Monday, April 27, 2009

KENAPA PARTI POLITIK BUKAN PERKAUMAN SUKAR MENDAPAT TEMPAT DALAM POLITIK MALAYSIA??

Sejak lebih 50 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, kita dapai parti politik bukan perkauman sukar mendapat tempat dalam politik Malaysia. Terdapat banyak isi tersurat dalam menghuraikan perkara ini dan mungkin sesuatu perkara yang dibangkitkan akan menimbulkan sebarang perasaan ketidakpuasan hati mana-mana pihak. Oleh itu, saya ingin memohon seribu kemaafan jika huraian saya nanti akan menyentuh perasaan tidak puas hati beberapa pihak. Sebagai perbincangan bertunjangkan akademik, saya rasa tidak ada salahnya saya menimbulkan persoalan sedemikian demi merungkaikan setiap jawapan kepada persoalan tersebut yang berpaksi kepada kebenaran.


Secara umumnya parti politik bukan perkauman bermaksud satu bentuk organisasi mengenai badan organisasi yang tidak menghadkan keahlian mereka kepada satu etnik sahaja tetapi keahliannya terbuka kepada pelbagai etnik dan bertujuan untuk menjaga kepentingan bersama. Orang Melayu, Cina, India, dan etnik-etnik lain boleh menyertai dan berada dibawah satu parti yang sama. Ini bermakna rakyat yang berbeza sama ada dari segi agama, bangsa, dan budaya boleh berada dibawah satu parti yang sama. Antara parti bukan perkauman yang masih lagi dapat bertahan dalam arena politik Malaysia ialah Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Democration Action Party (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Terdapat banyak faktor yang yang menyebabkan parti-parti ini sukar mendapat tempat dalam politik Malaysia. Akan tetapi, selepas pilihanraya umum yang lepas kita dapati parti-parti ini sudah menampakkan sinar yang baru apabila banyak memenangi kerusi DUN dan Parlimen dan berjaya menguasai beberapa buah negeri yang sebelum ini berada erat dalam gengaman parti pemerintah iaitu Barisan Nasional.


Parti bukan perkauman sukar mendapat tempat dalam politik Malaysia kerana ideologi parti ini tidak berfungsi untuk mempertahankan kaum akan tetapi dalam masa yang sama ingin menjadi juara kaum antara etnik tertentu sahaja. Kebanyakan parti bukan perkauman walaupun membuka keahliannya kepada semua kaum tetapi secara purata keanggotanya terdiri daripada majoriti kelompok kaum tertentu sahaja. Ini dapat dibuktikan dalam parti DAP walaupun dari sudut ideologinya memperjuangkan nilai dan norma politik yang bersifat nasional tetapi diperjuangkan dalam bentuk etnik Cina sahaja. Secara khususnya parti ini didaftarkan sebagai sebuah parti yang berbilang kaum pada 18.08.1966 lanjutan daripada Parti Tindakan Rakyat dan diasaskan oleh Chen Man Hin, Devan Nair dan Goh Hock Guan yang bersifat kearah perjuangan pembentukan Malaysian Malaysia.


Selain itu, dari segi budaya politik masyarakat Malaysia sendiri juga mereka lebih cenderung untuk memilih wakil-wakil daripada kaum mereka sendiri sahaja. Menurut Smith dan Van Den Beighe dalam politik bukan perkauman melihat masyarakat berbilang kaum lebih cenderung untuk mengekalkan kelangsungan identiti masing-masing serta mempertahankan nilai, budaya, dan idea yang berbeza antara kelompok masyarakat. Ini kerana, mereka lebih cenderung mempertahankan nilai sendiri dan cuba memaparkan nilai tersebut kepada masyarakat lain yang berbeza agama, budaya, dan bahasa atau etnik yang berbeza. Contohnya dalam politik bukan perkauman didapati bahawa orang Cina sukar untuk memilih wakil dari kalangan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya.


Dalam parti bukan perkauman, pertelingkahan pendapat sering kali terjadi dalam kalangan ahli-ahli mahupun calon-calon itu sendiri. Pertelingkahan pendapat ini telah memberi kesan sampingan kepada parti politik mereka sama ada parti politik mereka bertambah baik atau musnah kerana kedegilan dan saling tidak sama pendapat. Akibat dari itu menyebabkan parti bukan perkauman sukar untuk mendapat tempat dalam politik negara. Pertelagahan dan kelemahan organisasi parti bukan perkauman menyebabkan ahli-ahli dalam parti mereka tidak dapat mengekalkan keahliannya.


Disampin itu juga, corak pemerintahan Malaysia yang mengamalkan konsep, ciri-ciri, dan prinsip-prinsip demokrasi tetapi dalam masa yang sama wujud juga unsur-unsur penekanan dan pembendungan kebebasan berpolitik seperti halangan-halangan untuk berkempen dalam pilihan raya, penguasaan media massa oleh pemerintah, kebebasan bersuara yang di dominasi oleh golongan elit politik keatas parti bukan perkauman menyebabkan parti ini susah untuk mengekalkan kedudukannya dalam politik Malaysia. Disebabkan ini juga, parti bukan perkauman tidak berkuasa kerana parti-parti perkauman telah memonopoli kedudukan dan kuasa politik mereka menjadi semakin kukuh dan jitu. Peranan media massa yang hanya semata-mata bersifat sebagai propaganda politik nampaknya jauh daripada mencukupi untuk mempengaruhi rakyat supaya tidak menyokong parti bukan perkauman. Kebanyakkan laporan media banyak memihak kepada kerajaan seperti saluran TV dan akhbar yang menyebabkan parti bukan perkauman menjadi semakin lemah untuk terus kekal dalam politik negara.


Selain itu, penggunaan akta-akta seperti ISA, AUKU, Akta Hasutan 1948, Akta Polis 1967 dan sebagainya dilihat seolah-olah telah menodai hak demokrasi rakyat sekaligus menyebabkan masalah kepada rakyat. Ini kerana, rakyat susah untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka dalam hal-hal yang berkaitan kepimpinan parti pemerintah. Disamping itu juga didapati bahawa akta-akta ini telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk kepentingan peribadi gologan mereka sahaja.


Saya tidak nafikan mungkin masih terdapat banyak lagi faktor-faktor yang menyebabkan parti politik bukan perkauman ini susah mendapat tempat dalam politik Malaysia selain daripada apa yang diperkatakan di atas. Tetapi percayalah selagi masyarakat Malaysia masih lagi berpaksi kepada sentimen perkauman yang menebal dalam diri setiap kaum, parti politik bukan perkauman pasti sukar untuk mendapat tempat dalam politik Malaysia.


Sekian..

Saturday, April 25, 2009

RENUNGAN BERSAMA....

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah, "Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, Al-Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku." Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.


Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. "Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.


Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"


"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. "Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.


Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.


"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. "Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan bimbang, wahai Rasulullah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Ku haramkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.


Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. "Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku." Badan Rasulullah mulai dingin , kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku",


"peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan."Ummatii, ummatii, ummatiii?"


"Umatku, umatku, umatku" Dan berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi. Betapa cintanya Rasulullah kepada kita semua.

Thursday, April 23, 2009

PELACURAN DI MALAYSIA

Secara ringkasnya, pelacuran bolehlah dianggap sebagai penjualan khidmat seksual, seperti seks oral atau hubungan seks yang biasanya untuk mendapatkan wang. Namun kadang-kadang ianya juga dilakukan untuk mendapatkan dadah, barang kemas, makanan, ataupun apa-apa sahaja tawaran yang dipersetujui secara bersama antara pelacur dan pelanggannya. Lazimnya, seseorang yang melacurkan diri disebut sebagai pelacur dan kebanyakan pelacur adalah perempuan. Namun, wujud juga pelacur dalam kalangan kaum lelaki yang biasanya dipanggil sebagai gigolo dan sebagainya.

Khalayak lazimnya menganggap pelacuran adalah pelacuran seksual iaitu pelacuran melalui hubungan seks semata-mata. Mereka menganggap melacur itu hanya perbuatan bercumbu-cumbuan, raba-meraba dan seterusnya mengadakan hubungan kelamin antara pelacur dan pelanggannya sahaja. Namun terdapat beberapa persoalan utama berkenaan pelacuran yang masih menimbulkan keraguan umum sebenarnya.

Pertama, adakah khidmat tukang urut kemaluan lelaki dari kalangan wanita itu dianggap sebagai khidmat pelacuran. Sedangkan tujuan sebenar khidmat urutan itu adalah untuk memperkuatkan fungsi dan peranan kemaluan lelaki yang diurut? Atas alasan khidmat itu boleh menaikkan nafsu shahwat, sebilangan daripada masyarakat menganggap ianya juga merupakan suatu cabang daripada cabang-cabang pelacuran.

Kedua, adakah pelayan-pelayan pusat-pusat hiburan yang berpewatakan penggoda itu juga boleh dianggap sebagai pelacur kerana aspek fizikal mereka yang berpakaian seksi dan menggoda? Hal ini lazimnya mendapat reaksi berbeza daripada masyarakat. Ada yang menkelaskan mereka hanya sekadar pelayan pusat hiburan semata-mata, namun tidak kurang juga yang mengelaskan golongan ini sebagai pelacur berdasarkan pesepsi yang menganggap semua perkerja wanita yang berpakaian seksi di pusat-pusat hiburan biasanya akan menawarkan khidmat seks kepada pengunjung pusat-pusat hiburan itu.

Walau bagaimanapun, secara umumnya, pelacuran dianggap oleh kebanyakkan masyarakat didunia sebagai satu kesalahan dari segi agama, adat, budaya dan undang-undang. Dalam kalangan masyarakat Malaysia, pelacuran dipandang negatif, dan mereka yang menjual tubuh sering ini dianggap sebagai sampah masyarakat yang amat hina.

Namun, ada juga dari kalangan anggota masyarakat yang memuliakan kerja-kerja pelacuran. Ianya pernah berlaku di Barat yang mana masyarakat Barat ketika itu menganggap pelacur adalah platform untuk kaum lelaki menyalurkan kehendak nafsu yang tidak dapat dikawal. Masyarakat disana suatu ketika dahulu berpendapat, dengan adanya golongan pelacur yang menawarkan khidmat seks ini, jenayah rogol yang berlaku akibat kegagalan kaum lelaki untuk mengawal nafsu seksualnya akan dapat dikurangkan kerana mereka sudah punyai saluran yang sah untuk menunaikan kehendak nafsu seksual mereka itu. Pelacuran kaum lelaki juga turut diagungkan kerana matlamat dan alasan yang sama sepert yang dinyatakan tadi.

Pesepsi yang berbeza ini didukung oleh pelbagai pihak di Barat ketika itu, antara salah seorang yang mengemukakan pandangan seperti itu adalah Augustine dari Hippo iaitu seorang paderi gereja. Augustine mengatakan bahawa pelacuran itu ibarat selokan yang menyalurkan air yang busuk dari kota demi menjaga kesihatan warga kotanya. Dalam hal ini, pelacuran dilihat sebagai suatu pengorbanan golongan minoriti kepada kestabilan sosial golongan yang majoriti.

Pelacur juga mempunyai kategori yang berbeza-beza, walaupun secara dasarnya mereka adalah sama iaitu bersama-sama menjual tubuh untuk mendapatkan sesuatu faedah, namun jika diteliti secara lebih mendalam, bukan semua pelacur itu berada di lorong-lorong gelap sebagai contoh. Bukan semua pelacur itu menerima sesiapa sahaja yang ingin melanggan perkhidmatannya. Bukan semua pelacur itu menawarkan bayaran yang serupa dan rendah kepada pelangan-pelangannya. Disinipun kita sudah dapat melihat perbezaan dan dan kelainan setiap pelacur-pelacur itu. Secara kasarnya, pelacur dapat dikelaskan kepada tujuh kategori utama seperti bohsia, pelacur pasar, pelacur jalanan, pelacur bermajikan, pelacur tukang urut dan pelayan pusat hiburan, pelacur bebas serta pelacur kehormat.

Kegiatan pelacuran di Malaysia dikatakan telah bermula seawal abad ke-18 lagi iaitu apabila berlakunya kemasukan imigran-imigran dari China dan India secara besar-besaran untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah dan juga di ladang-ladang getah iaitu sejak 1830-an lagi. Kehadiran imigran-imigran ini terutamanya buruh-buruh lelaki yang ramai telah mengakibatkan golongan wanita semakin berkurangan daripada lelaki.

Situasi ini telah menyebabkan berlakunya penyeludupan golongan wanita dari luar negara secara besar-besaran bagi memenuhi tuntutan permintaan yang tinggi terhadap golongan wanita terutama dari segi tuntutan nafsu iaitu melalui aktiviti pelacuran. Mengikut statistik Polis Kuala Lumpur melalui sumber Utusan Malaysia, mendapati bahawa kaum Melayu merupakan kaum yang paling ramai terlibat dalam aktiviti pelacuran iaitu sebanyak 60%, diikuti dengan kaum Cina sebanyak 30%, lain-lain kaum pula sebanyak 8% dan kaum India dengan peratusan yang paling rendah iaitu sebanyak 2%.

Kegiatan aktiviti pelacuran terdapat di hampir semua bandar di negara ini. Ini boleh dikatakan bahawa hampir setiap bandar mempunyai aktiviti pelacuran. Contohnya di Alor Star, aktiviti pelacuran terdapat di Lorong Petani, di Bukit Mertajam dan Jalan Mengkuang di Pulau Pinang. Di ibu negara iaitu Kuala Lumpur, antara tempat aktiviti pelacuran yang terkenal ialah kawasan Lorong Haji Taib, Jalan Hickhs, Jalan Bukit Bintang, dan Jalan Thambitillay di Briekfields. Namun demikian, tidak seorang pun tahu bilangan pelacur yang terdapat di negara ini. Angka-angka yang diketahui adalah taksiran atau bilangan yang ditangkap dan angka-angka yang ada pun boleh dikatakan tidak selari.

Menurut laporan dari Pegawai Pencegah Maksiat, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Asisten Supritenden Choo Lily, sejak dari tahun 1996 sehingga Februari 2003, sebanyak 17, 448 wanita rakyat asing ditangkap. Hasil daripada tangkapan tersebut didapati bahawa rakyat asing dari negara Indonesia adalah paling ramai iaitu berjumlah 10,576 orang, diikuti dengan Thailand iaitu seramai 3,096 orang, Filipina pula seramai 1,794 orang, China seramai 1,149 orang, Uzbekistan seramai 388 orang, Kemboja seramai 107 orang, Rusia seramai 71 orang, Vietnam seramai 66 orang, Myanmar seramai 55 orang, India seramai 43 orang dan Taiwan seramai 21 orang. Manakala pelacur dari Ukraine pula seramai 17 orang yang telah ditangkap diikuti dengan Singapura seramai 12 orang, Kazakstan seramai 10 orang dan Columbia pula seramai 9 orang yang berjaya ditangkap.

Kalau dikaji dan diperhatikan, mengapa terlalu ramai warga asing terlibat dalam pelacuran di Malaysia? Terdapat banyak persoalan yang boleh dipersoalkan dalam mengkaji masalah ini yang melibatkan warga asing. Ada pendapat mengatakan bahawa rakyat Indonesia yang melacurkan diri di negara ini kebanyakkanya terpedaya dengan sindiket pelacuran yang menyamar sebagai ejen pekerjaan dan menjanjikan kepada mereka peluang pekerjaan yang baik seperti pembantu rumah, pembantu kedai dan pekerja kilang. Mengikut data yang dikeluarkan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada 8 November 2005, Malaysia telah menyaksikan kes pelacuran kanak-kanak dengan purata 150 sehingga 160 gadis tempatan ditahan setiap tahun kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran. Ini dianggarkan bahawa seramai 150 ribu orang terbabit dalam kegiatan pelacuran dan daripada jumlah ini kebanyakkan melibatkan wanita dewasa.
Apakah yang menyebabkan berlakunya aktiviti pelacuran? Persoalan ini kerap ditanya dalam kalangan masyarakat hari ini. Walaupun kegiatan atau aktiviti pelacuran dianggap keji dan hina dalam agama dan juga masyarakat, tetapi masih ramai lagi wanita yang sanggup untuk menjadi pelacur. Terdapat banyak sebab mengapa masih ramai lagi wanita yang ingin menjadi pelacur, antaranya ialah kerana masalah kemiskinan, kehilangan moral, dicerai oleh suami, keruntuhan rumahtangga dan sebagainya. Akan tetapi, kita juga tahu bahawa masih ramai juga wanita-wanita yang dicerai, dimadu, yang miskin, mengalami keruntuhan rumahtangga dan yang hidup dalam masyarakat pemisif yang tidak menjadi pelacur. Jadi jawapan kepada persoalan ini adalah lebih daripada ini.

Peningkatan kes pelacuran telah menarik perhatian masyarakat awam yang secara tidak langsung merasakan ianya mengancam keharmonian masyarakat. Malah ada di antara mereka yang mempersoalkan kredibiliti dan peranan pihak berkuasa yang sepatutnya menjadi watak utama dalam usaha membasmi masalah ini. Terdapat pelbagai reaksi dan tidak kurang juga cadangan daripada masyarakat umum untuk membasmi aktiviti pelacuran ini antaranya mendesak hukuman mati ke atas penyeludup manusia seperti yang diterima oleh pengedar dadah. Relevannya hujah ini ialah tindakan penyeludupan manusia iaitu wanita ini telah menyebabkan pencabulan hak asasi manusia yang serius. Seperti manusia lain semua orang berhak untuk hidup dengan aman tanpa diganggu oleh sesiapapun. Tambahan pula mereka yang diseludup dan dijadikan pelacur ini akan mengalami gangguan jiwa yang berterusan sehingga akhir hayat mereka. Selepas ‘bersara’ daripada aktiviti ini kelak mereka tidak akan diterima oleh masyarakat umum kerana kegiatan yang pernah dilakukan sedangkan hakikatnya mereka tidak berkehendakkan begitu.



Idea bersama; Farid, Adib dan Naim

Tuesday, April 14, 2009

OOOHHH MAHASISWA.......

Assalamualaikum wbt dan salam perpaduan

Persoalan yang akan dikemukakan pada kali ini adalah berkaitan kehidupan mahasiswa masa kini iaitu persoalan adakah suara mahasiswa pada masa kini sudah hilang taringnya?? Mesti kamu semua tertanya-tanya kenapa saya menimbulkan persoalan ini. Mungkin apa yang akan dibicarakan oleh saya pada kali ini akan menyentuh hati banyak pihak dan sebelum saya berbicara dengan lebih lanjut, terlebih dahulu saya ingin memohon maaf jika ada yang terasa dengan bicara saya ini..

Ok kita pergi kepada perbincangan ini..Antara sebab utama kenapa saya menimbulkan persoalan ini adalah kerana saya mendapati mahasiswa/i pada masa kini sangat berbeza dengan mahasiswa/i pada era 70-an dan 80-an dahulu. Apa yang dikatakan berbeza itu??yang dikatakan berbeza ini ialah keberanian mahasiswa itu sendiri, cara pemakaian mahasiswa/i dahulu dan kini, dan penglibatan dalam organisasi sama ada berpersatuan atau kelab. Mungkin ada banyak lagi perbezaannya tetapi saya akan mengfokuskan tiga aspek ini sahaja.

Apakah yang dikatakan dengan keberanian mahasiswa??Keberanian mahasiswa yang dimaksudkan disini ialah keberanian mahasiswa/i itu sendiri dalam menegakkan kebenaran dan membongkar kesalahan sama ada dalam fakulti, kampus dan diluar sana iaitu dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan hari ini. Kalau dahulu semasa era 70-an kita dapat menyaksikan keberanian mahasiswa/i dalam menegakkan sesuatu isu dan kebenarannya tanpa mempedulikan halangan yang menimpa. Cuba kita lihat bagaimana keberanian mahasiswa/i seperti di Indonesia dan Thailand yang tidak puas hati dengan amalan pemerintahan pada masa itu dan akhirnya berjaya menjatuhkan kerajaan tersebut. Tetapi mahasiswa/i pada masa kini sangat jauh berbeza. Boleh dikatakan seolah-olah pengecut untuk menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman. Di UKM sendiri, hak, peranan dan suara mahasiswa juga disekat dalam membincangkan isu-isu semasa..penindasan terhadap mahasiswa terus berlaku contohnya di Kolej Zaaba..mahasiswa/i seolah-olah tidak berani untuk menuntuk hak dan kebajikan mereka..Demonstrasi baru-baru ini untuk menentang kezaliman dan penindasan di Kolej Zaaba tidak mendapat sambutan dikalangan mahasiswa/i..Kenapa????adakah kerana kamu takut dibuang kolej??adakah kamu sanggup ditindas dengan bayaran yang tinggi yang mencecah hampir RM800 semester termasuk dengan yuran aktiviti pelajar sebanyak RM100 sedangkan kemudahan yang disediakan dikolej amat daif berbanding kolej-kolej lain??Adakah kamu menyetujui apa yang dilakukan oleh pengurusan di Kolej Zaaba???Mana KUASA MAHASISWA kamu????

Dari segi pemakaian, mahasiswa/i seolah-olah menjadikan kampus dan fakulti sebagai medan untuk menggayakan pakaian masing-masing..Kalau pakaian itu sesuai dan menutup aurat serta tidak menjolok mata tak apa lah tetapi ini tidak..apa yang saya nyatakan disini ialah berdasarkan pemerhatian saya di FSSK khususnya golongan mahasiswi. walaupun saya sendiri tidak memakai pakaian ikut gaya UKM, tetapi apa yang saya pakai itu sesuai dan tidak menjolok mata..Pelbagai style dan trend pakaian yang dipakai mahasiswa/i pada zaman sekarang ini. ada yang pakai pakaian yang menyebabkan bonjolan hampir terkeluar, nampak "lurah gunung", kain belah sampil ke pangkal paha dan sebagainya lagi yang menyebabkan sakit mata memandang. Saya tak nak menuduh sesiapa, cukuplah tuan punye sendiri sedar.. Siapa makan lada, dialah yang akan rasa pedas kan...

Akhir sekali ialah dari segi penglibatan mahasiswa/i dalam organisasi sama ada persatuan atau kelab. Saya disini menentang sekeran2nya amalan merit yang dilaksanakan oleh pihak universiti ataupun kementerian pengajian tinggi dalam berpersatuan atau kelab. Kenapa hanya penglibatan persatuan dikolej sahaja yang diberi merit dan bukan semua persatuan di dalam kampus dan fakulti???Kalau lah betul2 nak melaksanakan peraturan ini, jadikan semua persatuan dan kelab yang terdapat didalam kampus khususnya UKM mempunyai merit ataupun hapuskan terus peraturan ini. Pelaksanaan sistem ini telah merosakkan minda mahasiswa/i khusunya sesi 2008/2009 tahun1. Ini kerana mereka hanya menyertai sesuatu persatuan atau kelab berdasarkan kepada merit tersebut dan bukannya kepada minat atau aktiviti berorganisasi. Jadi disini saya menyarankan, wujudkanlah sesuatu sistem dan peraturan yang betul-betul boleh membantu mahasiswa/i dan bukannya sistem dan peraturan yang boleh merosakkan minda mahasiswa/i.


Sekian...

STUDY...STUDY...STUDY..!!!!!


Tekanan dan bahang exam semakin terasa..tetapi diri ini masih lagi tidak bersedia untuk menempuh final exam ini..arghhhhhhhhhh!!!!!!!!!!!apa masalahnya yang terjadi kepada diriku sejak akhir-akhir ini????sangat susah rasanya nak tumpukan pada pembelajaran...

Apa tidaknya, setiap kali mengadap buku, tidak sampai 15 minit pun memulakan pembacaan, fikiran aku akan melayang entah kemana..sangat susah untuk diriku mengerti..Adakah kawan-kawan aku ada penawarnya??boleh dikatakan semester ini, aku merasakan yang paling teruk berbanding dengan semester2 yang lepas..dah la asignment ade lagi yang belum submit..aduh!!!sedihnya diri ini..

Kepada adik perempuan bongsu kesayanganku, aku mengerti perasaanmu apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga..luahan hatimu beserta tangisan semalam amat mendalam maknanya..belajarlah kamu di MRSM itu dan hadiahkanlah kepada abah dan umi sebuah kejayaan yang cemerlang..aku mendoakan agar engkau tabah dan sabar menghadapi situasi ini kerana perjalanan hidupmu masih panjang dan kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku dimasa akan datang..

Kepada kawan-kawanku yang akan berjuang bersama-sama dalam menempuhi final exam ini, aku ucapkan semoga berjaya dan buatlah yang terbaik demi kejayaan masa depanmu dan keluargamu..

Friday, April 3, 2009

AKU CARI DAMAI ABADI

Kucari bukan harta bertimbun-timbun
untuk hidup kaya,
Aku cari bukan wang berjuta-juta
untuk hidup bergaya,
Aku cari bukan kawan-kawan
untuk hidup sekadar berfoya-foya,
Aku cari mana dia Al-Ghazali
Aku cari mana dia Al-Shafie
Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari pedoman,
Kita bongkar rahsia Sunnah Nabi
Cari pedoman,
Aku hidup kerana DIA RABBI,
Dialah teman,
Dialah wali,
Dia mencukupi,
Aku hidup bererti,
Menikmati damai abadi...



Alangkah bagusnya kalau setiap pemimpin kita menghayati dan mengaplikasikan setiap ungkapan dalam sajak ini dalam setiap kehidupan mereka..