Friday, October 23, 2009

Budaya "Kaki Bodek"

Untuk pengetahuan semua, 'post' kali mungkin boleh dikatakan kontroversi serta akan menyentuh hati beberapa pihak khususnya melibatkan warga UKM sendiri. Melihat kepada situasi sedemikian yang semakin menjadi-jadi telah mendorong saya membicarakan isu ini. Budaya "kaki bodek" ini melibatkan pelbagai golongan lapisan sama ada daripada golongan bawahan seterusnya kepada golongan atasan yang mana bertujuan untuk mendapatkan perhatian, kepentingan, imbuhan, pengaruh dan sebagainya yang boleh dianggap suatu budaya buruk, hina, tidak tahu malu, keji, serta memalukan bangsa, agama dan masyarakat apatah lagi apabila ianya melibatkan golongan terpelajar dan mempunyai akademik yang tinggi. Tidakkah terfikir sejenak dalam kalangan mereka ini, apakah mereka ini tidak merasa malu dengan perbuatan mereka yang sedemikian?

Untuk pengetahuan semua, budaya "kaki bodek" inilah yang merupakan salah satu faktor penting yang mewujudkan budaya kronisme dan nepotisme dalam masyarakat kita pada hari ini. Mungkin masih ada yang tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan "kaki bodek". "Kaki bodek" ini merupakan sesuatu perbuatan atau tingkah laku seseorang individu terhadap individu lain yang mempunyai pengaruh, kuasa, harta, pangkat dan sebagainya yang mana boleh dilihat melalui perbuatan seperti memuji individu itu secara berlebih-lebihan yang mana mempunyai agenda tertentu, bersalam dan mencium tangannya walaupun jarak umur menunjukkan mereka lebih muda berbanding individu terbabit, berkelakuan baik di hadapannya sedangkan secara realitinya mereka bukan begitu, menyokong idea,buah fikiran serta kata-kata individu terbabit secara membabi-buta tanpa mempersoalkan kerasionalan dan kebenarannya, bersifat hipokrit dan sebagainya yang mana perbuatan ini telah menjadi budaya dalam masyarakat kita. Di UKM sendiri, perbuatan atau budaya sedemikian dilihat semakin menjadi-jadi sama ada daripada golongan pensyarah mahupun daripada golongan pelajar. Dengan gelagak yang berbagai dalam kalangan mereka itu telah menonjolkan satu imej buruk terhadap nama baik universiti yang merupakan gedung atau pusat ilmu yang terpilih.

Tujuan isu ini dibangkitkan bukan kerana ingin mengejar nama atau populariti tetapi hanya sebagai teguran dan nasihat supaya sedar akan kesilapan dan bersikap rasional dalam setiap perkara. Bukan apa, apabila ianya melibatkan pelajar atau pensyarah lebih-lebih lagi apabila mereka ini memegang suatu jawatan penting dalam universiti, mereka sepatutnya bersikap terbuka, menjadi contoh kepada orang lain, berfikiran rasional, tidak 'bias' dalam sesuatu perkara atau hujahan, tidak berlagak dan angkuh dengan jawatan yang disandang, serta sedia menerima sebarang teguran atau kritikan daripada orang lain. Sebagai seorang yang mempunyai taraf akademik yang tinggi, sepatutnya mereka ini patut tahu apa yang benar dan apa yang salah serta apa yang patut dilakukan atau apa yang tidak sepatutnya dilakukan supaya dapat menonjolkan nilai jati diri serta keperibadian yang tinggi dalam diri sebagai panduan kepada orang lain. Dan juga seharusnya sedar akan tanggungjawab yang digalas supaya tidak tergelincir daripada landasan yang sebenar.

"Kepimpinan Melalui Teladan"..

"Bahasa Tuhan Kita Kuasai Didalam Dada,
Bahasa Inggeris Kita Kuasai Didalam Minda,
Bahasa Melayu Kita Daulatkan Didalam Jiwa..
Diatas Keruntuhan Kota Melaka,
Kita Bangunkan Semula Peradaban Bangsa.."


Sekian..

No comments:

Post a Comment