiviti bercorak hiburan telah diadakan. Contohnya apa yang telah berlaku di sebuah kolej dalam kampus UKM yang mana telah menganjurkan aktiviti dan pertandingan hiburan seperti 'Battle Of The Band' yang sepatutnya tidak wajar dijalankan didalam kawasan atau pusat ilmu. Wah sungguh gah pihak penganjur apabila pertandingan ini mendapat penyertaan meluas sama ada dalam kalangan mahasiswa mahupun kalangan masyarakat luar kampus. Jadi apa yang kita semua dapat daripada aktiviti sebegini?? Ataupun kita semua hanya hendak melihat mahasiswa/i tolak menolak dan sanggup menjatuhkan maruah dengan menari berhimpit-himpit antara lelaki dan wanita tanpa perasaan malu sedikit pun serta meraung dan bersorak kegembiraan meraikan artis kegemaran mereka membuat persembahan.

Jadi tidak hairanlah program realiti hiburan seperti Akademi Fantasi, Mentor, Malaysia Idol, dan banyak lagi semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Kanak-kanak yang sepatutnya diajar belajar di kelas tuisyen, mengaji Al-Quran, dan kelas Fardhu Ain telah dihantar ke pusat nyanyian atau kelas nyanyian semata-mata untuk menyertai pertandingan nyanyian yang melibatkan golongan kanak-kanak. Aduhai rakyat Malaysia, apa dah jadi ni??

Menurut Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam karyanya 'Seni Dalam Islam' menyatakan nyanyian merupakan ungkapan kata-kata, sekiranya ia dipenuhi dengan unsur kebaikan, maka ia adalah sesuatu perkara yang baik, tetapi sekiranya ia dipenuhi dengan unsur kekejian maka ia adalah sesuatu perkara yang keji. Setiap kata-kata yang mengandungi unsur-unsur haram, maka hukumnya haram apatah lagi apabila kata-kata tersebut dihiasi pula dengan irama dan lagu yang mampu memberi kesan yang mendalam terhadap pendengarnya. Dalam Islam, hukum nyanyian adalah harus tetapi terdapat beberapa syarat yang perlu di jaga. Menurut beliau antara syarat yang perlu dijaga ialah:
1. Kandungan nyanyian itu hendaklah selari dengan akhlak yang ditunjukkan oleh ajaran Islam. Oleh itu, lirik-lirik yang menyalahi Islam tidak diharuskan.
2. Cara penyampaian perlu diberi perhatian. Ini kerana ada ketikanya kandungan ataupun isi sesebuah lagu tidak terdapat langsung unsur-unsur keji dan salah tetapi cara penyanyi menyampaikan lagu tersebut adalah salah seperti nyanyian disampaikan dengan suara penuh keghairahan dan menggoda.
3. Hendaklah nyanyian itu tidak diserta dengan perkara-perkara haram seperti meminum arak, berhias-hias secara melampau ataupun berlakunya percampuran antara lelaki dengan perempuan tanpa ada sebarang batas dan sempadan.
4. Hendaklah tidak keterlaluan berhibur dengannya. Ini kerana nyanyian banyak melibatkan unsur perasaan manusia, menceritakan tentang kasih sayang dan percintaan. Diri manusia bukan hanya mengandungi unsur perasaan semata-mata, perasaan pula bukan hanya cinta semata-mata, cinta bukannya dikhususkan perempuan sahaja dan perempuan pula bukan semata-mata satu lakaran objek yang memberahikan.

Daripada apa yang dijelaskan diatas, kita semua umat manusia khususnya umat Islam dapat menilai sendiri adakah hiburan yang melanda kita sekarang berlandaskan nilai-nilai Islam dan tidak bertentangan dengannya. Kepada mahasiswa/i, berhiburlah secara kesederhanaan kerana sifat kesederhanaan yang terdapat pada hamba-hamba Allah Yang Maha Pengasih bukan sahaja dalam urusan yang berkaitan dengan harta benda, tetapi ia merupakan sifat asasi bagi mereka dalam setiap urusan hidup.

Sekian...

Wednesday, July 8, 2009

Permulaan Semester Baru

Nampaknya sudah lama saya tidak update blog ini.. Ermm boleh dikatakan hampir 3 bulan jugak blog ini tidak di 'beroperasi'.. biasa la bila dah balik bercuti, masa yang ada memang di manfaatkan 100% untuk berehat semasa cuti itu.

Nampaknya sempena permulaan semester yang baru ini, idea untuk memeriahkan lagi blog ini sudah dirancang. Begitu juga dengan azam yang baru untuk memberi sepenuh tumpuan dalam setiap kuliah. Bukan ape kan, sudah masuk tahun 3 tapi saya tidak pernah jua mendapat anugerah dekan. Jadi sem ini, saya akan jadikan yang terbaik daripada sem yang lepas2.

Kepada kawan2, selamat memulakan pengajian semester yang baru dan juga kepada mahasiswa/i yang baru mendaftarkan diri di UKM ini, syabas dan tahniah diucapkan kerana berjaya menjejakkan kaki di universiti terpilih ini.

Untuk post seterusnya, saya akan huraikan sedikit tulisan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam karyanya Seni Dalam Islam. Dalam karyanya ini, saya merasakan menarik untuk dibincangkan oleh mahasiswa/i masa kini dimana salah satu bidang seni iaitu hiburan sudah berjaya meresap masuk dengan mudahnya didalam kampus hampir kesemua IPTA dan juga IPTS. Saya merasakan di dalam kawasan pusat atau gedung ilmu ini seharusnya tidak dijadikan wadah oleh sesetengah pihak untuk mengaut untung semata-mata dengan menganjurkan pelbagai aktiviti hiburan yang boleh dikatakan langsung tidak memberi faedah kepada mahasiswa/i.

Sekian..

Monday, April 27, 2009

KENAPA PARTI POLITIK BUKAN PERKAUMAN SUKAR MENDAPAT TEMPAT DALAM POLITIK MALAYSIA??

Sejak lebih 50 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, kita dapai parti politik bukan perkauman sukar mendapat tempat dalam politik Malaysia. Terdapat banyak isi tersurat dalam menghuraikan perkara ini dan mungkin sesuatu perkara yang dibangkitkan akan menimbulkan sebarang perasaan ketidakpuasan hati mana-mana pihak. Oleh itu, saya ingin memohon seribu kemaafan jika huraian saya nanti akan menyentuh perasaan tidak puas hati beberapa pihak. Sebagai perbincangan bertunjangkan akademik, saya rasa tidak ada salahnya saya menimbulkan persoalan sedemikian demi merungkaikan setiap jawapan kepada persoalan tersebut yang berpaksi kepada kebenaran.


Secara umumnya parti politik bukan perkauman bermaksud satu bentuk organisasi mengenai badan organisasi yang tidak menghadkan keahlian mereka kepada satu etnik sahaja tetapi keahliannya terbuka kepada pelbagai etnik dan bertujuan untuk menjaga kepentingan bersama. Orang Melayu, Cina, India, dan etnik-etnik lain boleh menyertai dan berada dibawah satu parti yang sama. Ini bermakna rakyat yang berbeza sama ada dari segi agama, bangsa, dan budaya boleh berada dibawah satu parti yang sama. Antara parti bukan perkauman yang masih lagi dapat bertahan dalam arena politik Malaysia ialah Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Democration Action Party (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Terdapat banyak faktor yang yang menyebabkan parti-parti ini sukar mendapat tempat dalam politik Malaysia. Akan tetapi, selepas pilihanraya umum yang lepas kita dapati parti-parti ini sudah menampakkan sinar yang baru apabila banyak memenangi kerusi DUN dan Parlimen dan berjaya menguasai beberapa buah negeri yang sebelum ini berada erat dalam gengaman parti pemerintah iaitu Barisan Nasional.


Parti bukan perkauman sukar mendapat tempat dalam politik Malaysia kerana ideologi parti ini tidak berfungsi untuk mempertahankan kaum akan tetapi dalam masa yang sama ingin menjadi juara kaum antara etnik tertentu sahaja. Kebanyakan parti bukan perkauman walaupun membuka keahliannya kepada semua kaum tetapi secara purata keanggotanya terdiri daripada majoriti kelompok kaum tertentu sahaja. Ini dapat dibuktikan dalam parti DAP walaupun dari sudut ideologinya memperjuangkan nilai dan norma politik yang bersifat nasional tetapi diperjuangkan dalam bentuk etnik Cina sahaja. Secara khususnya parti ini didaftarkan sebagai sebuah parti yang berbilang kaum pada 18.08.1966 lanjutan daripada Parti Tindakan Rakyat dan diasaskan oleh Chen Man Hin, Devan Nair dan Goh Hock Guan yang bersifat kearah perjuangan pembentukan Malaysian Malaysia.


Selain itu, dari segi budaya politik masyarakat Malaysia sendiri juga mereka lebih cenderung untuk memilih wakil-wakil daripada kaum mereka sendiri sahaja. Menurut Smith dan Van Den Beighe dalam politik bukan perkauman melihat masyarakat berbilang kaum lebih cenderung untuk mengekalkan kelangsungan identiti masing-masing serta mempertahankan nilai, budaya, dan idea yang berbeza antara kelompok masyarakat. Ini kerana, mereka lebih cenderung mempertahankan nilai sendiri dan cuba memaparkan nilai tersebut kepada masyarakat lain yang berbeza agama, budaya, dan bahasa atau etnik yang berbeza. Contohnya dalam politik bukan perkauman didapati bahawa orang Cina sukar untuk memilih wakil dari kalangan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya.


Dalam parti bukan perkauman, pertelingkahan pendapat sering kali terjadi dalam kalangan ahli-ahli mahupun calon-calon itu sendiri. Pertelingkahan pendapat ini telah memberi kesan sampingan kepada parti politik mereka sama ada parti politik mereka bertambah baik atau musnah kerana kedegilan dan saling tidak sama pendapat. Akibat dari itu menyebabkan parti bukan perkauman sukar untuk mendapat tempat dalam politik negara. Pertelagahan dan kelemahan organisasi parti bukan perkauman menyebabkan ahli-ahli dalam parti mereka tidak dapat mengekalkan keahliannya.


Disampin itu juga, corak pemerintahan Malaysia yang mengamalkan konsep, ciri-ciri, dan prinsip-prinsip demokrasi tetapi dalam masa yang sama wujud juga unsur-unsur penekanan dan pembendungan kebebasan berpolitik seperti halangan-halangan untuk berkempen dalam pilihan raya, penguasaan media massa oleh pemerintah, kebebasan bersuara yang di dominasi oleh golongan elit politik keatas parti bukan perkauman menyebabkan parti ini susah untuk mengekalkan kedudukannya dalam politik Malaysia. Disebabkan ini juga, parti bukan perkauman tidak berkuasa kerana parti-parti perkauman telah memonopoli kedudukan dan kuasa politik mereka menjadi semakin kukuh dan jitu. Peranan media massa yang hanya semata-mata bersifat sebagai propaganda politik nampaknya jauh daripada mencukupi untuk mempengaruhi rakyat supaya tidak menyokong parti bukan perkauman. Kebanyakkan laporan media banyak memihak kepada kerajaan seperti saluran TV dan akhbar yang menyebabkan parti bukan perkauman menjadi semakin lemah untuk terus kekal dalam politik negara.


Selain itu, penggunaan akta-akta seperti ISA, AUKU, Akta Hasutan 1948, Akta Polis 1967 dan sebagainya dilihat seolah-olah telah menodai hak demokrasi rakyat sekaligus menyebabkan masalah kepada rakyat. Ini kerana, rakyat susah untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka dalam hal-hal yang berkaitan kepimpinan parti pemerintah. Disamping itu juga didapati bahawa akta-akta ini telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk kepentingan peribadi gologan mereka sahaja.


Saya tidak nafikan mungkin masih terdapat banyak lagi faktor-faktor yang menyebabkan parti politik bukan perkauman ini susah mendapat tempat dalam politik Malaysia selain daripada apa yang diperkatakan di atas. Tetapi percayalah selagi masyarakat Malaysia masih lagi berpaksi kepada sentimen perkauman yang menebal dalam diri setiap kaum, parti politik bukan perkauman pasti sukar untuk mendapat tempat dalam politik Malaysia.


Sekian..

Saturday, April 25, 2009

RENUNGAN BERSAMA....

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah, "Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, Al-Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku." Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.


Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. "Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.


Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"


"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. "Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.


Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.


"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. "Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan bimbang, wahai Rasulullah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Ku haramkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.


Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. "Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku." Badan Rasulullah mulai dingin , kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku",


"peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan."Ummatii, ummatii, ummatiii?"


"Umatku, umatku, umatku" Dan berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi. Betapa cintanya Rasulullah kepada kita semua.

Thursday, April 23, 2009

PELACURAN DI MALAYSIA

Secara ringkasnya, pelacuran bolehlah dianggap sebagai penjualan khidmat seksual, seperti seks oral atau hubungan seks yang biasanya untuk mendapatkan wang. Namun kadang-kadang ianya juga dilakukan untuk mendapatkan dadah, barang kemas, makanan, ataupun apa-apa sahaja tawaran yang dipersetujui secara bersama antara pelacur dan pelanggannya. Lazimnya, seseorang yang melacurkan diri disebut sebagai pelacur dan kebanyakan pelacur adalah perempuan. Namun, wujud juga pelacur dalam kalangan kaum lelaki yang biasanya dipanggil sebagai gigolo dan sebagainya.

Khalayak lazimnya menganggap pelacuran adalah pelacuran seksual iaitu pelacuran melalui hubungan seks semata-mata. Mereka menganggap melacur itu hanya perbuatan bercumbu-cumbuan, raba-meraba dan seterusnya mengadakan hubungan kelamin antara pelacur dan pelanggannya sahaja. Namun terdapat beberapa persoalan utama berkenaan pelacuran yang masih menimbulkan keraguan umum sebenarnya.

Pertama, adakah khidmat tukang urut kemaluan lelaki dari kalangan wanita itu dianggap sebagai khidmat pelacuran. Sedangkan tujuan sebenar khidmat urutan itu adalah untuk memperkuatkan fungsi dan peranan kemaluan lelaki yang diurut? Atas alasan khidmat itu boleh menaikkan nafsu shahwat, sebilangan daripada masyarakat menganggap ianya juga merupakan suatu cabang daripada cabang-cabang pelacuran.

Kedua, adakah pelayan-pelayan pusat-pusat hiburan yang berpewatakan penggoda itu juga boleh dianggap sebagai pelacur kerana aspek fizikal mereka yang berpakaian seksi dan menggoda? Hal ini lazimnya mendapat reaksi berbeza daripada masyarakat. Ada yang menkelaskan mereka hanya sekadar pelayan pusat hiburan semata-mata, namun tidak kurang juga yang mengelaskan golongan ini sebagai pelacur berdasarkan pesepsi yang menganggap semua perkerja wanita yang berpakaian seksi di pusat-pusat hiburan biasanya akan menawarkan khidmat seks kepada pengunjung pusat-pusat hiburan itu.

Walau bagaimanapun, secara umumnya, pelacuran dianggap oleh kebanyakkan masyarakat didunia sebagai satu kesalahan dari segi agama, adat, budaya dan undang-undang. Dalam kalangan masyarakat Malaysia, pelacuran dipandang negatif, dan mereka yang menjual tubuh sering ini dianggap sebagai sampah masyarakat yang amat hina.

Namun, ada juga dari kalangan anggota masyarakat yang memuliakan kerja-kerja pelacuran. Ianya pernah berlaku di Barat yang mana masyarakat Barat ketika itu menganggap pelacur adalah platform untuk kaum lelaki menyalurkan kehendak nafsu yang tidak dapat dikawal. Masyarakat disana suatu ketika dahulu berpendapat, dengan adanya golongan pelacur yang menawarkan khidmat seks ini, jenayah rogol yang berlaku akibat kegagalan kaum lelaki untuk mengawal nafsu seksualnya akan dapat dikurangkan kerana mereka sudah punyai saluran yang sah untuk menunaikan kehendak nafsu seksual mereka itu. Pelacuran kaum lelaki juga turut diagungkan kerana matlamat dan alasan yang sama sepert yang dinyatakan tadi.

Pesepsi yang berbeza ini didukung oleh pelbagai pihak di Barat ketika itu, antara salah seorang yang mengemukakan pandangan seperti itu adalah Augustine dari Hippo iaitu seorang paderi gereja. Augustine mengatakan bahawa pelacuran itu ibarat selokan yang menyalurkan air yang busuk dari kota demi menjaga kesihatan warga kotanya. Dalam hal ini, pelacuran dilihat sebagai suatu pengorbanan golongan minoriti kepada kestabilan sosial golongan yang majoriti.

Pelacur juga mempunyai kategori yang berbeza-beza, walaupun secara dasarnya mereka adalah sama iaitu bersama-sama menjual tubuh untuk mendapatkan sesuatu faedah, namun jika diteliti secara lebih mendalam, bukan semua pelacur itu berada di lorong-lorong gelap sebagai contoh. Bukan semua pelacur itu menerima sesiapa sahaja yang ingin melanggan perkhidmatannya. Bukan semua pelacur itu menawarkan bayaran yang serupa dan rendah kepada pelangan-pelangannya. Disinipun kita sudah dapat melihat perbezaan dan dan kelainan setiap pelacur-pelacur itu. Secara kasarnya, pelacur dapat dikelaskan kepada tujuh kategori utama seperti bohsia, pelacur pasar, pelacur jalanan, pelacur bermajikan, pelacur tukang urut dan pelayan pusat hiburan, pelacur bebas serta pelacur kehormat.

Kegiatan pelacuran di Malaysia dikatakan telah bermula seawal abad ke-18 lagi iaitu apabila berlakunya kemasukan imigran-imigran dari China dan India secara besar-besaran untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah dan juga di ladang-ladang getah iaitu sejak 1830-an lagi. Kehadiran imigran-imigran ini terutamanya buruh-buruh lelaki yang ramai telah mengakibatkan golongan wanita semakin berkurangan daripada lelaki.

Situasi ini telah menyebabkan berlakunya penyeludupan golongan wanita dari luar negara secara besar-besaran bagi memenuhi tuntutan permintaan yang tinggi terhadap golongan wanita terutama dari segi tuntutan nafsu iaitu melalui aktiviti pelacuran. Mengikut statistik Polis Kuala Lumpur melalui sumber Utusan Malaysia, mendapati bahawa kaum Melayu merupakan kaum yang paling ramai terlibat dalam aktiviti pelacuran iaitu sebanyak 60%, diikuti dengan kaum Cina sebanyak 30%, lain-lain kaum pula sebanyak 8% dan kaum India dengan peratusan yang paling rendah iaitu sebanyak 2%.

Kegiatan aktiviti pelacuran terdapat di hampir semua bandar di negara ini. Ini boleh dikatakan bahawa hampir setiap bandar mempunyai aktiviti pelacuran. Contohnya di Alor Star, aktiviti pelacuran terdapat di Lorong Petani, di Bukit Mertajam dan Jalan Mengkuang di Pulau Pinang. Di ibu negara iaitu Kuala Lumpur, antara tempat aktiviti pelacuran yang terkenal ialah kawasan Lorong Haji Taib, Jalan Hickhs, Jalan Bukit Bintang, dan Jalan Thambitillay di Briekfields. Namun demikian, tidak seorang pun tahu bilangan pelacur yang terdapat di negara ini. Angka-angka yang diketahui adalah taksiran atau bilangan yang ditangkap dan angka-angka yang ada pun boleh dikatakan tidak selari.

Menurut laporan dari Pegawai Pencegah Maksiat, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Asisten Supritenden Choo Lily, sejak dari tahun 1996 sehingga Februari 2003, sebanyak 17, 448 wanita rakyat asing ditangkap. Hasil daripada tangkapan tersebut didapati bahawa rakyat asing dari negara Indonesia adalah paling ramai iaitu berjumlah 10,576 orang, diikuti dengan Thailand iaitu seramai 3,096 orang, Filipina pula seramai 1,794 orang, China seramai 1,149 orang, Uzbekistan seramai 388 orang, Kemboja seramai 107 orang, Rusia seramai 71 orang, Vietnam seramai 66 orang, Myanmar seramai 55 orang, India seramai 43 orang dan Taiwan seramai 21 orang. Manakala pelacur dari Ukraine pula seramai 17 orang yang telah ditangkap diikuti dengan Singapura seramai 12 orang, Kazakstan seramai 10 orang dan Columbia pula seramai 9 orang yang berjaya ditangkap.

Kalau dikaji dan diperhatikan, mengapa terlalu ramai warga asing terlibat dalam pelacuran di Malaysia? Terdapat banyak persoalan yang boleh dipersoalkan dalam mengkaji masalah ini yang melibatkan warga asing. Ada pendapat mengatakan bahawa rakyat Indonesia yang melacurkan diri di negara ini kebanyakkanya terpedaya dengan sindiket pelacuran yang menyamar sebagai ejen pekerjaan dan menjanjikan kepada mereka peluang pekerjaan yang baik seperti pembantu rumah, pembantu kedai dan pekerja kilang. Mengikut data yang dikeluarkan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada 8 November 2005, Malaysia telah menyaksikan kes pelacuran kanak-kanak dengan purata 150 sehingga 160 gadis tempatan ditahan setiap tahun kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran. Ini dianggarkan bahawa seramai 150 ribu orang terbabit dalam kegiatan pelacuran dan daripada jumlah ini kebanyakkan melibatkan wanita dewasa.
Apakah yang menyebabkan berlakunya aktiviti pelacuran? Persoalan ini kerap ditanya dalam kalangan masyarakat hari ini. Walaupun kegiatan atau aktiviti pelacuran dianggap keji dan hina dalam agama dan juga masyarakat, tetapi masih ramai lagi wanita yang sanggup untuk menjadi pelacur. Terdapat banyak sebab mengapa masih ramai lagi wanita yang ingin menjadi pelacur, antaranya ialah kerana masalah kemiskinan, kehilangan moral, dicerai oleh suami, keruntuhan rumahtangga dan sebagainya. Akan tetapi, kita juga tahu bahawa masih ramai juga wanita-wanita yang dicerai, dimadu, yang miskin, mengalami keruntuhan rumahtangga dan yang hidup dalam masyarakat pemisif yang tidak menjadi pelacur. Jadi jawapan kepada persoalan ini adalah lebih daripada ini.

Peningkatan kes pelacuran telah menarik perhatian masyarakat awam yang secara tidak langsung merasakan ianya mengancam keharmonian masyarakat. Malah ada di antara mereka yang mempersoalkan kredibiliti dan peranan pihak berkuasa yang sepatutnya menjadi watak utama dalam usaha membasmi masalah ini. Terdapat pelbagai reaksi dan tidak kurang juga cadangan daripada masyarakat umum untuk membasmi aktiviti pelacuran ini antaranya mendesak hukuman mati ke atas penyeludup manusia seperti yang diterima oleh pengedar dadah. Relevannya hujah ini ialah tindakan penyeludupan manusia iaitu wanita ini telah menyebabkan pencabulan hak asasi manusia yang serius. Seperti manusia lain semua orang berhak untuk hidup dengan aman tanpa diganggu oleh sesiapapun. Tambahan pula mereka yang diseludup dan dijadikan pelacur ini akan mengalami gangguan jiwa yang berterusan sehingga akhir hayat mereka. Selepas ‘bersara’ daripada aktiviti ini kelak mereka tidak akan diterima oleh masyarakat umum kerana kegiatan yang pernah dilakukan sedangkan hakikatnya mereka tidak berkehendakkan begitu.



Idea bersama; Farid, Adib dan Naim

Tuesday, April 14, 2009

OOOHHH MAHASISWA.......

Assalamualaikum wbt dan salam perpaduan

Persoalan yang akan dikemukakan pada kali ini adalah berkaitan kehidupan mahasiswa masa kini iaitu persoalan adakah suara mahasiswa pada masa kini sudah hilang taringnya?? Mesti kamu semua tertanya-tanya kenapa saya menimbulkan persoalan ini. Mungkin apa yang akan dibicarakan oleh saya pada kali ini akan menyentuh hati banyak pihak dan sebelum saya berbicara dengan lebih lanjut, terlebih dahulu saya ingin memohon maaf jika ada yang terasa dengan bicara saya ini..

Ok kita pergi kepada perbincangan ini..Antara sebab utama kenapa saya menimbulkan persoalan ini adalah kerana saya mendapati mahasiswa/i pada masa kini sangat berbeza dengan mahasiswa/i pada era 70-an dan 80-an dahulu. Apa yang dikatakan berbeza itu??yang dikatakan berbeza ini ialah keberanian mahasiswa itu sendiri, cara pemakaian mahasiswa/i dahulu dan kini, dan penglibatan dalam organisasi sama ada berpersatuan atau kelab. Mungkin ada banyak lagi perbezaannya tetapi saya akan mengfokuskan tiga aspek ini sahaja.

Apakah yang dikatakan dengan keberanian mahasiswa??Keberanian mahasiswa yang dimaksudkan disini ialah keberanian mahasiswa/i itu sendiri dalam menegakkan kebenaran dan membongkar kesalahan sama ada dalam fakulti, kampus dan diluar sana iaitu dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan hari ini. Kalau dahulu semasa era 70-an kita dapat menyaksikan keberanian mahasiswa/i dalam menegakkan sesuatu isu dan kebenarannya tanpa mempedulikan halangan yang menimpa. Cuba kita lihat bagaimana keberanian mahasiswa/i seperti di Indonesia dan Thailand yang tidak puas hati dengan amalan pemerintahan pada masa itu dan akhirnya berjaya menjatuhkan kerajaan tersebut. Tetapi mahasiswa/i pada masa kini sangat jauh berbeza. Boleh dikatakan seolah-olah pengecut untuk menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman. Di UKM sendiri, hak, peranan dan suara mahasiswa juga disekat dalam membincangkan isu-isu semasa..penindasan terhadap mahasiswa terus berlaku contohnya di Kolej Zaaba..mahasiswa/i seolah-olah tidak berani untuk menuntuk hak dan kebajikan mereka..Demonstrasi baru-baru ini untuk menentang kezaliman dan penindasan di Kolej Zaaba tidak mendapat sambutan dikalangan mahasiswa/i..Kenapa????adakah kerana kamu takut dibuang kolej??adakah kamu sanggup ditindas dengan bayaran yang tinggi yang mencecah hampir RM800 semester termasuk dengan yuran aktiviti pelajar sebanyak RM100 sedangkan kemudahan yang disediakan dikolej amat daif berbanding kolej-kolej lain??Adakah kamu menyetujui apa yang dilakukan oleh pengurusan di Kolej Zaaba???Mana KUASA MAHASISWA kamu????

Dari segi pemakaian, mahasiswa/i seolah-olah menjadikan kampus dan fakulti sebagai medan untuk menggayakan pakaian masing-masing..Kalau pakaian itu sesuai dan menutup aurat serta tidak menjolok mata tak apa lah tetapi ini tidak..apa yang saya nyatakan disini ialah berdasarkan pemerhatian saya di FSSK khususnya golongan mahasiswi. walaupun saya sendiri tidak memakai pakaian ikut gaya UKM, tetapi apa yang saya pakai itu sesuai dan tidak menjolok mata..Pelbagai style dan trend pakaian yang dipakai mahasiswa/i pada zaman sekarang ini. ada yang pakai pakaian yang menyebabkan bonjolan hampir terkeluar, nampak "lurah gunung", kain belah sampil ke pangkal paha dan sebagainya lagi yang menyebabkan sakit mata memandang. Saya tak nak menuduh sesiapa, cukuplah tuan punye sendiri sedar.. Siapa makan lada, dialah yang akan rasa pedas kan...

Akhir sekali ialah dari segi penglibatan mahasiswa/i dalam organisasi sama ada persatuan atau kelab. Saya disini menentang sekeran2nya amalan merit yang dilaksanakan oleh pihak universiti ataupun kementerian pengajian tinggi dalam berpersatuan atau kelab. Kenapa hanya penglibatan persatuan dikolej sahaja yang diberi merit dan bukan semua persatuan di dalam kampus dan fakulti???Kalau lah betul2 nak melaksanakan peraturan ini, jadikan semua persatuan dan kelab yang terdapat didalam kampus khususnya UKM mempunyai merit ataupun hapuskan terus peraturan ini. Pelaksanaan sistem ini telah merosakkan minda mahasiswa/i khusunya sesi 2008/2009 tahun1. Ini kerana mereka hanya menyertai sesuatu persatuan atau kelab berdasarkan kepada merit tersebut dan bukannya kepada minat atau aktiviti berorganisasi. Jadi disini saya menyarankan, wujudkanlah sesuatu sistem dan peraturan yang betul-betul boleh membantu mahasiswa/i dan bukannya sistem dan peraturan yang boleh merosakkan minda mahasiswa/i.


Sekian...

STUDY...STUDY...STUDY..!!!!!


Tekanan dan bahang exam semakin terasa..tetapi diri ini masih lagi tidak bersedia untuk menempuh final exam ini..arghhhhhhhhhh!!!!!!!!!!!apa masalahnya yang terjadi kepada diriku sejak akhir-akhir ini????sangat susah rasanya nak tumpukan pada pembelajaran...

Apa tidaknya, setiap kali mengadap buku, tidak sampai 15 minit pun memulakan pembacaan, fikiran aku akan melayang entah kemana..sangat susah untuk diriku mengerti..Adakah kawan-kawan aku ada penawarnya??boleh dikatakan semester ini, aku merasakan yang paling teruk berbanding dengan semester2 yang lepas..dah la asignment ade lagi yang belum submit..aduh!!!sedihnya diri ini..

Kepada adik perempuan bongsu kesayanganku, aku mengerti perasaanmu apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga..luahan hatimu beserta tangisan semalam amat mendalam maknanya..belajarlah kamu di MRSM itu dan hadiahkanlah kepada abah dan umi sebuah kejayaan yang cemerlang..aku mendoakan agar engkau tabah dan sabar menghadapi situasi ini kerana perjalanan hidupmu masih panjang dan kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku dimasa akan datang..

Kepada kawan-kawanku yang akan berjuang bersama-sama dalam menempuhi final exam ini, aku ucapkan semoga berjaya dan buatlah yang terbaik demi kejayaan masa depanmu dan keluargamu..

Friday, April 3, 2009

AKU CARI DAMAI ABADI

Kucari bukan harta bertimbun-timbun
untuk hidup kaya,
Aku cari bukan wang berjuta-juta
untuk hidup bergaya,
Aku cari bukan kawan-kawan
untuk hidup sekadar berfoya-foya,
Aku cari mana dia Al-Ghazali
Aku cari mana dia Al-Shafie
Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari pedoman,
Kita bongkar rahsia Sunnah Nabi
Cari pedoman,
Aku hidup kerana DIA RABBI,
Dialah teman,
Dialah wali,
Dia mencukupi,
Aku hidup bererti,
Menikmati damai abadi...



Alangkah bagusnya kalau setiap pemimpin kita menghayati dan mengaplikasikan setiap ungkapan dalam sajak ini dalam setiap kehidupan mereka..

Friday, March 27, 2009

PEMUDA UMNO RESTUI RASUAH???

Assalamuaikum w.b.t dan salam perpaduan

Betul ke Pemuda UMNO restui amalan rasuah?? Adakah ini hanya retorik semata-mata hanya untuk memburuk dan menjatuhkan UMNO?? Hari ini penulis tertarik hendak menghuraikan serba sedikit kenyataan di atas kerana isu ini bukan hanya melibatkan Pemuda UMNO sahaja secara amnya tetapi melibatkan seluruh badan UMNO khususnya dan juga masyarakat Malaysia. Ini kerana UMNO merupakan parti pemerintah yang dipilih oleh rakyat. Jadi pada kali ini penulis menulis atas tiket sebagai salah seorang daripada masyarakat Malaysia yang memperjuangkan kebenaran, ketelusan, hakikat dan juga kebebasan sebagai seorang rakyat dalam negara yang mengamalkan sistem pemerintahan berasaskan demokrasi.

Seperti yang kita telah ketahui semua, Khairy Jamaluddin (KJ) telah memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO yang menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada pemilihan kali ini. Sangat luar biasa beliau memenangi jawatan ini kerana kalau kita tengok dari awal iaitu semasa pencalonan, beliau hanya mendapat sedikit pencalonan berbanding Datuk Mukhriz dan juga calon lain. Satu lagi aspek yang perlu dilihat dan dikaji ialah kenapa KJ yang didapati bersalah mengamalkan politik wang tidak dikenakan hukuman yang sewajarnya seperti yang telah dikenakan keatas Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam dimana Lembaga Disiplin UMNO telah melarang Mohd Ali bertanding jawatan timbalan presiden UMNO.

Pelik bunyinya apabila KJ memenangi jawatan Ketua Pemuda tetapi itulah kenyataannya yang mesti diterima oleh masyarakat Malaysia amnya. KJ yang telah didapati bersalah mengamalkan politik wang melalui ejen-ejennya masih boleh bertanding dan memenangi jawatan tersebut. Sungguh pelik bunyinya kan seolah-olah amalan rasuah ini direstui dalam pemuda UMNO. Mengikut apa yang penulis tahu, dalam Islam amalan RASUAH ini hukumya HARAM!! Ini termasuklah pemberi dan penerima rasuah yang mana hukumnya tetap sama iaitu HARAM!! Seperti yang kita semua sedia maklum, UMNO merupakan parti orang Melayu yang mana menganut agama Islam. Penulis merasakan sebagai seseorang pemimpin terutamanya orang Islam, persoalan agama, etika dan moral perlu dititik beratkan dalam kepimpinan kerana kalau semua aspek ini tidak diambil kira, penulis yakin, tidak mustahil pada suatu hari nanti negara tercinta Malaysia akan 'jatuh tersungkur' kalau pemimpin kita mengamalkan dan 'merestui' amalan rasuah ini.

Antara pemimpin yang lantang membantah amalan ini ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang mana menurut beliau, perbuatan merestui rasuah adalah satu pengkhianatan kepada bangsa Melayu dan negara Malaysia. Menurut beliau lagi yang tidak hadir semasa perhimpunan agung UMNO, beliau merasakan antara sebab beliau tidak menghadiri majlis tersebut kerana beliau merasakan diri akan tercemar apabila berada bersama-sama orang yang mendokongi amalan rasuah ini. Penulis merasakan apa yang dikatakan Tun Dr. Mahathir ini ada kebenaranya kerana amalan rasuah ini seolah-olah telah menjadi darah daging dalam perjuangan UMNO.

Disini, penulis tidak nafikan bukan UMNO sahaja yang mengamalkan politik wang atau rasuah ini kerana bagi penulis parti politik lain sama ada dalam komponen Barisan Nasional atau pembangkang tetap ada amalan ini akan tetapi bilangannya amat sedikit kalau hendak dibandingkan dengan UMNO. Walaupun pendirian penulis dalam politik ini lebih memihakkan kepada parti kerajaan tetapi bagi penulis hakikat tetap hakikat dan yang salah mesti dikenakan tindakan yang tegas lebih-lebih lagi apabila melibatkan antara pemimpin tertinggi. Kadang-kadang penulis merasa sangat kecewa kerana amalan rasuah dalam UMNO ini tidak pernah hilang akan tetapi semakin berleluasa. Adakah UMNO sekarang ini tidak dapat lagi untuk menggerakkan perjuangan meraka kalau tidak menerima rasuah??? Penulis rasa jawapan kepada persoalan ini ada kepada pemimpin-pemimpin UMNO masa kini. Semoga UMNO melakukan perubahan yang drastik dalam memerangi masalah ini daripada terus berleluasa kerana bagi penulis sebagai masyarakat Malaysia, penulis mahukan ketelusan, kejujuran, dan kebertanggungjawaban dalam setiap diri pemimpin-pemimpin Malaysia demi menjamin keutuhan sistem pemerintahan di Malaysia. Sekian...

PENGUMUMAN PENTING!!!


Assalamualaikum w.b.t dan salam perpaduan

Apa khabar semua kawan-kawanku??free tak 8hb April ni??
Ok klu free, jom kita sama2 menyertai dinner fakulti kita, FSSK yang akan di adakan di Bangi Golf Resort pada 8hb April 2009 dimana programnya dijadualkan bermula pada pukul 8.00 malam sehingga 11.30 malam. Bagi sesiapa yang tidak mempunyai kenderaan, jangan risau yer kerana pihak ajk PMFSSK telah menyediakan bus untuk kesana.. Bayaran yang dikenakan murah sahaja hanya RM23 yang dikenakan. Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sepanjang malam tersebut antaranya persembahan band,cabutan bertuah dan banyak lagi..Jom sama2 kita memeriahkan 'Malam Emas Tradisi Abadi' pada 8hb April nanti....pelajar dari fakulti lain turut dijemput untuk menyertai dinner ini..kaunter tiket telah dibuka di laluan utama FSSK dihadapan surau FSSK..So, tunggu apa lagi???



Ok satu lagi dinner yang akan diadakan di Bangi Golf Resort iaitu dinner PESEPSI yang dijadualkan akan diadakan pada 10hb April 2009 ini bermula pada pukul 8.00 malam. Diharapkan kepada semua ahli PESEPSI dapat menyertai majlis 'MALAM APRISIASI PESEPSI' ini bagi memeriahkan lagi majlis tersebut..Bayaran yang dikenakan hanya RM25 sahaja dan saya pasti anda semua pasti akan berpuas hati apabila menyertai majlis ini..Tema pada malam itu ialah 'Pesona Elegance'..So, tunggu apa lagi???

Wednesday, March 18, 2009

KERINDUAN YANG TIADA PENGHUJUNGNYA...

Jam menunjukkan hampir pukul 3 pagi. Masa ini merupakan waktu yang sesuai untuk belajar kerana suasananya yang nyaman dan sunyi sepi membuatkan hati ini tenang untuk membaca. Rakan-rakan sebilikku telah enak dibuai mimpi tatkala aku sekarang ini masih segar berada dihadapan komputer. Malam ini aku terpaksa menahan nafsu tidurku disebabkan esok aku ada midterm subjek Gerakan Agama dan perbentangan subjek U2 iaitu Kemahiran Membuat Keputusan. InsyaAllah aku mintak esok semuanya berjalan dengan lancar..

Berjauhan dengan keluarga tersayang merupakan pengorbanan yang amat berat untuk aku tempuhi tetapi demi untuk kebaikan dan masa depanku, aku gagahkan hati ini untuk terus menimba ilmu tidak kira walau apa dugaan sekalipun yang terpaksa aku hadapi..Kata-kata Ayahandaku masih tergiang-ngiang ditelingaku "abah tak ade ape-ape nak dibahagikan kepada anak-anak abah, hanya ilmu dan pelajaran sahaja yang abah boleh beri untuk masa depan anak-anak abah. Belajarlah baik-baik.." Sungguh sayu dan sedih disaat ungkapan itu diluahkan kepadaku..aku sangat rindukan mereka..!!

Petang tadi semasa kerinduanku sedang bergelora dalam jiwa mengingatkan mereka, sedar tak sedar aku telah tertidur dengan jiwa yang penuh dengan kerinduan. Tiba-tiba hatiku sangat tersentuh apabila dalam tidurku, aku telah bermimpi berjumpa dengan arwah tok guru yang mengajar aku mengaji Al-Quran. Saat itu aku merasakan diriku sangat rindu kepadanya. Dialah yang banyak mengajar aku mengenal erti kehidupan. Jasa, budi dan pengorbananya dalam mendidik aku tidak akan aku lupakan untuk selama-lamanya. Semasa dalam mimpi tersebut, aku menangis teresak-esak sambil memegang dan mencium tangannya tatkala mulut ini tidak henti-henti memohon maaf dan meminta supaya dihalalkan segala ilmu yang telah diajarnya sebelum ini. Walaupun sudah hampir sebulan beliau telah kembali ke Rahmatullah, aku merasakan seolah-olah baru kemarin berjumpa dengannya. Kenanganku semasa belajar mengaji Al-Quran dengannya akan terus terpahat dihati ini sampai bila-bila. Inilah kerinduan yang tiada penhujungnya. Semoga Allah s.w.t mencucuri rahmatnya dan meletakkannya dalam kalangan orang-orang mukmin. Al-Fatihah...


dosa-dosaku bagaikan pepasir dipantai
sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar..

Tuhanku, ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku, maafkanlah kejahilan hambaMu
Tuhanku, Kau pimpinlah diri ini yang mendamba cintaMu
aku lemas, aku jahil tanpa pimpinan dariMu
Kau Pengasih, Kau Penyanyang , Kau Pengampun kepada hamba-hambaMu..

Tuesday, March 17, 2009

JENAYAH ROGOL KANAK-KANAK SEMAKIN SERIUS??

Assalamualaikum w.b.t dan salam perpaduan...

Bila bercakap pasal jenayah rogol kanak-kanak, sudah tentu fikiran kita tidak lari dari mengingatkan kanak-kanak yang telah menjadi mangsa rakus nafsu syaitan yang tidak berperikemanusiaan. Ya memang hanya ungkapan ini lah yang sesuai untuk di gambarkan kepada penjenayah yang telah meragut nyawa kanak-kanak dengan kejam.

Sudah tentu anda semua masih ingat Allahyarham Nurin Jazlin kan??Kanak-kanak ini telah dirogol dan dibunuh dengan kejam pada tahun 2007 yang lalu!!! Dimana sifat perikemanusiaan manusia?? Sungguh sedih dan sayu apabila mengingatkan kematian adik Nurin ini.. Dan yang terbaru kehilangan adik Sharlinie juga yang masih belum diketahui nasibnya walaupun pelbagai usaha yang telah dilakukan untuk mengesan penjenayah tersebut..Cuba kita berfikir sejenak, apakah salah kanak-kanak ini sehingga diperlakukan dengan kejam???

Kalau zaman saya kecil-kecil dahulu, kanak-kanak bebas hendak bermain sama ada dihalaman rumah, taman permainan, lain-lain tempat lagi disekitar kampung mereka akan tetapi pada zaman sekarang ini kanak-kanak sudah tidak bebas hendak bermain walaupun dihalaman rumahnya sendiri..Dimana hak dan kebebasan kanak-kanak??Tak kan kita nak anak-anak kita pada masa akan datang hanya terperuk didalam rumah sahaja??Dimana keamanan dan kedamaian yang kita selalu sebut-sebutkan tu??

Secara tersuratnya negara kita, Malaysia telah hampir 52 tahun merdeka akan tetapi secara tersiratnya kita masih belum merdeka!!YA kita masih belum merdeka dan bebas daripada masalah sosial yang semakin menggila khususnya seperti keganasan, jenayah, penderaan dan penculikan kanak-kanak.. Walaupun kematian adik nurin sudah hampir dua tahun berlalu, tetapi adakah masyarakat kita sedar bahawa jenayah tersebut mungkin akan berulang??Penjenayah tidak akan berhenti melakukan kegiatan mereka, cuma kita sebagai orang awam yang kadangkala terlupa dengan jenayah membabitkan kanak-kanak ini kerana ia tidak mustahil akan berulang, jika tiada langkah khusus diambil segera.




-MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA-