Saturday, July 11, 2009

MAHASISWA DAN HIBURAN

Mungkin kita semua tertanya-tanya kenapa masyarakat kita pada hari ini terlampau menggilai seni hiburan sehinggakan sanggup menghabiskan wang ringgit, masa dan juga sanggup melompat-lompat ibarat beruk diatas pokok apabila artis pujaan dan kesayangan mereka sama ada tengah membuat persembahan, memenangi sesuatu anugerah muzik, dan juga sanggup berebut dan tolak menolak semata-mata untuk mendapatkan tandatangan mereka. Situasi sebegini dapat dilihat dimana sahaja berlangsungnya persembahan hiburan sehinggakan sanggup menjatuhkan nilai moral dan adab orang Malaysia khususnya dalam kalangan orang Melayu. Situasi sebegini telah menjadi serius sehinggakan gejala hiburan ini telah berjaya merebak masuk kedalam kampus-kampus universiti sama ada universiti awam ataupun swasta sehinggakan menjadi barah yang sukar dirawati. Kita semua sedia maklum apa yang telah terjadi di universiti awam khusunya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak akhir-akhir ini yang mana gejala hiburan semakin berleluasa dan banyak aktiviti bercorak hiburan telah diadakan. Contohnya apa yang telah berlaku di sebuah kolej dalam kampus UKM yang mana telah menganjurkan aktiviti dan pertandingan hiburan seperti 'Battle Of The Band' yang sepatutnya tidak wajar dijalankan didalam kawasan atau pusat ilmu. Wah sungguh gah pihak penganjur apabila pertandingan ini mendapat penyertaan meluas sama ada dalam kalangan mahasiswa mahupun kalangan masyarakat luar kampus. Jadi apa yang kita semua dapat daripada aktiviti sebegini?? Ataupun kita semua hanya hendak melihat mahasiswa/i tolak menolak dan sanggup menjatuhkan maruah dengan menari berhimpit-himpit antara lelaki dan wanita tanpa perasaan malu sedikit pun serta meraung dan bersorak kegembiraan meraikan artis kegemaran mereka membuat persembahan.

Jadi tidak hairanlah program realiti hiburan seperti Akademi Fantasi, Mentor, Malaysia Idol, dan banyak lagi semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Kanak-kanak yang sepatutnya diajar belajar di kelas tuisyen, mengaji Al-Quran, dan kelas Fardhu Ain telah dihantar ke pusat nyanyian atau kelas nyanyian semata-mata untuk menyertai pertandingan nyanyian yang melibatkan golongan kanak-kanak. Aduhai rakyat Malaysia, apa dah jadi ni??

Menurut Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam karyanya 'Seni Dalam Islam' menyatakan nyanyian merupakan ungkapan kata-kata, sekiranya ia dipenuhi dengan unsur kebaikan, maka ia adalah sesuatu perkara yang baik, tetapi sekiranya ia dipenuhi dengan unsur kekejian maka ia adalah sesuatu perkara yang keji. Setiap kata-kata yang mengandungi unsur-unsur haram, maka hukumnya haram apatah lagi apabila kata-kata tersebut dihiasi pula dengan irama dan lagu yang mampu memberi kesan yang mendalam terhadap pendengarnya. Dalam Islam, hukum nyanyian adalah harus tetapi terdapat beberapa syarat yang perlu di jaga. Menurut beliau antara syarat yang perlu dijaga ialah:
1. Kandungan nyanyian itu hendaklah selari dengan akhlak yang ditunjukkan oleh ajaran Islam. Oleh itu, lirik-lirik yang menyalahi Islam tidak diharuskan.
2. Cara penyampaian perlu diberi perhatian. Ini kerana ada ketikanya kandungan ataupun isi sesebuah lagu tidak terdapat langsung unsur-unsur keji dan salah tetapi cara penyanyi menyampaikan lagu tersebut adalah salah seperti nyanyian disampaikan dengan suara penuh keghairahan dan menggoda.
3. Hendaklah nyanyian itu tidak diserta dengan perkara-perkara haram seperti meminum arak, berhias-hias secara melampau ataupun berlakunya percampuran antara lelaki dengan perempuan tanpa ada sebarang batas dan sempadan.
4. Hendaklah tidak keterlaluan berhibur dengannya. Ini kerana nyanyian banyak melibatkan unsur perasaan manusia, menceritakan tentang kasih sayang dan percintaan. Diri manusia bukan hanya mengandungi unsur perasaan semata-mata, perasaan pula bukan hanya cinta semata-mata, cinta bukannya dikhususkan perempuan sahaja dan perempuan pula bukan semata-mata satu lakaran objek yang memberahikan.

Daripada apa yang dijelaskan diatas, kita semua umat manusia khususnya umat Islam dapat menilai sendiri adakah hiburan yang melanda kita sekarang berlandaskan nilai-nilai Islam dan tidak bertentangan dengannya. Kepada mahasiswa/i, berhiburlah secara kesederhanaan kerana sifat kesederhanaan yang terdapat pada hamba-hamba Allah Yang Maha Pengasih bukan sahaja dalam urusan yang berkaitan dengan harta benda, tetapi ia merupakan sifat asasi bagi mereka dalam setiap urusan hidup.

Sekian...

No comments:

Post a Comment