Thursday, April 23, 2009

PELACURAN DI MALAYSIA

Secara ringkasnya, pelacuran bolehlah dianggap sebagai penjualan khidmat seksual, seperti seks oral atau hubungan seks yang biasanya untuk mendapatkan wang. Namun kadang-kadang ianya juga dilakukan untuk mendapatkan dadah, barang kemas, makanan, ataupun apa-apa sahaja tawaran yang dipersetujui secara bersama antara pelacur dan pelanggannya. Lazimnya, seseorang yang melacurkan diri disebut sebagai pelacur dan kebanyakan pelacur adalah perempuan. Namun, wujud juga pelacur dalam kalangan kaum lelaki yang biasanya dipanggil sebagai gigolo dan sebagainya.

Khalayak lazimnya menganggap pelacuran adalah pelacuran seksual iaitu pelacuran melalui hubungan seks semata-mata. Mereka menganggap melacur itu hanya perbuatan bercumbu-cumbuan, raba-meraba dan seterusnya mengadakan hubungan kelamin antara pelacur dan pelanggannya sahaja. Namun terdapat beberapa persoalan utama berkenaan pelacuran yang masih menimbulkan keraguan umum sebenarnya.

Pertama, adakah khidmat tukang urut kemaluan lelaki dari kalangan wanita itu dianggap sebagai khidmat pelacuran. Sedangkan tujuan sebenar khidmat urutan itu adalah untuk memperkuatkan fungsi dan peranan kemaluan lelaki yang diurut? Atas alasan khidmat itu boleh menaikkan nafsu shahwat, sebilangan daripada masyarakat menganggap ianya juga merupakan suatu cabang daripada cabang-cabang pelacuran.

Kedua, adakah pelayan-pelayan pusat-pusat hiburan yang berpewatakan penggoda itu juga boleh dianggap sebagai pelacur kerana aspek fizikal mereka yang berpakaian seksi dan menggoda? Hal ini lazimnya mendapat reaksi berbeza daripada masyarakat. Ada yang menkelaskan mereka hanya sekadar pelayan pusat hiburan semata-mata, namun tidak kurang juga yang mengelaskan golongan ini sebagai pelacur berdasarkan pesepsi yang menganggap semua perkerja wanita yang berpakaian seksi di pusat-pusat hiburan biasanya akan menawarkan khidmat seks kepada pengunjung pusat-pusat hiburan itu.

Walau bagaimanapun, secara umumnya, pelacuran dianggap oleh kebanyakkan masyarakat didunia sebagai satu kesalahan dari segi agama, adat, budaya dan undang-undang. Dalam kalangan masyarakat Malaysia, pelacuran dipandang negatif, dan mereka yang menjual tubuh sering ini dianggap sebagai sampah masyarakat yang amat hina.

Namun, ada juga dari kalangan anggota masyarakat yang memuliakan kerja-kerja pelacuran. Ianya pernah berlaku di Barat yang mana masyarakat Barat ketika itu menganggap pelacur adalah platform untuk kaum lelaki menyalurkan kehendak nafsu yang tidak dapat dikawal. Masyarakat disana suatu ketika dahulu berpendapat, dengan adanya golongan pelacur yang menawarkan khidmat seks ini, jenayah rogol yang berlaku akibat kegagalan kaum lelaki untuk mengawal nafsu seksualnya akan dapat dikurangkan kerana mereka sudah punyai saluran yang sah untuk menunaikan kehendak nafsu seksual mereka itu. Pelacuran kaum lelaki juga turut diagungkan kerana matlamat dan alasan yang sama sepert yang dinyatakan tadi.

Pesepsi yang berbeza ini didukung oleh pelbagai pihak di Barat ketika itu, antara salah seorang yang mengemukakan pandangan seperti itu adalah Augustine dari Hippo iaitu seorang paderi gereja. Augustine mengatakan bahawa pelacuran itu ibarat selokan yang menyalurkan air yang busuk dari kota demi menjaga kesihatan warga kotanya. Dalam hal ini, pelacuran dilihat sebagai suatu pengorbanan golongan minoriti kepada kestabilan sosial golongan yang majoriti.

Pelacur juga mempunyai kategori yang berbeza-beza, walaupun secara dasarnya mereka adalah sama iaitu bersama-sama menjual tubuh untuk mendapatkan sesuatu faedah, namun jika diteliti secara lebih mendalam, bukan semua pelacur itu berada di lorong-lorong gelap sebagai contoh. Bukan semua pelacur itu menerima sesiapa sahaja yang ingin melanggan perkhidmatannya. Bukan semua pelacur itu menawarkan bayaran yang serupa dan rendah kepada pelangan-pelangannya. Disinipun kita sudah dapat melihat perbezaan dan dan kelainan setiap pelacur-pelacur itu. Secara kasarnya, pelacur dapat dikelaskan kepada tujuh kategori utama seperti bohsia, pelacur pasar, pelacur jalanan, pelacur bermajikan, pelacur tukang urut dan pelayan pusat hiburan, pelacur bebas serta pelacur kehormat.

Kegiatan pelacuran di Malaysia dikatakan telah bermula seawal abad ke-18 lagi iaitu apabila berlakunya kemasukan imigran-imigran dari China dan India secara besar-besaran untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah dan juga di ladang-ladang getah iaitu sejak 1830-an lagi. Kehadiran imigran-imigran ini terutamanya buruh-buruh lelaki yang ramai telah mengakibatkan golongan wanita semakin berkurangan daripada lelaki.

Situasi ini telah menyebabkan berlakunya penyeludupan golongan wanita dari luar negara secara besar-besaran bagi memenuhi tuntutan permintaan yang tinggi terhadap golongan wanita terutama dari segi tuntutan nafsu iaitu melalui aktiviti pelacuran. Mengikut statistik Polis Kuala Lumpur melalui sumber Utusan Malaysia, mendapati bahawa kaum Melayu merupakan kaum yang paling ramai terlibat dalam aktiviti pelacuran iaitu sebanyak 60%, diikuti dengan kaum Cina sebanyak 30%, lain-lain kaum pula sebanyak 8% dan kaum India dengan peratusan yang paling rendah iaitu sebanyak 2%.

Kegiatan aktiviti pelacuran terdapat di hampir semua bandar di negara ini. Ini boleh dikatakan bahawa hampir setiap bandar mempunyai aktiviti pelacuran. Contohnya di Alor Star, aktiviti pelacuran terdapat di Lorong Petani, di Bukit Mertajam dan Jalan Mengkuang di Pulau Pinang. Di ibu negara iaitu Kuala Lumpur, antara tempat aktiviti pelacuran yang terkenal ialah kawasan Lorong Haji Taib, Jalan Hickhs, Jalan Bukit Bintang, dan Jalan Thambitillay di Briekfields. Namun demikian, tidak seorang pun tahu bilangan pelacur yang terdapat di negara ini. Angka-angka yang diketahui adalah taksiran atau bilangan yang ditangkap dan angka-angka yang ada pun boleh dikatakan tidak selari.

Menurut laporan dari Pegawai Pencegah Maksiat, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Asisten Supritenden Choo Lily, sejak dari tahun 1996 sehingga Februari 2003, sebanyak 17, 448 wanita rakyat asing ditangkap. Hasil daripada tangkapan tersebut didapati bahawa rakyat asing dari negara Indonesia adalah paling ramai iaitu berjumlah 10,576 orang, diikuti dengan Thailand iaitu seramai 3,096 orang, Filipina pula seramai 1,794 orang, China seramai 1,149 orang, Uzbekistan seramai 388 orang, Kemboja seramai 107 orang, Rusia seramai 71 orang, Vietnam seramai 66 orang, Myanmar seramai 55 orang, India seramai 43 orang dan Taiwan seramai 21 orang. Manakala pelacur dari Ukraine pula seramai 17 orang yang telah ditangkap diikuti dengan Singapura seramai 12 orang, Kazakstan seramai 10 orang dan Columbia pula seramai 9 orang yang berjaya ditangkap.

Kalau dikaji dan diperhatikan, mengapa terlalu ramai warga asing terlibat dalam pelacuran di Malaysia? Terdapat banyak persoalan yang boleh dipersoalkan dalam mengkaji masalah ini yang melibatkan warga asing. Ada pendapat mengatakan bahawa rakyat Indonesia yang melacurkan diri di negara ini kebanyakkanya terpedaya dengan sindiket pelacuran yang menyamar sebagai ejen pekerjaan dan menjanjikan kepada mereka peluang pekerjaan yang baik seperti pembantu rumah, pembantu kedai dan pekerja kilang. Mengikut data yang dikeluarkan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada 8 November 2005, Malaysia telah menyaksikan kes pelacuran kanak-kanak dengan purata 150 sehingga 160 gadis tempatan ditahan setiap tahun kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran. Ini dianggarkan bahawa seramai 150 ribu orang terbabit dalam kegiatan pelacuran dan daripada jumlah ini kebanyakkan melibatkan wanita dewasa.
Apakah yang menyebabkan berlakunya aktiviti pelacuran? Persoalan ini kerap ditanya dalam kalangan masyarakat hari ini. Walaupun kegiatan atau aktiviti pelacuran dianggap keji dan hina dalam agama dan juga masyarakat, tetapi masih ramai lagi wanita yang sanggup untuk menjadi pelacur. Terdapat banyak sebab mengapa masih ramai lagi wanita yang ingin menjadi pelacur, antaranya ialah kerana masalah kemiskinan, kehilangan moral, dicerai oleh suami, keruntuhan rumahtangga dan sebagainya. Akan tetapi, kita juga tahu bahawa masih ramai juga wanita-wanita yang dicerai, dimadu, yang miskin, mengalami keruntuhan rumahtangga dan yang hidup dalam masyarakat pemisif yang tidak menjadi pelacur. Jadi jawapan kepada persoalan ini adalah lebih daripada ini.

Peningkatan kes pelacuran telah menarik perhatian masyarakat awam yang secara tidak langsung merasakan ianya mengancam keharmonian masyarakat. Malah ada di antara mereka yang mempersoalkan kredibiliti dan peranan pihak berkuasa yang sepatutnya menjadi watak utama dalam usaha membasmi masalah ini. Terdapat pelbagai reaksi dan tidak kurang juga cadangan daripada masyarakat umum untuk membasmi aktiviti pelacuran ini antaranya mendesak hukuman mati ke atas penyeludup manusia seperti yang diterima oleh pengedar dadah. Relevannya hujah ini ialah tindakan penyeludupan manusia iaitu wanita ini telah menyebabkan pencabulan hak asasi manusia yang serius. Seperti manusia lain semua orang berhak untuk hidup dengan aman tanpa diganggu oleh sesiapapun. Tambahan pula mereka yang diseludup dan dijadikan pelacur ini akan mengalami gangguan jiwa yang berterusan sehingga akhir hayat mereka. Selepas ‘bersara’ daripada aktiviti ini kelak mereka tidak akan diterima oleh masyarakat umum kerana kegiatan yang pernah dilakukan sedangkan hakikatnya mereka tidak berkehendakkan begitu.



Idea bersama; Farid, Adib dan Naim

No comments:

Post a Comment