Friday, October 23, 2009

Bagaimana Patriot Act Dilihat Bersifat Diskriminasi?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada post yang lepas, saya telah menghuraikan apa yang dimaksudkan dengan Patriot Act dan juga objektif-objektif pelaksanaannya. Untuk kali, saya akan menunjukkan bagaimana akta yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat ini bersifat diskriminasi khususnya terhadap umat Islam dan juga negara-negara Islam yang mana juga peruntukan-peruntukan yang terdapat didalam akta tersebut secara jelasnya telah melanggar kebebasan dan hak individu seperti yang diperjuangkan didalam Perlembagaan Amerika Syarikat.

Serangan 11 September 2001 telah mengubah secara mengejut dasar luar Amerika. Selepas serangan tersebut, kerajaan Amerika terus mempersalahkan puak Al-Qaeda ke atas serangan bangunan WTC dan Pentagon itu. Pelaksanaan Patriot Act selepas serangan tersebut yang memberi kuasa kepada penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat dan menahan tanpa bicara sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengganas atau mempunyai hubungan dengan pengganas dilihat telah melanggar kebebasan dan hak asasi manusia iaitu melanggar Pindaan IV, Perlembagaan Amerika Syarikat, “Hak rakyat yang menjamin hak dirinya, rumah, dokumen, dan selainnya daripada penggeledahan dan perampasan yang tidak munasabah, tidak akan dilanggar, dan tiada waran akan dikeluarkan, tetapi berdasarkan sebab-sebab barangkali, dengan disokong oleh sumpah atau pengakuan, dan terutamanya menerangkan tempat yang akan digeledah, dan orang-orang atau barang-barang yang akan dirampas”.

Dalam Seksyen 213, 215, 411, 412 dalam Patriot Act dilihat wujudnya diskriminasi apabila akta ini membenarkan penguatkuasa undang-undang menghendap kediaman atau pejabat, masuk, mengambil gambar dan menyita atau merampas barangan seseorang tanpa memberitahu pemilik itu. Selain itu, akta ini juga membenarkan penangkapan warganegara dan bukan warganegara Amerika tanpa memerlukan penguatkuasa itu mengenalpasti sama ada mereka secara fakta adalah terlibat dalam aktivit pengganas atau pun sebaliknya.

Serangan pertama kerajaan Amerika dalam membendung kegiatan dan aktiviti pengganas ini dimulakan dengan serangan terhadap kerajaan Taliban di Afghanistan dengan alasan kerajaan Taliban memberikan perlindungan kepada puak Al-Qaeda serta membenarkan wilayah Afghanistan digunakan sebagai tempat markas latihan pejuang Al-Qaeda dan juga digunakan sebagai sebagai tapak pelancaran serangan ke atas kepentingan Amerika. Selepas menghancurkan bumi Afghanistan dengan serangan tidak berperikemanusiaan, kerajaan Amerika di bawah pimpinan George W.Bush pula meneruskan serangan ke atas bumi Iraq yang pada ketika itu berada dibawah pemerintahan Saddam Hussein dengan alasan serangan tersebut kerana kerajaan Iraq juga membantu dalam kumpulan Al-Qaeda serta membangunkan senjata nuklear disamping turut dijadikan markas untuk latihan pejuang kumpulan terbabit. Akibat daripada serangan terhadap kedua-dua buah negara ini, telah menyebabkan ramai orang awam terkorban, rumah-rumah kediaman runtuh, serta kehancuran hampir keseluruhan bumi negara-negara tersebut. Selain itu, serangan yang tidak berperikemanusiaan ini dilihat sebagai wujudnya pencabulan hak asasi manusia, pencabulan kedaulatan negara tersebut serta disifatkan sebagai berlakunya jenayah perang.

Selain itu, Seksyen 23 dalam Patriot Act yang memberi kebebasan kepada pihak berkuasa untuk mengeledah kediaman seseorang tanpa waran dan kebenaran pemilik kediaman juga telah melanggar Pindaan III, Perlembagaan Amerika iaitu yang menyatakan dalam pindaan tersebut “Tiada askar akan, pada masa aman ditempatkan di mana-mana rumah, tanpa kebenaran pemiliknya, mahupun sewaktu peperangan, tetapi mengikut apa yang telah ditetapkan oleh undang-undang”. Disamping itu juga, Seksyen 411 dalam Patriot Act juga dilihat wujudnya diskriminasi dan mengancam kebebasan beragama di Amerika. Sebagai contohnya, individu yang menganggotai sesebuah organisasi agama yang disyaki terlibat dalam kegiatan yang menurut kerajaan Amerika mengancam keselamatan negara akan ditahan kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan aktiviti pengganas.

Oleh itu dapat disimpulkan bahawa walaupun Patriot Act ini diwujud dan dilaksanakan untuk membendung aktiviti keganasan, akan tetapi pada masa yang sama, objektif dan seksyen-seksyen yang terdapat dalam akta ini dilihat jelas bertentangan dan melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia serta kebebasan individu yang terkandung dalam Perlembagaan Amerika Syarikat. Ini kerana, hak asasi dan kebebasan sivil yang diperjuangkan oleh bapa-bapa kemerdekaan Amerika sebelum ini sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan Amerika telah dilanggar akibat kesan daripada sifat dan sikap paranoid yang melanda kerajaan Amerika selepas berlakunya tragedi 11 September 2001.


Sekian..

No comments:

Post a Comment