Saturday, October 17, 2009

PATRIOT ACT?

USA Patriot Act 2001, yang juga dikenali sebagai Patriot Act merupakan singkatan daripada “ Uniting and Strenghtening America by Providing Appropriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism” (Menyatukan dan Memperkukuhkan Amerika dengan Menyediakan Alat-alat Sesuai yang Dikehendaki untuk Menyekat dan Menghalang Keganasan) iaitu akta yang diperkenalkan selepas berlakunya tragedi serangan 11 September 2001 ke atas bangunan WTC, New York, Amerika Syarikat. Patriot Act adalah undang-undang yang diperkenalkan oleh perwakilan James Sensenbrenner pada 23 Oktober 2001 dan dihantar kepada sembilan ahli jawatankuasa yang utama dimana telah diundi serta diluluskan oleh kesembilan ahli jawatankuasa tersebut. Pada keesokannya, rang undang-undang atau “bill” ini dihantar kepada Senat dan segera diluluskan serta terus dihantar kepada Presiden Amerika, George W.Bush. Patriot Act ditandatangani, diluluskan serta diwartakan menjadi undang-undang pada 26 Oktober 2001 iaitu hanya 72 jam selepas diperkenalkan.

Akta ini memberi kuasa yang luas kepada Penguatkuasa Undang-Undang Persektuan Amerika untuk menyiasat dan menahan tanpa bicara sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dalam aktivit pengganas atau mempunyai hubungan dengan pengganas. Akta ini diluluskan Kongress dan disokong kuat oleh Parti Republikan dan Parti Demokratik. Akta ini juga telah meningkatkan keupayaan agensi penguatkuasa undang-undang untuk mencari dan merekod penggunaan telefon, komunikasi melalui email, perubatan, kewangan, dan rekod-rekod lain untuk mengurangkan sekatan ke atas pengumpulan risikan asing dalam negara Amerika.

Namun, akta ini dikritik kerana kelemahannya dalam melindungi kebebasan sivil (Civil Liberties) dan juga pelanggaran hak asasi manusia apabila menahan tanpa bicara serta memasuki rumah atau premis mereka tanpa pengetahuan atau kebenaran pemiliknya. Selain itu, Perluasan Penggunaan Surat Keselamatan Nasional (National Security Letter) yang memberikan kuasa kepada penguatkuasa undang-undang untuk mencari nombor telefon, e-mail dan rekod kewangan tanpa arahan daripada pihak makhamah dan perluasan pengaksesan terhadap rekod perniagaan telah dikecam hebat oleh masyarakat dunia khususnya penduduk Amerika sendiri.


..untuk post seterusnya akan menghuraikan objektif Patriot Act dan bagaimana akta ini dilihat bersifat diskriminasi..

No comments:

Post a Comment