Monday, December 21, 2009

Perkembangan Masyarakat Sivil Di Malaysia

Melihat kepada amalan sistem demokrasi di Malaysia secara keseluruhan, dapat dijelaskan bahawa kedudukan masyarakat sivil di negara ini tidaklah memenuhi ciri-ciri universal yang diterima sebagai sebuah bentuk masyarakat sivil yang ideal. Walaupun secara hakikatnya Malaysia mengamalkan pemerintahan demokrasi, akan tetapi terdapat juga atau wujudnya halangan-halangan masyarakat sama ada mengenai hak, kebebasan dan sebagainya melalui alat-alat undang-undang yang dimanipulasi oleh kerajaan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan banyak lagi. Melalui alat-alat inilah, pemerintah memanipulasinya untuk meningkatkan kuasa mereka.

Walau bagaimanapun, masyarakat sivil di Malaysia juga turut melalui perkembangannya dari semasa ke samasa untuk bertindak sebagai sebuah kesatuan dan organisasi yang bebas serta berjuang untuk kepentingan seluruh masyarakat. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi perkembangan masyarakat sivil di Malaysia. Antaranya ialah melalui struktur masyarakat Malaysia itu sendiri iaitu kaum, amalan demokrasi dan kestabilan politik. Selain itu, peranan media dan ketidaksamarataan ekonomi, politik dan sosial antara kaum juga merupakan faktor-faktor penting yang mempengaruhi perkembangannya.

Semenjak Malaysia mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957, adalah merupakan antara negara membangun yang stabil dari segi pelitiknya dan ekonomi. Kestabilan politik dan ekonomi tersebut dapat dicapai daripada kandungan struktur masyarakatnya yang berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya. Kejayaan pemerintah Malaysia iaitu Barisan Nasional mengekalkan kuasa politik banyak dikaitkan dengan strategi pemerintah memanipulasi isu kaum sebagai isu ekonomi-politik yang dominan dalam kerangka pembangunan dan perkembangan ekonomi dan politik di Malaysia.

Peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah banyak mengubah corak dan dasar kerajaan. Tun Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Ke-2 Malaysia, telah meletakkan dasar demokrasi ala Malaysia ekoran kejadian rusuhan kaum tersebut dan menerusi pentadbiran darurat selama hampir dua tahun oleh Majlis Gerakan Negara selepasnya (Saliha Hassan, 2000:220). Beliau menjelaskan bahawa negara ini perlu melahirkan satu demokrasi yang sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah negara membangun yang mempunyai komuniti di dalamnya. Beliau juga menganggap bahawa amalan demokrasi seperti di United Kingdom tidak sesuai dengan keadaan masyarakat tempatan. Keadaan ini telah menyebabkan terbentuknya sistem demokrasi acuan sendiri seperti yang diamalkan di Malaysia sekarang ini yang mana didalamnya banyak terkandung pelbagai jenis akta dan peraturan politik untuk tujuan mengawal, mengawasi, dan jika perlu menghapuskan cabaran-cabaran politik yang dianggap kerajaan sebagai halangan kepada agenda politik dan pembangunan negara.

Pengenalan akta dan peraturan tersebut yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah bertujuan untuk mewujudkan keselamatan dan kestabilan politik. Selain itu, ia juga akan menjamin persekitaran yang wajar bagi interaksi harmoni di antara kaum, membolehkan berlakunya pembangunan ekonomi yang mantap dan menjamin Malaysia diterima sebagai sebuah anggota yang dihormati di dalam kalangan komuniti antarabangsa. Sementara itu, dalam masa yang sama juga, kerajaan mengambil tindakan untuk memenuhi keperluan masyarakat seperti pembangunan ekonomi, kebajikan sosial, keselamatan, ketenteraman awam dan kestabilan serta ia juga memebuhi hasrat rakyat untuk ikut serta dalam proses politik melalui pilihanraya yang dijalankan menurut perlembagaan (Saliha Hassan, 2000:222).

Perkembangan masyarakat sivil di Malaysia juga banyak dipengaruhi oleh media sama ada media massa mahupun media elektronik. Misalnya, pada era 1980-an, akhbar berbahasa Inggeris, The Star dan tabloid Melayu, Watan telah memberi ruang yang banyak kepada perdebatan mengenai peranan masyarakt serta menerima sambutan yang baik dalam kalangan pembaca Inggeris dan Melayu dalam tempoh itu. Selain itu, terdapat juga banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti ALIRAN (Aliran Kesedaran Negara), CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang), ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), SGS (Selangor Graduate Society) dan lain-lain lagi yang sering mengkritik aspek-aspek amalan demokrasi yang menghadkan kebebasan asasi seperti kebebasan bersuara dan berpersatuan yang terdapat di negara ini serta menganjurkan pelbagai bentuk penerbitan dan penganjuran seminar, forum dan dialog tentang pengamalan demokrasi.

Peranan media juga dapat dilihat semakin berkesan pada era 1990-an dalam mempengaruhi perkembangan masyarakat sivil di Malaysia. Ini dapat dilihat berikutan peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia pada 2 September 1998. Peristiwa ini menyebabkan wujudnya pelbagai bantahan daripada masyarakat terhadap perkara ini yang mana dilihat berlakunya kezaliman, ketidakadilan dan salah guna kuasa oleh pemerintah yang disuarakan melalui pelbagai bentuk saluran khususnya melalui media seperti akhbar, televisyen, radio dan sebagainya. Sebagai contohnya, akhbar tabloid iaitu Suara Keadilan, Harakah, Siasah dan lain-lain lagi yang menyuarakan bantahan dan meminta keadilan terhadap perkara ini. Selain itu, kita juga dapat lihat kesepaduan dan kerjasama erat antara masyarakat sivil yang pelbagai bentuk dan isu perjuangan, keluar daripada kerangka kaum, serta jalinan aktiviti dengan masyarakat politik Malaysia yang telah memberi impak begitu berkesan yang mana muncul bukan sahaja sebagai sebuah organisasi alternatif, tetapi juga sebagai sebuah organisasi yang menjadi sumber informasi maklumat kepada masyarakat, yang pada akhirnya lahir dalam konteks mencabar status quo pemerintah.

Ketidaksamarataan sosioekonomi yang dimaksudkan ialah ketidaksamarataan di antara kaum yang berlaku khususnya sebelum dan awal kemerdekaan negara. Ketidaksamarataan sosioekonomi ini telah melahirkan kelompok-kelompok yang mewakili kaum masing-masing untuk memperjuangkan hak dan kepentingan kaum mereka. Faktor ini merupakan faktor penting yang mengubah corak perkembangan masyarakat sivil di Malaysia khususnya penglibatan mereka dalam setiap pembuatan keputusan dan dasar kerajaan supaya mengambil kira kepentingan semua kaum.

Kedudukan geogarafi kaum masing-masing yang berbeza telah mewujudkan suatu jurang yang lebar antara kaum tersebut yang menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati terhadap kaum lain. Struktur masyarakat yang terpisah ini juga merupakan salah satu penyebab kepada berlakunya peristiwa berdarah iaitu peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan kemuncak kepada perbalahan kaum yang menunjukkan wujudnya perasaan iri hati, cemburu, tidak puas hati dan lain-lain terhadap kaum lain. Keadaan ini telah memaksa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat bagi menjarakkan dan mengurangkan jurang antara kaum sama ada dari segi ekonomi, politik dan sosial serta untuk mewujudkan semangat perpaduan antara kaum bagi mewujudkan keadaan sejahtera dan aman dalam negara.

Sebenarnya semenjak 1970-an lagi terdapat pemerhatian bahawa tidak wujud rasa kesamarataan yang menyeluruh atau rasa keberkesanan politik yang merata yang sepatutnya menjadi asas penyertaan politik awam. Selain tidak meluasnya budaya politik yang perlu bagi kewujudan demokrasi liberal di negara ini, terdapat juga kelemahan ‘infrastruktur ekonomi dan sosial’ (Saliha Hassan, 2000:222). Misalnya, sebelum DEB belum terdapat jumlah majoriti kelas menengah yang merupakan kelompok dasar dalam sistem politik demokrasi. Tan Sri Ghazali Shafie menyatakan bahawa kekurangan dan kelemahan ini wujud semenjak kita menyambut kemerdekaan pada 1957.

Contoh persatuan-persatuan yang wujud sebelum kemerdekaan negara ialah Persatuan Anak Melayu Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor yang kemudiannya bergabung pada 1946 menjadi sebuah kesatuan masyarakat politik yang dikenali sebagai UMNO (United Malays National Organizations) yang berjuang untuk menuntut kemerdekaan Malaysia. Walaupun tuntutan sivil yang diperjuangkan oleh kesatuan tersebut ialah kemerdekaan Malaysia, ia telah dilihat oleh kaum lain sebagai persoalan Melayu dan kepentingan Melayu (Zaini, 2002:51). Demikian juga halnya dengan perkembangan awal masyarakat sivil seperti Malaysian Chinese Association (MCA) dan juga Malaysian Indian Congress (MIC) yang memperjuangkan hak sosial masyarakat Cina dan India, yang juga dilihat oleh kaum Melayu sebagai bersifat kepentingan Cina dan India. Oleh itu dapat dilihat bahawa perkembangan awal masyarakat sivil di Malaysia terkongkong dalam kerangka kaum dan kegagalan untuk bersatu atau bergerak secara bersepadu diluar kerangka kaum itu.

Perkembangan masyarakat sivil selepas merdeka juga menunjukkan trend yang tidak jauh bezanya daripada keadaan masyarakat sivil sebelum merdeka. Kemunculan organisasi sivil seperti ABIM, al-Arqam, JIM (Jemaah Islah Malaysia), Pertubuhan Belia, ALIRAN, dan JUST (International Movement For A Just World) gagal untuk keluar daripada kerangka kaum, bersepadu dengan organisasi sivil yang lain, walaupun isu yang diperjuangkan bersifat sejagat (Zaini, 2002).

Secara kesimpulanya dapat disimpulkan bahawa kewujudan masyarakat sivil yang berkesan dan bermakna dalam sesebuah sistem demokrasi bergantung kepada kebebasan berpersatuan dan kebebasan menyuarakan pendapat walaupun bertentangan dengan pendirian umum individu didalamnya. Dengan itu, diandaikan bahawa akan wujud pelbagai kumpulan pendesak atau NGOs yang boleh dikatakan golongan pluralis yang menganjurkan atau memperjuangkan pelbagai kepentingann masyarakat terhadap sesuatu dasar atau undang-undang yang dibuat oleh kerajaan.


Rujukan;
Saliha Hassan, 2000. NGO, Masyarakat Sivil dan Demokrasi. Dalam Abdul Rahman Embong(penyt.) Negara Pasaran dan Pemodenan Malaysia: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zaini Othman, 2002. Masyarakat Sivil dan Pendemokrasian. Dalam Ghazali Mayudin (penyt.)Politik Malaysia Perspektif Teori dan Praktik: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment