Friday, October 23, 2009

SELOKA AKU DAN DIA

DIA menang pilihan raya,
DIA dapat blazer percuma,
DIA dapat elaun MPP,
DIA hidup cukup mewah..
DIA tiap minggu ke jamuan menteri,
DIA tiap minggu ketemu menteri,
DIA hanya hadiri majlis VVIP,
DIA terus hidup bangga diri..
DIA ketemu student jauh sekali,
Nak jumpa DIA hantar surat kat secretary,
DIA ke censelori bodek TNC,
Begitu DIA hidup sehari-hari,
Hidup ditaja tak sedar diri...

AKU hanya pelajar biasa,
AKU tidak punyai apa kuasa,
AKU senyap tiada suara,
AKU harap semua diwakili,
AKU harap siapa yang AKU undi,
AKU bukan orang senang,
AKU belajar tajaan PTPTN,
AKU tak mampu makan dengan VVIP,
AKU tak mampu jumpa menteri,
AKU gelisah yuran tinggi,
AKU tak pasti apa bakal terjadi,
Kerana AKU anak petani...

DIA tipu! DIA bohong! DIA retorik! DIA pengampu!
Yuran AKU tidak selesai!
Suara AKU tidak sampai!
Yuran AKU, DIA pakai!
DIA dapat elaun AKU yang pokai!
Masalah yuran DIA tak selesai..
Mana DIA pemimpin penggadai?
Tolong selesai masalah AKU pencacai...



~petikan daripada artikel "Gelora Anak Muda, Kearah Pembentukan Mahasiswa Mandiri".

Budaya "Kaki Bodek"

Untuk pengetahuan semua, 'post' kali mungkin boleh dikatakan kontroversi serta akan menyentuh hati beberapa pihak khususnya melibatkan warga UKM sendiri. Melihat kepada situasi sedemikian yang semakin menjadi-jadi telah mendorong saya membicarakan isu ini. Budaya "kaki bodek" ini melibatkan pelbagai golongan lapisan sama ada daripada golongan bawahan seterusnya kepada golongan atasan yang mana bertujuan untuk mendapatkan perhatian, kepentingan, imbuhan, pengaruh dan sebagainya yang boleh dianggap suatu budaya buruk, hina, tidak tahu malu, keji, serta memalukan bangsa, agama dan masyarakat apatah lagi apabila ianya melibatkan golongan terpelajar dan mempunyai akademik yang tinggi. Tidakkah terfikir sejenak dalam kalangan mereka ini, apakah mereka ini tidak merasa malu dengan perbuatan mereka yang sedemikian?

Untuk pengetahuan semua, budaya "kaki bodek" inilah yang merupakan salah satu faktor penting yang mewujudkan budaya kronisme dan nepotisme dalam masyarakat kita pada hari ini. Mungkin masih ada yang tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan "kaki bodek". "Kaki bodek" ini merupakan sesuatu perbuatan atau tingkah laku seseorang individu terhadap individu lain yang mempunyai pengaruh, kuasa, harta, pangkat dan sebagainya yang mana boleh dilihat melalui perbuatan seperti memuji individu itu secara berlebih-lebihan yang mana mempunyai agenda tertentu, bersalam dan mencium tangannya walaupun jarak umur menunjukkan mereka lebih muda berbanding individu terbabit, berkelakuan baik di hadapannya sedangkan secara realitinya mereka bukan begitu, menyokong idea,buah fikiran serta kata-kata individu terbabit secara membabi-buta tanpa mempersoalkan kerasionalan dan kebenarannya, bersifat hipokrit dan sebagainya yang mana perbuatan ini telah menjadi budaya dalam masyarakat kita. Di UKM sendiri, perbuatan atau budaya sedemikian dilihat semakin menjadi-jadi sama ada daripada golongan pensyarah mahupun daripada golongan pelajar. Dengan gelagak yang berbagai dalam kalangan mereka itu telah menonjolkan satu imej buruk terhadap nama baik universiti yang merupakan gedung atau pusat ilmu yang terpilih.

Tujuan isu ini dibangkitkan bukan kerana ingin mengejar nama atau populariti tetapi hanya sebagai teguran dan nasihat supaya sedar akan kesilapan dan bersikap rasional dalam setiap perkara. Bukan apa, apabila ianya melibatkan pelajar atau pensyarah lebih-lebih lagi apabila mereka ini memegang suatu jawatan penting dalam universiti, mereka sepatutnya bersikap terbuka, menjadi contoh kepada orang lain, berfikiran rasional, tidak 'bias' dalam sesuatu perkara atau hujahan, tidak berlagak dan angkuh dengan jawatan yang disandang, serta sedia menerima sebarang teguran atau kritikan daripada orang lain. Sebagai seorang yang mempunyai taraf akademik yang tinggi, sepatutnya mereka ini patut tahu apa yang benar dan apa yang salah serta apa yang patut dilakukan atau apa yang tidak sepatutnya dilakukan supaya dapat menonjolkan nilai jati diri serta keperibadian yang tinggi dalam diri sebagai panduan kepada orang lain. Dan juga seharusnya sedar akan tanggungjawab yang digalas supaya tidak tergelincir daripada landasan yang sebenar.

"Kepimpinan Melalui Teladan"..

"Bahasa Tuhan Kita Kuasai Didalam Dada,
Bahasa Inggeris Kita Kuasai Didalam Minda,
Bahasa Melayu Kita Daulatkan Didalam Jiwa..
Diatas Keruntuhan Kota Melaka,
Kita Bangunkan Semula Peradaban Bangsa.."


Sekian..

Bagaimana Patriot Act Dilihat Bersifat Diskriminasi?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada post yang lepas, saya telah menghuraikan apa yang dimaksudkan dengan Patriot Act dan juga objektif-objektif pelaksanaannya. Untuk kali, saya akan menunjukkan bagaimana akta yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat ini bersifat diskriminasi khususnya terhadap umat Islam dan juga negara-negara Islam yang mana juga peruntukan-peruntukan yang terdapat didalam akta tersebut secara jelasnya telah melanggar kebebasan dan hak individu seperti yang diperjuangkan didalam Perlembagaan Amerika Syarikat.

Serangan 11 September 2001 telah mengubah secara mengejut dasar luar Amerika. Selepas serangan tersebut, kerajaan Amerika terus mempersalahkan puak Al-Qaeda ke atas serangan bangunan WTC dan Pentagon itu. Pelaksanaan Patriot Act selepas serangan tersebut yang memberi kuasa kepada penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat dan menahan tanpa bicara sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengganas atau mempunyai hubungan dengan pengganas dilihat telah melanggar kebebasan dan hak asasi manusia iaitu melanggar Pindaan IV, Perlembagaan Amerika Syarikat, “Hak rakyat yang menjamin hak dirinya, rumah, dokumen, dan selainnya daripada penggeledahan dan perampasan yang tidak munasabah, tidak akan dilanggar, dan tiada waran akan dikeluarkan, tetapi berdasarkan sebab-sebab barangkali, dengan disokong oleh sumpah atau pengakuan, dan terutamanya menerangkan tempat yang akan digeledah, dan orang-orang atau barang-barang yang akan dirampas”.

Dalam Seksyen 213, 215, 411, 412 dalam Patriot Act dilihat wujudnya diskriminasi apabila akta ini membenarkan penguatkuasa undang-undang menghendap kediaman atau pejabat, masuk, mengambil gambar dan menyita atau merampas barangan seseorang tanpa memberitahu pemilik itu. Selain itu, akta ini juga membenarkan penangkapan warganegara dan bukan warganegara Amerika tanpa memerlukan penguatkuasa itu mengenalpasti sama ada mereka secara fakta adalah terlibat dalam aktivit pengganas atau pun sebaliknya.

Serangan pertama kerajaan Amerika dalam membendung kegiatan dan aktiviti pengganas ini dimulakan dengan serangan terhadap kerajaan Taliban di Afghanistan dengan alasan kerajaan Taliban memberikan perlindungan kepada puak Al-Qaeda serta membenarkan wilayah Afghanistan digunakan sebagai tempat markas latihan pejuang Al-Qaeda dan juga digunakan sebagai sebagai tapak pelancaran serangan ke atas kepentingan Amerika. Selepas menghancurkan bumi Afghanistan dengan serangan tidak berperikemanusiaan, kerajaan Amerika di bawah pimpinan George W.Bush pula meneruskan serangan ke atas bumi Iraq yang pada ketika itu berada dibawah pemerintahan Saddam Hussein dengan alasan serangan tersebut kerana kerajaan Iraq juga membantu dalam kumpulan Al-Qaeda serta membangunkan senjata nuklear disamping turut dijadikan markas untuk latihan pejuang kumpulan terbabit. Akibat daripada serangan terhadap kedua-dua buah negara ini, telah menyebabkan ramai orang awam terkorban, rumah-rumah kediaman runtuh, serta kehancuran hampir keseluruhan bumi negara-negara tersebut. Selain itu, serangan yang tidak berperikemanusiaan ini dilihat sebagai wujudnya pencabulan hak asasi manusia, pencabulan kedaulatan negara tersebut serta disifatkan sebagai berlakunya jenayah perang.

Selain itu, Seksyen 23 dalam Patriot Act yang memberi kebebasan kepada pihak berkuasa untuk mengeledah kediaman seseorang tanpa waran dan kebenaran pemilik kediaman juga telah melanggar Pindaan III, Perlembagaan Amerika iaitu yang menyatakan dalam pindaan tersebut “Tiada askar akan, pada masa aman ditempatkan di mana-mana rumah, tanpa kebenaran pemiliknya, mahupun sewaktu peperangan, tetapi mengikut apa yang telah ditetapkan oleh undang-undang”. Disamping itu juga, Seksyen 411 dalam Patriot Act juga dilihat wujudnya diskriminasi dan mengancam kebebasan beragama di Amerika. Sebagai contohnya, individu yang menganggotai sesebuah organisasi agama yang disyaki terlibat dalam kegiatan yang menurut kerajaan Amerika mengancam keselamatan negara akan ditahan kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan aktiviti pengganas.

Oleh itu dapat disimpulkan bahawa walaupun Patriot Act ini diwujud dan dilaksanakan untuk membendung aktiviti keganasan, akan tetapi pada masa yang sama, objektif dan seksyen-seksyen yang terdapat dalam akta ini dilihat jelas bertentangan dan melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia serta kebebasan individu yang terkandung dalam Perlembagaan Amerika Syarikat. Ini kerana, hak asasi dan kebebasan sivil yang diperjuangkan oleh bapa-bapa kemerdekaan Amerika sebelum ini sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan Amerika telah dilanggar akibat kesan daripada sifat dan sikap paranoid yang melanda kerajaan Amerika selepas berlakunya tragedi 11 September 2001.


Sekian..

Saturday, October 17, 2009

OBJEKTIF PATRIOT ACT

Kepelbagaian budaya serta asas pemerintahan sistem demokrasi telah meletakkan Amerika sebagai salah sebuah negara yang mendokong sepenuhnya kebebasan dan hak asasi manusia. Namun, serangan pengganas pada hari Selasa, 11 September 2001 di World Trade Centre (WTC), New York yang dikatakan didalangi dan dilaksanakan secara teratur oleh puak Al-Qaeda iaitu yang dilabelkan sebagai pengganas Islam telah menyebabkan berlaku satu perubahan besar dalam dasar luar serta perlembagaan Amerika Syarikat ini.

Dalam usaha membendung aktiviti keganasan, pelbagai akta telah diperkenalkan oleh kerajaan Amerika yang secara nyata telah melanggar hak asasi penduduknya. Hak asasi yang diperjuangkan oleh bapa-bapa kemerdekaan Amerika sebelum ini sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan Amerika telah dilanggar oleh akta-akta pencegahan aktiviti keganasan ini. Antara akta yang diperkenalkan ialah Akta Anti-Keganasan 2001 (Anti-Terrorism Act Of 2001) dan Akta Patriot USA 2001 (2001 USA Patriot Act). Kedua-dua akta ini telah memberikan hak kepada kerajaan Amerika untuk menahan sesiapa sahaja sebelum ia dibuktikan bersalah. Perbuatan ini telah melanggar Pindaan ke-IV, Perlembagaan Amerika Syarikat.

Oleh hal yang demikian, perbincangan selanjutnya akan mengupas dengan meneliti apakah objektif Patriot Act yang mana telah diluluskan dengan pantas oleh Kongres Amerika hanya selepas 45 hari berlakunya tragedi 11 September 2001;

1. Mempertingkatkan kawalan keselamatan dalam negeri atau domestik dan menentang keganasan (Enhance domestic security against terrorism).

2. Mempertingkatkan kawalan melalui kaedah-kaedah pengawasan kepada warganegara dan juga bukan warganegara (Enhance surveillance methods on citizens and non-citizens).


3. Menahan warga asing dan juga warganegara yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti pengganas (Detain aliens and citizens engaged in terrorist activities).

4. Mengadaptasikan atau menyesuaikan prosedur-prosedur undang-undang jenayah untuk tujuan ini (Adapt the criminal law and procedures to meet these ends).


5. Menghentikan bantuan kewangan daripada disalurkan kepada pengganas (Halt financial support for terrorist).

6. Membekalkan pasukan kecemasan dan sokongan bagi mencapai tujuan akta ini (Provide for emergency authorizations and appropriations to meet these ends).

PATRIOT ACT?

USA Patriot Act 2001, yang juga dikenali sebagai Patriot Act merupakan singkatan daripada “ Uniting and Strenghtening America by Providing Appropriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism” (Menyatukan dan Memperkukuhkan Amerika dengan Menyediakan Alat-alat Sesuai yang Dikehendaki untuk Menyekat dan Menghalang Keganasan) iaitu akta yang diperkenalkan selepas berlakunya tragedi serangan 11 September 2001 ke atas bangunan WTC, New York, Amerika Syarikat. Patriot Act adalah undang-undang yang diperkenalkan oleh perwakilan James Sensenbrenner pada 23 Oktober 2001 dan dihantar kepada sembilan ahli jawatankuasa yang utama dimana telah diundi serta diluluskan oleh kesembilan ahli jawatankuasa tersebut. Pada keesokannya, rang undang-undang atau “bill” ini dihantar kepada Senat dan segera diluluskan serta terus dihantar kepada Presiden Amerika, George W.Bush. Patriot Act ditandatangani, diluluskan serta diwartakan menjadi undang-undang pada 26 Oktober 2001 iaitu hanya 72 jam selepas diperkenalkan.

Akta ini memberi kuasa yang luas kepada Penguatkuasa Undang-Undang Persektuan Amerika untuk menyiasat dan menahan tanpa bicara sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dalam aktivit pengganas atau mempunyai hubungan dengan pengganas. Akta ini diluluskan Kongress dan disokong kuat oleh Parti Republikan dan Parti Demokratik. Akta ini juga telah meningkatkan keupayaan agensi penguatkuasa undang-undang untuk mencari dan merekod penggunaan telefon, komunikasi melalui email, perubatan, kewangan, dan rekod-rekod lain untuk mengurangkan sekatan ke atas pengumpulan risikan asing dalam negara Amerika.

Namun, akta ini dikritik kerana kelemahannya dalam melindungi kebebasan sivil (Civil Liberties) dan juga pelanggaran hak asasi manusia apabila menahan tanpa bicara serta memasuki rumah atau premis mereka tanpa pengetahuan atau kebenaran pemiliknya. Selain itu, Perluasan Penggunaan Surat Keselamatan Nasional (National Security Letter) yang memberikan kuasa kepada penguatkuasa undang-undang untuk mencari nombor telefon, e-mail dan rekod kewangan tanpa arahan daripada pihak makhamah dan perluasan pengaksesan terhadap rekod perniagaan telah dikecam hebat oleh masyarakat dunia khususnya penduduk Amerika sendiri.


..untuk post seterusnya akan menghuraikan objektif Patriot Act dan bagaimana akta ini dilihat bersifat diskriminasi..

Saturday, October 10, 2009

Makan Malam Alumni & Sambutan Ulangtahun ke-33 Program Sains Politik

Majlis Makan Malam Alumni & Sambutan Ulangtahun Ke-33 Program Sains Politik yang akan di adakan pada 11 Oktober 2009 (hari Ahad) di Dewan Sri Endon Mahmud, Bangunan Puspanitapuri, Presint 10 Putrajaya ini akan menghimpunkan bekas-bekas pelajar Program Sains Politik UKM selama 33 tahun penubuhannya merupakan program julung-julung kali diadakan di UKM ini. Dengan tema "Memori Tercipta" pasti akan meninggalkan seribu kenangan kepada kita semua. Saya sebagai ahli jawatankuasa program ini sukacitanya menjemput pensyarah-pensyarah Sains Politik, pelajar-pelajar Sains Politik dan Alumni Sains Politik UKM ke majlis ini. InsyaAllah kita mendoakan agar majlis ini berjalan dengan lancar dan meninggalkan seribu kenangan manis kepada kita semua.

PERBUALAN SEHARIAN

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Nampaknya kemeriahan sambutan hari raya Aidilfitri masih dirasai walaupun ianya sudah berada dipenghujungnya..Salam Aidilfitri saya ucapkan kepada semua umat Islam khususnya di Malaysia dan UKM ini. Mula-mula sekali mohon ampun dan maaf kerana sudah lama tidak meng"update" blog ini. Rasanya kawan-kawan sepengajian mesti faham kerana dipenghujung semester ini, terlalu banyak tugasan yang perlu disiapkan dalam masa yang boleh dikira sudah singkat ini. Apapun post yang terbaru ini saya merasakan patut saya celotehkan disini iaitu mengenai perbualan seharian kita yang mana sering dihiasa dan diwarnai dengan kata-kata atau perkataan yang boleh dianggap kotor, hina, jijik dan sebagainya yang mana sudah menjadi gaya dan kebiasaan dalam perbualan kita pada hari ini khususnya muda-mudi sama ada yang berpendidikan tinggi sampai kepada tahap pendidikan rendah.

"Bengong, Sial dowh, anak haram, rileks dowh, butuh ko, nate gilo (loghat kelantan), babi, laknat" dan banyak lagi yang mana sering kita dengar melalui perbualan muda-mudi pada hari ini termasuk kawan-kawan kita. Kita ambil contoh perkataan "dowh". Adakah kita semua tahu maksud sebenar disebalik perkataan tersebut atau kita hanya sekadar buat tidak tahu akan maksudnya. "dowh" merupakan singkatan daripada perkataan "bodoh" yang mana sering digunakan oleh golongan remaja didalam perbualan seharian mereka yang digunakan sebagai pengakhiran ayat. Contohnya "rileks dowh", "ko nak pergi mana dowh". Adakah kita sedar akan situasi sebegini atau kita hanya buat-buat tidak sedar kerana kita juga bercakap menggunakan pengakhiran ayat sedemikian? Apakah kita mahu gaya percakapan sebegini meresap dan sebati dalam perbualan seharian kita? Tidak mustahil kalau suatu hari nanti kita akan dengar anak-anak kecil juga akan bercakap menggunakan perkataan sedemikian apabila bercakap dengan rakan-rakan mereka dan juga dengan orang tua mereka iaitu ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan mereka. Kita sebenarnya seolah-olah 'menghalalkan' perbuatan ini sedangkan secara hakikatnya ianya memberi makna yang buruk terhadap kita.

Kadang-kadang bila difikirkan balik,saya merasa hairan kerana orang yang berasal sama ada dari negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta yang berasal dari negeri utara seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang mana sebelum ini pekat dengan dialek negeri masing-masing apabila sampai ke Kuala Lumpur dan Selangor boleh terpengaruh dengan bahasa sedemikian. Saya tidak nafikan perkataan lain seperti yang telah saya terangkan diatas tidak digunakan tetapi perkataan "dowh" ini seolah-olah lebih mendominasi perkataan buruk yang lain. Ini boleh dilihat apabila orang yang berasal dari negeri pantai timur dan utara juga bercakap menggunakan perkataan "dowh" dipengakhiran ayat mereka. Secara peribadi saya jelaskan bahawa saya merasakan sangat benci dan menyampah apabila mendengar rakan-rakan saya berbual menggunakan perkataan sedemikian.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini dan mungkin juga ada dalam kalangan kita merasakan perkataan tersebut normal dalam perbualan seharian mereka dan tidak memberi maksud apa-apa pun kepada mereka. Mungkin bagi mereka normal tetapi tidak pada saya. Saya merasakan semua sedia maklum bahawa apabila kita bercakap, kita juga dalam masa yang sama mendoakan mereka. Apakah kita merestui dan menerima seadanya jika rakan-rakan kita bercakap dengan kita menggunakan perkataan "dowh" yang mana mendoakan kita sebagai "BODOH"?. Tepuk dada dan tanya diri kita masing-masing adakah kita mahu suatu hari nanti anak-anak kita juga akan bercakap dengan kita menggunakan perkataan sedemikian?


Sekian..