Friday, May 7, 2010

Ucapan Penghargaan & Terima Kasih

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, saya berjaya menempuhi alam pengajian universiti selama 3 tahun ini. Tinggal beberapa hari sahaja lagi saya akan meninggalkan alam kampus. Pastinya kampus Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia akan tersemat didalam sanubari saya sampai ke akhir hayat.

Di bumi UKM ini, terlalu banyak kenangan tercipta. Pahit maung bergelar sebagai mahasiswa UKM memang mencabar. Buat pertama kali melangkahkan kaki ke bumi UKM ini, tiada siapa dapat mengerti betapa gembira dan bertuahnya dapat menjejakkan kaki untuk menimba ilmu di UKM. Dengan impian dan cita-cita yang digalas, pengorbanan, dugaan dan cabaran hari ini demi kebahagiaan masa hadapan terpaksa ditempuhi. Namun, ianya bukan suatu halangan yang boleh membantutkan impian dan cita-cita. Setiap masa yang berlalu di bumi UKM ini sangat berharga dan memang bisa mematangkan kita semua. Setelah semuanya hampir selesai, kemanisan belajar dapat di rasai. Sungguh indah, tenang dan bahagia rasanya.

Oleh itu, disini saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pensyarah UKM, khususnya pensyarah daripada Program Sains Politik kerana telah banyak membantu dan mendidik saya selama 3 tahun ini. Buat bonda pensyarah, Dr. Sity Daud selaku pensyarah dan penyelia latihan ilmiah saya, jutaan terima kasih diucapkan kerana begitu tekun dan sabar memberi bimbingan, didikan dan tunjuk ajar kepada saya selama ini tanpa mengenal erti penat lelah dan jemu dalam melayan karenah dan ragam saya yang pelbagai ini. Jasa kamu semua pasti akan dikenang sehingga ke akhir hayat.

Buat ibu bapa saya, Jazari Bin Ismail dan Rohaya Binti Omar serta adik beradik yang lain, terima kasih diucapkan kerana tidak pernah berhenti memberi tunjuk ajar, didikan, dorongan dan semangat kepada saya selama ini. Ucapan jutaan terima kasih juga ditujukan buat teman teristimewa, Nur Suhanis Binti Muhammad kerana sentiasa memahami situasi saya serta tidak pernah berputus-asa memberi sokongan dan semangat selama mengenali saya ini. Pastinya impian dan cita-cita kita akan tercapai.


Akhir sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sahabat yang mengenali saya selama ini yang sentiasa bersama saya dikala saya senang atau susah dan gembira mahu pun bersedih khususnya kepada sahabat dari Program Sains Politik. Kepada Topek, Pain, Wan, Noni, Naim, Cupie, Adib, Pakmi, Firdaus(Kecik), Haris, dan yang lain-lain, pertemuan kita hanya sebentar namun ianya meninggalkan seribu kenangan dalam diri kita semua. Semoga kalian semua akan berjaya sama ada di dunia mahu pun di akhirat kelak.




Sekian.

Saturday, April 3, 2010

Profesionalisme Tentera Indonesia Berbanding Tentera Thailand

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Rasanya sudah terlalu lama blog ini tidak di 'update'. Mungkin disebabkan masa yang terlalu mencemburui saya ini yang kini berada di tahun akhir pengajian dan banyak komitmen lain yang perlu diberi keutamaan. Ok, untuk 'post' kali ini, saya akan menghuraikan serba sedikit mengenai profesionalisme tentera yang mana melibatkan profesionalisme tentera di dua buah negara iaitu Indonesia dan Thailand. Mungkin ada dikalangan kita masih tidak mengerti apa itu yang dikatakan tentera profesional atau berkaitan dengan profesionalisme tentera. Justeru itu, untuk memahamkan kita dengan lebih mendalam mengenai profesionalisme tentera, saya akan menghuraikan terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan profesionalisme tentera dan ciri-ciri profesionalisme tentera itu sendiri. Seterusnya, saya akan membandingkan tentara Indonesia dengan tentera Thailand yang mana dikatakan lebih profesional.

Menurut Undang-Undang Tentera Nasional Indonesia (TNI) dalam Artikel 2, mendefinisikan tentera professional sebagai tentera yang terlatih dan terdidik dengan kelengkapan dan pemahaman ketenteraan sepenuhnya dan tidak terlibat, baik dalam politik mahupun dalam bidang perniagaan. Mereka akan mematuhi dasar politik negara yang mendukung prinsip demokrasi, keagungan sivil, hak asasi manusia, serta peruntukan undang-undang negara dan undang-undang antarabangsa yang telah diretifikasikan. Selain itu, Erick A. Nordlinger (1990) pula mendefinisikan tentera professional sebagai kemampuan seorang askar menjalankan tugasnya mempertahankan ketertiban nasional dalam menghadapi ancaman, menggunakan senjata dalam pertempuran, serta tidak melibatkan diri daripada urusan bukan ketenteraan (non-military). Beliau menyatakan perwira yakni tentera sebagai seorang professional, mempunyai kuasa menggunakan kekuatan bersenjata untuk mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman pihak lawan. Beliau turut mengulas dimensi profesionalisme militari sebagai satu keadaan dimana perwira sangat mementingkan autonomi mereka dan pihak awam tidak perlu untuk mencampuri urusan dalaman militari. Selain itu, pihak awam juga tidak boleh mempengaruhi perwira militari dalam melaksanakan tanggungjawab kemiliteran mereka. Profesionalisme tersebut iaitu keahlian dalam mengendalikan kekerasan, baik secara langsung atau tidak langsung akan mengurangi kecenderungan atau kemungkinan militari untuk campur tangan dalam urusan pemerintahan awam. Namun, sekiranya pemerintahan awam mengancam autonomi militari dan eksklusif militari, mereka ini akan menimbulkan motivasi militari untuk melakukan campur tangan terhadap pemerintahan awam. Oleh itu, politik adalah diluar bidang militari (tentera) dan penglibatan militari dalam politik akan mengikis profesionalismenya, melawan kerjayanya sendiri dan menghalang nilai-nilai profesinalisme sebagai militari (Huntington, 1957).

Terdapat beberapa ciri profesionalisme tentera untuk difahami, antaranya ialah seseorang itu merupakan ahli yakni tentera dalam melaksanakan tugasnya dibidang pertahanan negara atau perang melawan ancaman dari luar. Ini bermakna tentera bertanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan dan kemakmuran negara serta melindungi negara dari sebarang ancaman luar seperti ancaman pengganas mahupun serangan negara-negara luar. Ciri yang kedua ialah tentera mestilah dan harus bersikap berkecuali dengan tidak melibatkan diri dalam politik. Ini bermakna, tentera mesti tidak mencampuri sebarang urusan atau perjalanan sistem politik dan pemerintahan dalam negara. Penglibatan tentera dalam sistem politik negara akan menampakkan ketidakprofesionalismenya sebagai seorang tentera. Selain itu, seseorang tentera mestilah memiliki disiplin, taat kepada perintah dan peraturan serta mempunyai “esprit de corps” yang tinggi. Ini bermakna, setiap kelakuan atau perbuatan tentera yang menyalahi undang-undang yakni melanggar peraturan dalam tentera akan menampakkan ketidakprofesionalisme mereka serta mereka juga mesti menanamkan semangat berpasukan yang tinggi bagi menjamin kekuatan dan ketahanan untuk mempertahankan negara. Disamping itu juga, memiliki moral dan etika keperwiraan atau keperajuritan yang tinggi merupakan salah satu ciri penting dalam profesionalisme tentera. Tanpa nilai moral dan etika keperwiraan yang tinggi, seseorang tentera itu tidak akan mampu untuk melaksanakan tugasnya sebagai pembela dan pelindung kepada kemananan dan kemakmuran negara. Antara ciri-ciri lain ialah membela dan melindungi masyarakat serta menghargai pihak berkuasa atau supremasi sivil.

Seterusnya, untuk memahami dengan lebih lanjut lagi mengenai perbandingan mengenai profesionalisme tentera Indonesia dengan tentera Thailand, saya akan menerangkan satu persatu penglibatan tentera dalam politik mahupun melibatkan tentera Indonesia atau pun tentera Thailand.


Penglibatan Tentera Nasionalis Indonesia (TNI) dalam politik Indonesia;
Sebelum melakukan reformasi dalaman, TNI banyak menyimpang daripada profesionalismenya kerana campur tangan TNI dalam politik praktis Indonesia adalah dengan cara mendominasi pemerintahan dan menjadi tonggak kepada Parti Golkar. TNI terlibat secara langsung dalam politik Indonesia selama lebih kurang 32 tahun. Hal ini menjadikan kewujudan masyarakat sivil di Indonesia tidak berkembang, demokrasi tidak berjalan berlandaskan tuntutan asas demokrasi yang sebenar dan partisipasi rakyatnya turut dihalang. Keadaan dan situasi ini akan menghakis profesionalisme tentera sebagaimana seperti hujah Huntington (1957) yang telah diterangkan diatas dimana beliau menyatakan bahawa politik adalah diluar bidang ketenteraan dan penglibatan tentera dalam politik akan menghakis profesionalismenya, melawan kerjayanya sendiri dan menghilangkan nilai-nilai profesionalisme ketenteraan.

Penglibatan tentera dalam politik Indonesia telah berlaku semasa era pemerintahan Sukarno lagi dan kemudiannya diikuti oleh Suharto yang sememangnya merupakan seorang Jeneral tentera ketika itu. Kedua-dua presiden ini membawa peranan tentera sebagai aktor penting dengan melantik menteri daripada kalangan tentera sehingga kurang memerhatikan dan mengabaikan profesionalisme tentera. Sebelum ini, tugas dan peranan TNI dilakukan dengan baik iaitu dengan ketaatannya kepada supremasi pemerintahan awam antara tahun 1945 sehingga 1949. Namun, penglibatan TNI dalam politik dilihat semakin menonjol pada awal 1950-an selepas kematian Panglima Besar Soedirman. Kematian Soedirman ini menyebabkan berlakunya keadaan dimana ramai ahli parlimen mencemuh dan mengkritik militari selepas pelaksanaan Undang-Undang Dasar Sementara (UUDS) 1950 yang menganut sistem pemerintahan berparlimen dengan banyak parti dan mengutamakan supremasi sivil disahkan pada awal 1950-an. Kedudukan TNI dalam sistem pemerintahan Indonesia dapat dilihat pada Kabinet Djuanda (Djuanda adalah Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan mulai April 1957) antara 9 April 1957 sehingga 10 Julai 1959 dimana terdapat tiga orang menteri pada masa itu adalah daripada kalangan militari. Tiga orang menteri yang dimaksudkan ialah Kolonel Nazir sebagai Menteri Pelayaran Laut, Kolonel Dr. Azis Saleh sebagai Menteri Kesihatan dan Kolonel Suprayogi sebagai Menteri Negara Urusan Stabiliti Khusus.

Namun, pengambilalihan kekuasaan pemerintahan Indonesia oleh Jeneral Suharto daripada Presiden Sukarno telah meneruskan lagi penglibatan dan campur tangan TNI dalam politik Indonesia. Ini kerana latar belakang Suharto yang juga daripada kalangan tentera iaitu sebagai Jeneral TNI telah membolehkan beliau untuk mengawal dan memperalat seluruh bahagian ketenteraan di Indonesia bagi menyekat dan menghalang tumbuhnya demokrasi dimana pergerakan parti politik, masyarakat sivil dan orang ramai disekat kebebasannya serta dinafikan hak mereka. Selain itu, Pakej Lima Undang-Undang Politik dalam Order Baru iaitu Dwi Fungsi TNI yang dibuat pada 1985 telah memberi impak terhadap pertumbuhan demokrasi di Indonesia. Ini kerana, pakej ini telah menghad parti dan organisasi politik, massa, melarang dan menyekat kebebasan pelajar, organisasi buruh, organisasi tani dan sebagainya daripada melakukan atau terlibat dengan kegiatan politik. Dari fungsi ABRI, dijadikan alasan ikut sertanya ABRI kedalam semua aspek kehidupan bernegara. Disamping itu juga, bagi menjalankan peranan politik militari ini telah didokong oleh territorial. Ini menyebabkan munculnya kekuasaan autokratik yang menghalang tumbuhnya masyarakat sivil dan perkembangan demokrasi. Akibatnya, timbullah kritikan, protes dan penentangan dari masyarakat terhadap dwifungsi ABRI. Akhirnya, Order Baru runtuh kerana peranannya tidak konsisten dengan apa yang dikatakan dan dijanjikan pada awal penubuhannya. Kekuasaan autokratik dengan dokongan tentera menyebabkan timbulnya tindakan reprosif dan opresif kepada masyarakat yang mengakibatkan rakyat tertekan. Disamping itu, krisis kewangan yang menimpa negara Indonesia pada akhir 1990-an telah memacu rakyat terutama mahasiswa untuk bertindak melakukan bantahan terhadap rejim Suharto yang mana telah mendapat sokongan daripada masyarakat sivil, parti politik dan orang ramai yang telah melakukan demostrasi besar-besaran untuk menjatuhkan rejim Suharto yang mencapai kemuncaknya pada Mei 1998 mengakibatkan jatuhnya Suharto dan pemerintahan Order Baru. Selepas Suharto digulingkan dan B.J. Habibie mengambil alih tampuk pemerintahan pada bulan Julai 1998, TNI sudah mula mengurangkan peranan dan campur tangannya dalam politik, tetapi masih ada beberapa pegawai tentera yang menjadi menteri dan menyandang jawatan lain. Reformasi dalaman TNI dapat dilihat semasa Gus Dur pula menjadi Presiden pada Oktober 1999, dimana sudah tidak ada lagi campur tangan dan tentera yang memegang jawatan dalam kabinet Indonesia. Jeneral Wiranto yang sebelum itu menjadi Menteri Koordinator Pertahanan dan Keamanan telah digantikan dan tugasnya sebagai Panglima TNI dipisahkan daripada kementerian untuk memimpin Markas Besar TNI. Pada era inilah TNI meninggalkan peranan dwi fungsinya iaitu pada bulan April 2000 dan difokuskan untuk bidang pertahanan negara sahaja.

Penglibatan tentera Thailand dalam politik Thailand;
Tentera Thailand juga dikenali sebagai Angkatan Bersenjata Kerajaan Thailand telah melibatkan diri secara langsung dalam politik Thailand dimana dari tahun 1932 sehingga tahun 2006, politik Thailand telah mengalami 17 kali rampasan kuasa oleh tentera. Campur tangan tentera dalam politik Thailand bermula semasa era revolusi 1932. Revolusi 1932 merupakan merupakan suatu revolusi yang dilakukan oleh pegawai tentera untuk menghapuskan rejim kerajaan monarki mutlak kepada monarki berperlembagaan. Revolusi 1932 tercetus pada pagi 24 Jun 1932 dimana melalui perancangan dan strategi rapi oleh pemimpin-pemimpin tersebut akhirnya membolehkan Parti Rakyat berjaya merampas kuasa dari rejim monarki mutlak untuk membentuk kerajaan demokrasi raja berperlembagaan.

Selepas revolusi 1932, Thailand diperintah oleh junta tentera yang pemimpinya terdiri daripada Parti Rakyat yang mengambil tugas Pengawal Ketenteraman Negara buat sementara waktu. Selepas beberapa tahun, politik Thailand terus bergolak dengan rampasan kuasa oleh tentera iaitu pada tahun 1947 dimana rampasan kuasa diketuai oleh Jeneral Phin Choonhavan dan pada tahun 1957, rampasan kuasa diketuai pula oleh Jeneral Sarit Thanarat yang kemudiannya Pote Sarasin dilantik sebagai Perdana Menteri sementara. Pada tahun 1970-an, berlakunya sekali lagi revolusi di Thailand yang dikenali sebagai Revolusi 1973. Revolusi 1973 berpunca daripada ketidaktentuan ekonomi negara dan juga perpecahan dalaman yang berlaku dalam badan tentera serta masalah korupsi dan penyalahgunaan kuasa oleh golongan tentera telah menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat yang bangkit menentang pemerintahan golongan tentera terbabit. Bermula dengan Revolusi Oktober 1973 yang berpunca daripada penahanan 13 orang Profesor pada 6 Oktober telah menyebabkan rakyat yang majoritinya merupakan mahasiswa serta ahli-ahli politik menuntut secepatnya pelaksanaan perlembagaan yang baru yang lebih demokratik. Penahanan dan tuduhan pemerintah bahawa mereka yang ditahan itu telah menimbulkan kemarahan yang meluas dan mengakibatkan berlakunya demonstrsi protes secara besar-besaran yang mencapai kemuncaknya pada 13 Oktober 1973.

Selepas berlakunya revolusi ini, pergolakan dan ketidakstabilan politik Thailand terus berlaku dimana pada 20 Oktober 1977, kerajaan Thanin Kraivixiem telah digulingkan oleh tentera yang diketui panglima Sangad Chaloryoo dan Majlis Pembaharuan Tentera mengambil alih kuasa. Seterusnya yang terbaru ialah rampasan kuasa tentera pada 19 September 2006 yang diketui oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin yang telah menggulingkan serta menyingkirkan kerajaan pimpinan Thaksin Shinawatra. Rampasan kuasa tahun 2006 ini menyebabkan tentera membatalkan pilihan raya yang dijadualkan pada 15 Oktober 2006, menggantung perlembagaan, membubarkan parlimen, menghalang sebarang bantahan politik, mengisytiharkan undang-undang tentera serta menahan ahli-ahli kebinet semasa dibawah pemerintahan Thaksin. Selepas itu, perubahan tampuk pemerintahan kerap berlaku bermula daripada pemerintahan Samak Sundaravej beralih kepada Somchai Wongsawat dan seterusnya Abhishit Vejjajiva masih kekal memerintah bermula 17 Disember 2008 sehingga kini.

Selain itu, ketidakprofesionalisme tentera Thailand juga dapat dilihat dalam peristiwa berdarah di Masjid Kerisik dan di Tak Bai yang berlaku pada 28 April 2004 dan 24 Oktober 2004. Di Masjid Kerisik, seramai 34 orang anak muda berumur linkungan 16 tahun sehingga 34 tahun dibunuh dengan kejam oleh tentera Thailand. Manakala, peristiwa Tak Bai juga menunjukkan ketidakprofesionalisme tentera Thailand untuk mengawal tunjuk perasaan dan demonstrasi orang ramai. Lebih kurang 1,500 orang terlibat dalam demonstrasi tersebut yang dilakukan dihadapan Balai Polis Tak Bai bagi menuntut 6 orang rakyat tempatan yang telah ditahan. Kegagalan dan kelemahan tentera Thailand untuk mengawal para demonstran ini telah menyebabkan seramai 85 orang awam terbunuh akibat sesak nafas apabila diletakkan secara bertindih antara satu sama lain didalam trak tentera. Kedua-dua peristiwa ini jelas menunjukkan kelemahan dan ketidakprofesionalisme tentera untuk berhadapan dengan bantahan orang ramai sehingga mengakibatkan ramai mangsa terbunuh.

Mengapa tentera Indonesia lebih profesional daripada tentera Thailand?
Berdasarkan hujah dan huraian yang telah diterangkan diatas, dapat dikatakan bahawa tentera Indonesia lebih professional berbanding tentera Thailand kerana tentera Indonesia tidak bertindak menggulingkan Presiden atau merampas kuasa kerajaan, tetapi sebaliknya mereka meresap masuk dalam sistem politik Indonesia melalui pengaruh dan tekanan kepada Presiden supaya menyerahkan kuasa. Ini dapat dilihat semasa peralihan kuasa daripada Sukarno kepada Suharto yang berlaku secara teratur walaupun wujudnya unsur campur tangan dan rampasan kuasa oleh tentera yang mendesak supaya Sukarno menyerahkan kekuasaan kepada Suharto. Selain itu, pegawai tentera yang menjadi anggota kabinet adalah berperanan penting dalam mencorakkan politik dan perjalanan kerajaan Indonesia. Kejayaan demokrasi terpimpin era pemerintahan Sukarno adalah merupakan hasil daripada bantuan tentera. Disamping itu juga, reformasi dalam yang dilakukan keatas TNI telah berjaya menghentikan penglibatan tentera dalam politik Indonesia yang berakhir semasa era Gus Dur dan profesionalisme TNI ini terus ditingkatkan semasa era Megawati dengan paradigma baru. Disamping itu juga, pegawai tertinggi TNI juga telah memberi jaminan bahawa tidak akan mencampuri urusan politik dan hanya akan menumpukan kepada pertahanan negara.

TNI juga telah mengambil langkah positif untuk meningkatkan profesionalismenya selepas kejatuhan rejim Suharto. Antara langkah yang telah diambil oleh TNI untuk meningkatkan profesionalismenya ialah memutuskan hubungan dengan Parti Golkar dan parti politik lain. Selain itu, TNI juga telah memisahkan POLRI dan ABRI mulai 1 April 1999 dan menukarkan sebutannya dari ABRI kepada TNI. Pegawai-pegawai TNI juga telah berjanji dan menyatakan bahawa TNI tidak akan lagi terlibat dan mencampuri urusan politik Indonesia serta bersikap berkecuali dalam pilihan raya. Disamping itu, TNI juga telah mengambil langkah untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran undang-undang serta hak asasi manusia kepada anggota-anggota TNI. Dan seterusnya ialah akan menumpukan dan memberi perhatian kepada pertahanan negara bagi mewujudkan suasana makmur dan aman damai dalam negara.

Keadaan ini berbeza pula dengan tentera Thailand yang mana dilihat tidak menitikberatkan profesionalisme mereka dalam ketenteraan sebaliknya sering merencanakan rampasan kuasa untuk menggulingkan kerajaan sedia ada. Hal ini memperlihatkan dan menyebabkan mereka lebih agresif dalam politik dan mengenepikan terus profesionalisme ketenteraan mereka. Selain itu, pihak tentera Thailand juga sering memberikan tekanan kerajaan yang dianggap gagal untuk memerintah dengan baik dan menjadikan rampasan kuasa serta menggulingkan kerajaan sebagai alasan untuk menstabilkan pergolakan politik Thailand. Tentera Thailand juga dilihat tidak mengambil tindakan atau melakukan reformasi dalaman ketenteraan mereka untuk meningkatkan profesionalisme dan situasi ini berbeza dengan TNI yang telah melakukan reformasi dalaman untuk meningkatkan tahap profesionalisme ketenteraan mereka. Disamping itu juga, keganasan dan pergolakan di Selatan Thailand yang masih belum menemui jelan penyelesaiannya sehingga kini menggambarkan ketidakcekapan dan ketidakprofesionalisme tentera Thailand untuk mengawalnya yang mana telah mengakibatkan jumlah kematian yang besar.


Sekian.

Tuesday, January 12, 2010

SPKG: Apa Kata Mahasiswa?


Ceramah Umum berkaitan SPKG: Apa Kata Mahasiswa? akan diadakan pada 12 Januari 2010 (Selasa) bertempat di Pusanika pada jam 9.00 malam. Marilah sama-sama kita turun untuk menyaksikan penghujahan-penghujahan yang akan dibuat oleh wakil-wakil mahasiswa UKM yang mana mungkin akan menjadi perdebatan sengit di antara mereka kerana mereka ini merupakan wakil pelajar yang berlainan ideologi dalam politik kampus. Berkaitan pelaksanaan SPKG, kita mendengar berbagai pandangan daripada mahasiswa/i dan juga pensyarah-pensyarah itu sendiri yang mana terdapat juga yang menyokongnya dan mengkritik pelaksanaannya. Ini kerana, dikatakan pelaksanaan ini telah menyebabkan mahasiswa/i seolah-olah dijadikan sebagai alat eksperimen untuk kelihatan seperti 'robot' yang sentiasa patuh dan terikat dengan sesuatu perkara. "Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan"

~Hidup! Hidup! Hidup Mahasiswa!!

Friday, January 8, 2010

Kesibukan Semester Akhir

Nampaknya sudah lama blog ini tidak di 'update'. Terlalu banyak perkara yang terjadi sejak akhir-akhir ini sama ada berkaitan dengan isu semasa dalam negara ataupun isu didalam kampus. Terbaru ialah mengenai panggilan "Allah" oleh penganut bukan Islam untuk Tuhan mereka yang mana telah mendapat bantahan banyak pihak sama ada daripada golongan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli-ahli politik dan juga orang ramai khususnya penganut beragama Islam. Ini kerana kebanyakkan daripada mereka ini menentang panggilan tersebut kerana dilihat boleh memesongkan akidah orang Islam khususnya bagi golongan kanak-kanak. Tetapi kenapa isu ini dipolitikkan?Apabila orang yang tidak tahu pasal agama dan bercakap pasal agama, maka inilah jadinya. Pasal panggilan kita pertahankan tetapi pasal kejatuhan moral, akhlak, akidah dan nilai-nilai murni Islam dalam diri anak muda Islam kita tidak pertahankan.Kata bekas Mufti Perlis Dr. Mohd Asri, jika ingin melarang bukan muslim guna nama Allah, jangan sebut Islam melarang tetapi beritahu mereka peraturan kerajaan Malaysia melarangnya atas sebab-sebab tertentu. Sebentar tadi, saya menerima berita dalam masa terdekat ini akan berlangsungnya demontrasi oleh umat Islam yang akan diadakan di Masjid Negara untuk membantah mengenai penggilan ini. Terdapat banyak pandangan dan pendapat yang berbeza dalam membincangkan mengenai perkara ini akan tetapi bagi pandangan saya, biarlah perkara ini dibincangkan oleh golongan-golongan yang pakar dalam bidang agama Islam supaya ianya dapat menghasilkan keputusan yang tepat dan bertepatan dengan nas-nas yang terkandung dalam al-Quran dan al-hadis.

Berbicara isu didalam kampus pula, pada post kali ini tertarik untuk membincangkan beberapa perkara, antaranya ialah mengenai Pilihan Raya Kampus, majlis makan malam tahunan kolej-kolej UKM, yuran pengajian dan penginapan mahasiswa/i dan beberapa lagi perkara lain sebagai sampingan. Seperti yang kita sedia maklum, Pilihan Raya Kampus (PRK) akan dijalankan dalam masa terdekat ini iaitu dikhabarkan akan dilaksanakan dalam bulan Januari ini. Pastinya PRK pada kali ini akan berlangsung dengan sengit untuk memilih wakil-wakil mahasiswa/i yang betul-betul layak untuk menerajui pimpinan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM). Diharapkan pemilihan Presiden untuk PMUKM pada kali ini bukanlah daripada kalangan mereka yang bertanding Kerusi Fakulti tetapi mestilah bertanding untuk Kerusi Umum supaya dapat melahirkan pemimpin yang mempunyai semangat dan jiwa seorang pemimpin yang mana dipilih bukan setakat di fakulti sahaja tetapi meliputi seluruh kampus UKM ini. Seperti tahun-tahun yang lepas juga, kita harapkan PRK kali ini biarlah dijalankan secara telus dan adil dan elakkanlah campur tangan "makhluk asing" dalam PRK ini. Selain itu, jamuan-jamuan tahunan kolej-kolej di UKM sudah mula dirancang oleh JAKSA-JAKSA yang terdapat di kolej masing-masing. Untuk kolej Dato' Onn, majlis makan malam akan diadakan pada 8 Mac 2010 bertempat DECTAR bertemakan 'Colours of Bollywood'. Perkara yang ingin dibangkitkan bukan mengenai tema majlis tersebut akan tetapi mengenai bayaran yang tetap dikenakan walaupun yuran aktiviti kolej telah ditolak sebanyak RM150. Untuk makan malam ini, untuk prasiswazah atau ijazah dan Master, yuran RM3 dikenakan, manakala bagi Alumni, yuran sebanyak RM25 dikenakan. Pelik tetapi benar tetapi itulah realitinya dan kebenarannya. Hanya satu persoalan ingin dikemukakan kemanakah perginya yuran aktiviti kolej sebanyak RM150 setiap seorang pelajar sehinggakan dikenakan lagi bayaran RM3 untuk majlis makan malam tersebut?
Mengenai yuran pengajian setiap semester termasuk dengan yuran penginapan dan sebagainya, difahamkan dalam akaun kewangan pelajar sudah wujud pula hutang yang dari jembalang mana datangnya sedangkan semua yuran-yuran tersebut telah ditolak semasa duit PTPTN mula-mula masuk dalam akaun pelajar. Selepas ditolak beberapa hari yuran tersebut dan bersih daripada segala hutang, tiba-tiba muncul pula hutang lain. Ada sesetengah itu hutang hampir mencecah RM500. Memang dasar hantu raya cekik darah mahasiswa/i. Ada Felo kolej mengatakan itu hanyalah masalah dibahagian sistem kewangan atau di jabatan bendahari dan mungkin ada kesilapan pengurusan. Alasan yang diterima tidak masuk akal dan tidak munasabah yang sepatutnya diberi oleh seorang Felo kolej dan ini melambangkan kecetekan dan kedangkalan ilmunya sebagai seorang felo. Bagi pandagan saya, buang sahajalah logo pemenang Anugerah Kualiti Perdana 2006 itu dan buka mata dan minda bahawa kita sekarang ini berada di tahun 2010. Janganlah tipu mahasiswa/i lagi kerana pengurusan di setiap bahagian di UKM khususnya di Jabatan Bendahari dan Akademik sangat teruk termasuklah layanan yang diberikan oleh petugas-petugas dibahagian tersebut. Mungkin ada diantara mereka ini bercita-cita untuk memegang jawatan Naib Canselor tetapi cita-cita tersebut tidak kesampaian, maka inilah jadinya..Sekian.




~idea untuk meng'update' blog ini dicetuskan oleh seorang kawan dengan tajuk diberikan ialah "Saya Seorang Pemalas" tetapi tajuk tersebut tidak dapat digunakan kerana wujudnya sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan..

Tuesday, December 22, 2009

Itulah Politik Namanya

Jika kamu kesukaanku
semuanya baik belaka..,
Jika kamu berwang banyak
aku kata kuat kamu berusaha..,
Jika kamu berkereta lawa
aku kata itu berkat bekerja..,
Jika kamu berumah mewah
aku kata untuk tamu yang melimpah..,

Jika kamu kebencianku
semuanya dinilai celaka..,
Jika kamu berkereta lawa
aku kata kamu mengada-ngada..,
Jika kamu berumah mewah
aku kata itu duit rasuah..,
Jika kamu pilihanku
semuanya aku setuju..,
Jika kamu bercakap kasar
kata aku..kamu memang perlu diajar..,
Jika kamu cakap berputar
aku kata mereka itu yang celupar..,
Jika kamu berdusta
aku kata bohong mereka lebih berganda..,
Jika kamu bersumpah
aku kata itu tanda mereka bersalah..,
Jika kamu berdansa
itu hanya untuk rakyat bersuka..,
Jika kamu seteruku
semua tindakanmu aku palu..,
Jika kamu bercakap lunak
aku kata kamu memang nak berlagak..,
Jika kamu bercakap lurus
aku kata harapan kamu dah putus..,
Jika kamu bercakap benar
aku kata kamu hanya buat kelakar..,

Jika kamu bersumpah
aku kata kamu memang telah diupah..,
Jika kamu berzikir
aku kata kamu hanya cuba menyindir..,
Musuhku..semuanya haram
Pilihanku..semuanya harum
Ajaran Tuhan
jangan hukum ikut perasaan dan sangkaan
jangan hukum ikut kumpulan dan pasukan
hukumlah ikut Firman dan alasan..,
Ajaran syaitan
hukumlah ikut perasaan dan kebencian..,
Lihat dulu kawan atau lawan
bukan kata Tuhan atau sabda Junjungan..,

Maka, dunia pun bertukar
hukum menjadi putar-putar..,
siapa sahabat maka dia diangkat
siapa tak sepakat maka dia musibah..,
Pilihanku semuanya ditabal mulia
pilihanmu semuanya ditabal celaka..,
Tanya mereka
mengapa begitu jadinya..,
Jawabku
Itulah Politik Namanya...



~puisi oleh Dr. MAZA

Monday, December 21, 2009

Perkembangan Masyarakat Sivil Di Malaysia

Melihat kepada amalan sistem demokrasi di Malaysia secara keseluruhan, dapat dijelaskan bahawa kedudukan masyarakat sivil di negara ini tidaklah memenuhi ciri-ciri universal yang diterima sebagai sebuah bentuk masyarakat sivil yang ideal. Walaupun secara hakikatnya Malaysia mengamalkan pemerintahan demokrasi, akan tetapi terdapat juga atau wujudnya halangan-halangan masyarakat sama ada mengenai hak, kebebasan dan sebagainya melalui alat-alat undang-undang yang dimanipulasi oleh kerajaan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan banyak lagi. Melalui alat-alat inilah, pemerintah memanipulasinya untuk meningkatkan kuasa mereka.

Walau bagaimanapun, masyarakat sivil di Malaysia juga turut melalui perkembangannya dari semasa ke samasa untuk bertindak sebagai sebuah kesatuan dan organisasi yang bebas serta berjuang untuk kepentingan seluruh masyarakat. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi perkembangan masyarakat sivil di Malaysia. Antaranya ialah melalui struktur masyarakat Malaysia itu sendiri iaitu kaum, amalan demokrasi dan kestabilan politik. Selain itu, peranan media dan ketidaksamarataan ekonomi, politik dan sosial antara kaum juga merupakan faktor-faktor penting yang mempengaruhi perkembangannya.

Semenjak Malaysia mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957, adalah merupakan antara negara membangun yang stabil dari segi pelitiknya dan ekonomi. Kestabilan politik dan ekonomi tersebut dapat dicapai daripada kandungan struktur masyarakatnya yang berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya. Kejayaan pemerintah Malaysia iaitu Barisan Nasional mengekalkan kuasa politik banyak dikaitkan dengan strategi pemerintah memanipulasi isu kaum sebagai isu ekonomi-politik yang dominan dalam kerangka pembangunan dan perkembangan ekonomi dan politik di Malaysia.

Peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah banyak mengubah corak dan dasar kerajaan. Tun Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Ke-2 Malaysia, telah meletakkan dasar demokrasi ala Malaysia ekoran kejadian rusuhan kaum tersebut dan menerusi pentadbiran darurat selama hampir dua tahun oleh Majlis Gerakan Negara selepasnya (Saliha Hassan, 2000:220). Beliau menjelaskan bahawa negara ini perlu melahirkan satu demokrasi yang sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah negara membangun yang mempunyai komuniti di dalamnya. Beliau juga menganggap bahawa amalan demokrasi seperti di United Kingdom tidak sesuai dengan keadaan masyarakat tempatan. Keadaan ini telah menyebabkan terbentuknya sistem demokrasi acuan sendiri seperti yang diamalkan di Malaysia sekarang ini yang mana didalamnya banyak terkandung pelbagai jenis akta dan peraturan politik untuk tujuan mengawal, mengawasi, dan jika perlu menghapuskan cabaran-cabaran politik yang dianggap kerajaan sebagai halangan kepada agenda politik dan pembangunan negara.

Pengenalan akta dan peraturan tersebut yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah bertujuan untuk mewujudkan keselamatan dan kestabilan politik. Selain itu, ia juga akan menjamin persekitaran yang wajar bagi interaksi harmoni di antara kaum, membolehkan berlakunya pembangunan ekonomi yang mantap dan menjamin Malaysia diterima sebagai sebuah anggota yang dihormati di dalam kalangan komuniti antarabangsa. Sementara itu, dalam masa yang sama juga, kerajaan mengambil tindakan untuk memenuhi keperluan masyarakat seperti pembangunan ekonomi, kebajikan sosial, keselamatan, ketenteraman awam dan kestabilan serta ia juga memebuhi hasrat rakyat untuk ikut serta dalam proses politik melalui pilihanraya yang dijalankan menurut perlembagaan (Saliha Hassan, 2000:222).

Perkembangan masyarakat sivil di Malaysia juga banyak dipengaruhi oleh media sama ada media massa mahupun media elektronik. Misalnya, pada era 1980-an, akhbar berbahasa Inggeris, The Star dan tabloid Melayu, Watan telah memberi ruang yang banyak kepada perdebatan mengenai peranan masyarakt serta menerima sambutan yang baik dalam kalangan pembaca Inggeris dan Melayu dalam tempoh itu. Selain itu, terdapat juga banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti ALIRAN (Aliran Kesedaran Negara), CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang), ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), SGS (Selangor Graduate Society) dan lain-lain lagi yang sering mengkritik aspek-aspek amalan demokrasi yang menghadkan kebebasan asasi seperti kebebasan bersuara dan berpersatuan yang terdapat di negara ini serta menganjurkan pelbagai bentuk penerbitan dan penganjuran seminar, forum dan dialog tentang pengamalan demokrasi.

Peranan media juga dapat dilihat semakin berkesan pada era 1990-an dalam mempengaruhi perkembangan masyarakat sivil di Malaysia. Ini dapat dilihat berikutan peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia pada 2 September 1998. Peristiwa ini menyebabkan wujudnya pelbagai bantahan daripada masyarakat terhadap perkara ini yang mana dilihat berlakunya kezaliman, ketidakadilan dan salah guna kuasa oleh pemerintah yang disuarakan melalui pelbagai bentuk saluran khususnya melalui media seperti akhbar, televisyen, radio dan sebagainya. Sebagai contohnya, akhbar tabloid iaitu Suara Keadilan, Harakah, Siasah dan lain-lain lagi yang menyuarakan bantahan dan meminta keadilan terhadap perkara ini. Selain itu, kita juga dapat lihat kesepaduan dan kerjasama erat antara masyarakat sivil yang pelbagai bentuk dan isu perjuangan, keluar daripada kerangka kaum, serta jalinan aktiviti dengan masyarakat politik Malaysia yang telah memberi impak begitu berkesan yang mana muncul bukan sahaja sebagai sebuah organisasi alternatif, tetapi juga sebagai sebuah organisasi yang menjadi sumber informasi maklumat kepada masyarakat, yang pada akhirnya lahir dalam konteks mencabar status quo pemerintah.

Ketidaksamarataan sosioekonomi yang dimaksudkan ialah ketidaksamarataan di antara kaum yang berlaku khususnya sebelum dan awal kemerdekaan negara. Ketidaksamarataan sosioekonomi ini telah melahirkan kelompok-kelompok yang mewakili kaum masing-masing untuk memperjuangkan hak dan kepentingan kaum mereka. Faktor ini merupakan faktor penting yang mengubah corak perkembangan masyarakat sivil di Malaysia khususnya penglibatan mereka dalam setiap pembuatan keputusan dan dasar kerajaan supaya mengambil kira kepentingan semua kaum.

Kedudukan geogarafi kaum masing-masing yang berbeza telah mewujudkan suatu jurang yang lebar antara kaum tersebut yang menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati terhadap kaum lain. Struktur masyarakat yang terpisah ini juga merupakan salah satu penyebab kepada berlakunya peristiwa berdarah iaitu peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan kemuncak kepada perbalahan kaum yang menunjukkan wujudnya perasaan iri hati, cemburu, tidak puas hati dan lain-lain terhadap kaum lain. Keadaan ini telah memaksa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat bagi menjarakkan dan mengurangkan jurang antara kaum sama ada dari segi ekonomi, politik dan sosial serta untuk mewujudkan semangat perpaduan antara kaum bagi mewujudkan keadaan sejahtera dan aman dalam negara.

Sebenarnya semenjak 1970-an lagi terdapat pemerhatian bahawa tidak wujud rasa kesamarataan yang menyeluruh atau rasa keberkesanan politik yang merata yang sepatutnya menjadi asas penyertaan politik awam. Selain tidak meluasnya budaya politik yang perlu bagi kewujudan demokrasi liberal di negara ini, terdapat juga kelemahan ‘infrastruktur ekonomi dan sosial’ (Saliha Hassan, 2000:222). Misalnya, sebelum DEB belum terdapat jumlah majoriti kelas menengah yang merupakan kelompok dasar dalam sistem politik demokrasi. Tan Sri Ghazali Shafie menyatakan bahawa kekurangan dan kelemahan ini wujud semenjak kita menyambut kemerdekaan pada 1957.

Contoh persatuan-persatuan yang wujud sebelum kemerdekaan negara ialah Persatuan Anak Melayu Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor yang kemudiannya bergabung pada 1946 menjadi sebuah kesatuan masyarakat politik yang dikenali sebagai UMNO (United Malays National Organizations) yang berjuang untuk menuntut kemerdekaan Malaysia. Walaupun tuntutan sivil yang diperjuangkan oleh kesatuan tersebut ialah kemerdekaan Malaysia, ia telah dilihat oleh kaum lain sebagai persoalan Melayu dan kepentingan Melayu (Zaini, 2002:51). Demikian juga halnya dengan perkembangan awal masyarakat sivil seperti Malaysian Chinese Association (MCA) dan juga Malaysian Indian Congress (MIC) yang memperjuangkan hak sosial masyarakat Cina dan India, yang juga dilihat oleh kaum Melayu sebagai bersifat kepentingan Cina dan India. Oleh itu dapat dilihat bahawa perkembangan awal masyarakat sivil di Malaysia terkongkong dalam kerangka kaum dan kegagalan untuk bersatu atau bergerak secara bersepadu diluar kerangka kaum itu.

Perkembangan masyarakat sivil selepas merdeka juga menunjukkan trend yang tidak jauh bezanya daripada keadaan masyarakat sivil sebelum merdeka. Kemunculan organisasi sivil seperti ABIM, al-Arqam, JIM (Jemaah Islah Malaysia), Pertubuhan Belia, ALIRAN, dan JUST (International Movement For A Just World) gagal untuk keluar daripada kerangka kaum, bersepadu dengan organisasi sivil yang lain, walaupun isu yang diperjuangkan bersifat sejagat (Zaini, 2002).

Secara kesimpulanya dapat disimpulkan bahawa kewujudan masyarakat sivil yang berkesan dan bermakna dalam sesebuah sistem demokrasi bergantung kepada kebebasan berpersatuan dan kebebasan menyuarakan pendapat walaupun bertentangan dengan pendirian umum individu didalamnya. Dengan itu, diandaikan bahawa akan wujud pelbagai kumpulan pendesak atau NGOs yang boleh dikatakan golongan pluralis yang menganjurkan atau memperjuangkan pelbagai kepentingann masyarakat terhadap sesuatu dasar atau undang-undang yang dibuat oleh kerajaan.


Rujukan;
Saliha Hassan, 2000. NGO, Masyarakat Sivil dan Demokrasi. Dalam Abdul Rahman Embong(penyt.) Negara Pasaran dan Pemodenan Malaysia: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zaini Othman, 2002. Masyarakat Sivil dan Pendemokrasian. Dalam Ghazali Mayudin (penyt.)Politik Malaysia Perspektif Teori dan Praktik: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Semester Baru & Terakhir

Begitu pantas masa berlalu seolah-olah tidak menyedari dan tidak percaya bahawa sekarang ini berada ditahun akhir pengajian yang juga merupakan semester terakhir. Rasanya masih tidak terlewat lagi untuk mengucapkan Salam Maal Hijrah 1431H kepada seluruh umat Islam didunia khususnya dibumi Malaysia ini.

Melangkahkan kaki ke universiti terpilih merupakan suatu harapan ketika berada dizaman persekolahan. Pada 1 Julai 2007, insan bernama Mohd Farid Jazari akhirnya berjaya mendaftarkan diri sebagai pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia. Tahun-tahun pengajian ditempuhi dan dilalui dengan penuh bermakna. Begitu banyak cabaran yang terpaksa dilalui dan ditempuhi apabila bergelar sebagai pelajar universiti akan tetapi semua itu tidak menjadi masalah dan halangan dalam meneruskan pengajian dalam menimba ilmu. Pada hari ini, sudah berada di tahun akhir pengajian dan InsyaAllah kalau atas kehendakNya akan menamatkan pengajian peringkat ijazah ini pada pertengahan tahun hadapan. Semoga tahun baru 1431H ini akan mendatangkan seribu makna dan kemanisan dalam mengenal erti kehidupan sebenar.



~ini merupakan sedikit celoteh dimalam hari dalam mengimbau kenangan semasa mula-mula menjejakkan kaki di UKM pada 1 Julai 2007.


Friday, October 23, 2009

SELOKA AKU DAN DIA

DIA menang pilihan raya,
DIA dapat blazer percuma,
DIA dapat elaun MPP,
DIA hidup cukup mewah..
DIA tiap minggu ke jamuan menteri,
DIA tiap minggu ketemu menteri,
DIA hanya hadiri majlis VVIP,
DIA terus hidup bangga diri..
DIA ketemu student jauh sekali,
Nak jumpa DIA hantar surat kat secretary,
DIA ke censelori bodek TNC,
Begitu DIA hidup sehari-hari,
Hidup ditaja tak sedar diri...

AKU hanya pelajar biasa,
AKU tidak punyai apa kuasa,
AKU senyap tiada suara,
AKU harap semua diwakili,
AKU harap siapa yang AKU undi,
AKU bukan orang senang,
AKU belajar tajaan PTPTN,
AKU tak mampu makan dengan VVIP,
AKU tak mampu jumpa menteri,
AKU gelisah yuran tinggi,
AKU tak pasti apa bakal terjadi,
Kerana AKU anak petani...

DIA tipu! DIA bohong! DIA retorik! DIA pengampu!
Yuran AKU tidak selesai!
Suara AKU tidak sampai!
Yuran AKU, DIA pakai!
DIA dapat elaun AKU yang pokai!
Masalah yuran DIA tak selesai..
Mana DIA pemimpin penggadai?
Tolong selesai masalah AKU pencacai...



~petikan daripada artikel "Gelora Anak Muda, Kearah Pembentukan Mahasiswa Mandiri".

Budaya "Kaki Bodek"

Untuk pengetahuan semua, 'post' kali mungkin boleh dikatakan kontroversi serta akan menyentuh hati beberapa pihak khususnya melibatkan warga UKM sendiri. Melihat kepada situasi sedemikian yang semakin menjadi-jadi telah mendorong saya membicarakan isu ini. Budaya "kaki bodek" ini melibatkan pelbagai golongan lapisan sama ada daripada golongan bawahan seterusnya kepada golongan atasan yang mana bertujuan untuk mendapatkan perhatian, kepentingan, imbuhan, pengaruh dan sebagainya yang boleh dianggap suatu budaya buruk, hina, tidak tahu malu, keji, serta memalukan bangsa, agama dan masyarakat apatah lagi apabila ianya melibatkan golongan terpelajar dan mempunyai akademik yang tinggi. Tidakkah terfikir sejenak dalam kalangan mereka ini, apakah mereka ini tidak merasa malu dengan perbuatan mereka yang sedemikian?

Untuk pengetahuan semua, budaya "kaki bodek" inilah yang merupakan salah satu faktor penting yang mewujudkan budaya kronisme dan nepotisme dalam masyarakat kita pada hari ini. Mungkin masih ada yang tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan "kaki bodek". "Kaki bodek" ini merupakan sesuatu perbuatan atau tingkah laku seseorang individu terhadap individu lain yang mempunyai pengaruh, kuasa, harta, pangkat dan sebagainya yang mana boleh dilihat melalui perbuatan seperti memuji individu itu secara berlebih-lebihan yang mana mempunyai agenda tertentu, bersalam dan mencium tangannya walaupun jarak umur menunjukkan mereka lebih muda berbanding individu terbabit, berkelakuan baik di hadapannya sedangkan secara realitinya mereka bukan begitu, menyokong idea,buah fikiran serta kata-kata individu terbabit secara membabi-buta tanpa mempersoalkan kerasionalan dan kebenarannya, bersifat hipokrit dan sebagainya yang mana perbuatan ini telah menjadi budaya dalam masyarakat kita. Di UKM sendiri, perbuatan atau budaya sedemikian dilihat semakin menjadi-jadi sama ada daripada golongan pensyarah mahupun daripada golongan pelajar. Dengan gelagak yang berbagai dalam kalangan mereka itu telah menonjolkan satu imej buruk terhadap nama baik universiti yang merupakan gedung atau pusat ilmu yang terpilih.

Tujuan isu ini dibangkitkan bukan kerana ingin mengejar nama atau populariti tetapi hanya sebagai teguran dan nasihat supaya sedar akan kesilapan dan bersikap rasional dalam setiap perkara. Bukan apa, apabila ianya melibatkan pelajar atau pensyarah lebih-lebih lagi apabila mereka ini memegang suatu jawatan penting dalam universiti, mereka sepatutnya bersikap terbuka, menjadi contoh kepada orang lain, berfikiran rasional, tidak 'bias' dalam sesuatu perkara atau hujahan, tidak berlagak dan angkuh dengan jawatan yang disandang, serta sedia menerima sebarang teguran atau kritikan daripada orang lain. Sebagai seorang yang mempunyai taraf akademik yang tinggi, sepatutnya mereka ini patut tahu apa yang benar dan apa yang salah serta apa yang patut dilakukan atau apa yang tidak sepatutnya dilakukan supaya dapat menonjolkan nilai jati diri serta keperibadian yang tinggi dalam diri sebagai panduan kepada orang lain. Dan juga seharusnya sedar akan tanggungjawab yang digalas supaya tidak tergelincir daripada landasan yang sebenar.

"Kepimpinan Melalui Teladan"..

"Bahasa Tuhan Kita Kuasai Didalam Dada,
Bahasa Inggeris Kita Kuasai Didalam Minda,
Bahasa Melayu Kita Daulatkan Didalam Jiwa..
Diatas Keruntuhan Kota Melaka,
Kita Bangunkan Semula Peradaban Bangsa.."


Sekian..

Bagaimana Patriot Act Dilihat Bersifat Diskriminasi?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada post yang lepas, saya telah menghuraikan apa yang dimaksudkan dengan Patriot Act dan juga objektif-objektif pelaksanaannya. Untuk kali, saya akan menunjukkan bagaimana akta yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat ini bersifat diskriminasi khususnya terhadap umat Islam dan juga negara-negara Islam yang mana juga peruntukan-peruntukan yang terdapat didalam akta tersebut secara jelasnya telah melanggar kebebasan dan hak individu seperti yang diperjuangkan didalam Perlembagaan Amerika Syarikat.

Serangan 11 September 2001 telah mengubah secara mengejut dasar luar Amerika. Selepas serangan tersebut, kerajaan Amerika terus mempersalahkan puak Al-Qaeda ke atas serangan bangunan WTC dan Pentagon itu. Pelaksanaan Patriot Act selepas serangan tersebut yang memberi kuasa kepada penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat dan menahan tanpa bicara sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengganas atau mempunyai hubungan dengan pengganas dilihat telah melanggar kebebasan dan hak asasi manusia iaitu melanggar Pindaan IV, Perlembagaan Amerika Syarikat, “Hak rakyat yang menjamin hak dirinya, rumah, dokumen, dan selainnya daripada penggeledahan dan perampasan yang tidak munasabah, tidak akan dilanggar, dan tiada waran akan dikeluarkan, tetapi berdasarkan sebab-sebab barangkali, dengan disokong oleh sumpah atau pengakuan, dan terutamanya menerangkan tempat yang akan digeledah, dan orang-orang atau barang-barang yang akan dirampas”.

Dalam Seksyen 213, 215, 411, 412 dalam Patriot Act dilihat wujudnya diskriminasi apabila akta ini membenarkan penguatkuasa undang-undang menghendap kediaman atau pejabat, masuk, mengambil gambar dan menyita atau merampas barangan seseorang tanpa memberitahu pemilik itu. Selain itu, akta ini juga membenarkan penangkapan warganegara dan bukan warganegara Amerika tanpa memerlukan penguatkuasa itu mengenalpasti sama ada mereka secara fakta adalah terlibat dalam aktivit pengganas atau pun sebaliknya.

Serangan pertama kerajaan Amerika dalam membendung kegiatan dan aktiviti pengganas ini dimulakan dengan serangan terhadap kerajaan Taliban di Afghanistan dengan alasan kerajaan Taliban memberikan perlindungan kepada puak Al-Qaeda serta membenarkan wilayah Afghanistan digunakan sebagai tempat markas latihan pejuang Al-Qaeda dan juga digunakan sebagai sebagai tapak pelancaran serangan ke atas kepentingan Amerika. Selepas menghancurkan bumi Afghanistan dengan serangan tidak berperikemanusiaan, kerajaan Amerika di bawah pimpinan George W.Bush pula meneruskan serangan ke atas bumi Iraq yang pada ketika itu berada dibawah pemerintahan Saddam Hussein dengan alasan serangan tersebut kerana kerajaan Iraq juga membantu dalam kumpulan Al-Qaeda serta membangunkan senjata nuklear disamping turut dijadikan markas untuk latihan pejuang kumpulan terbabit. Akibat daripada serangan terhadap kedua-dua buah negara ini, telah menyebabkan ramai orang awam terkorban, rumah-rumah kediaman runtuh, serta kehancuran hampir keseluruhan bumi negara-negara tersebut. Selain itu, serangan yang tidak berperikemanusiaan ini dilihat sebagai wujudnya pencabulan hak asasi manusia, pencabulan kedaulatan negara tersebut serta disifatkan sebagai berlakunya jenayah perang.

Selain itu, Seksyen 23 dalam Patriot Act yang memberi kebebasan kepada pihak berkuasa untuk mengeledah kediaman seseorang tanpa waran dan kebenaran pemilik kediaman juga telah melanggar Pindaan III, Perlembagaan Amerika iaitu yang menyatakan dalam pindaan tersebut “Tiada askar akan, pada masa aman ditempatkan di mana-mana rumah, tanpa kebenaran pemiliknya, mahupun sewaktu peperangan, tetapi mengikut apa yang telah ditetapkan oleh undang-undang”. Disamping itu juga, Seksyen 411 dalam Patriot Act juga dilihat wujudnya diskriminasi dan mengancam kebebasan beragama di Amerika. Sebagai contohnya, individu yang menganggotai sesebuah organisasi agama yang disyaki terlibat dalam kegiatan yang menurut kerajaan Amerika mengancam keselamatan negara akan ditahan kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan aktiviti pengganas.

Oleh itu dapat disimpulkan bahawa walaupun Patriot Act ini diwujud dan dilaksanakan untuk membendung aktiviti keganasan, akan tetapi pada masa yang sama, objektif dan seksyen-seksyen yang terdapat dalam akta ini dilihat jelas bertentangan dan melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia serta kebebasan individu yang terkandung dalam Perlembagaan Amerika Syarikat. Ini kerana, hak asasi dan kebebasan sivil yang diperjuangkan oleh bapa-bapa kemerdekaan Amerika sebelum ini sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan Amerika telah dilanggar akibat kesan daripada sifat dan sikap paranoid yang melanda kerajaan Amerika selepas berlakunya tragedi 11 September 2001.


Sekian..