Monday, April 27, 2009

KENAPA PARTI POLITIK BUKAN PERKAUMAN SUKAR MENDAPAT TEMPAT DALAM POLITIK MALAYSIA??

Sejak lebih 50 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, kita dapai parti politik bukan perkauman sukar mendapat tempat dalam politik Malaysia. Terdapat banyak isi tersurat dalam menghuraikan perkara ini dan mungkin sesuatu perkara yang dibangkitkan akan menimbulkan sebarang perasaan ketidakpuasan hati mana-mana pihak. Oleh itu, saya ingin memohon seribu kemaafan jika huraian saya nanti akan menyentuh perasaan tidak puas hati beberapa pihak. Sebagai perbincangan bertunjangkan akademik, saya rasa tidak ada salahnya saya menimbulkan persoalan sedemikian demi merungkaikan setiap jawapan kepada persoalan tersebut yang berpaksi kepada kebenaran.


Secara umumnya parti politik bukan perkauman bermaksud satu bentuk organisasi mengenai badan organisasi yang tidak menghadkan keahlian mereka kepada satu etnik sahaja tetapi keahliannya terbuka kepada pelbagai etnik dan bertujuan untuk menjaga kepentingan bersama. Orang Melayu, Cina, India, dan etnik-etnik lain boleh menyertai dan berada dibawah satu parti yang sama. Ini bermakna rakyat yang berbeza sama ada dari segi agama, bangsa, dan budaya boleh berada dibawah satu parti yang sama. Antara parti bukan perkauman yang masih lagi dapat bertahan dalam arena politik Malaysia ialah Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Democration Action Party (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Terdapat banyak faktor yang yang menyebabkan parti-parti ini sukar mendapat tempat dalam politik Malaysia. Akan tetapi, selepas pilihanraya umum yang lepas kita dapati parti-parti ini sudah menampakkan sinar yang baru apabila banyak memenangi kerusi DUN dan Parlimen dan berjaya menguasai beberapa buah negeri yang sebelum ini berada erat dalam gengaman parti pemerintah iaitu Barisan Nasional.


Parti bukan perkauman sukar mendapat tempat dalam politik Malaysia kerana ideologi parti ini tidak berfungsi untuk mempertahankan kaum akan tetapi dalam masa yang sama ingin menjadi juara kaum antara etnik tertentu sahaja. Kebanyakan parti bukan perkauman walaupun membuka keahliannya kepada semua kaum tetapi secara purata keanggotanya terdiri daripada majoriti kelompok kaum tertentu sahaja. Ini dapat dibuktikan dalam parti DAP walaupun dari sudut ideologinya memperjuangkan nilai dan norma politik yang bersifat nasional tetapi diperjuangkan dalam bentuk etnik Cina sahaja. Secara khususnya parti ini didaftarkan sebagai sebuah parti yang berbilang kaum pada 18.08.1966 lanjutan daripada Parti Tindakan Rakyat dan diasaskan oleh Chen Man Hin, Devan Nair dan Goh Hock Guan yang bersifat kearah perjuangan pembentukan Malaysian Malaysia.


Selain itu, dari segi budaya politik masyarakat Malaysia sendiri juga mereka lebih cenderung untuk memilih wakil-wakil daripada kaum mereka sendiri sahaja. Menurut Smith dan Van Den Beighe dalam politik bukan perkauman melihat masyarakat berbilang kaum lebih cenderung untuk mengekalkan kelangsungan identiti masing-masing serta mempertahankan nilai, budaya, dan idea yang berbeza antara kelompok masyarakat. Ini kerana, mereka lebih cenderung mempertahankan nilai sendiri dan cuba memaparkan nilai tersebut kepada masyarakat lain yang berbeza agama, budaya, dan bahasa atau etnik yang berbeza. Contohnya dalam politik bukan perkauman didapati bahawa orang Cina sukar untuk memilih wakil dari kalangan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya.


Dalam parti bukan perkauman, pertelingkahan pendapat sering kali terjadi dalam kalangan ahli-ahli mahupun calon-calon itu sendiri. Pertelingkahan pendapat ini telah memberi kesan sampingan kepada parti politik mereka sama ada parti politik mereka bertambah baik atau musnah kerana kedegilan dan saling tidak sama pendapat. Akibat dari itu menyebabkan parti bukan perkauman sukar untuk mendapat tempat dalam politik negara. Pertelagahan dan kelemahan organisasi parti bukan perkauman menyebabkan ahli-ahli dalam parti mereka tidak dapat mengekalkan keahliannya.


Disampin itu juga, corak pemerintahan Malaysia yang mengamalkan konsep, ciri-ciri, dan prinsip-prinsip demokrasi tetapi dalam masa yang sama wujud juga unsur-unsur penekanan dan pembendungan kebebasan berpolitik seperti halangan-halangan untuk berkempen dalam pilihan raya, penguasaan media massa oleh pemerintah, kebebasan bersuara yang di dominasi oleh golongan elit politik keatas parti bukan perkauman menyebabkan parti ini susah untuk mengekalkan kedudukannya dalam politik Malaysia. Disebabkan ini juga, parti bukan perkauman tidak berkuasa kerana parti-parti perkauman telah memonopoli kedudukan dan kuasa politik mereka menjadi semakin kukuh dan jitu. Peranan media massa yang hanya semata-mata bersifat sebagai propaganda politik nampaknya jauh daripada mencukupi untuk mempengaruhi rakyat supaya tidak menyokong parti bukan perkauman. Kebanyakkan laporan media banyak memihak kepada kerajaan seperti saluran TV dan akhbar yang menyebabkan parti bukan perkauman menjadi semakin lemah untuk terus kekal dalam politik negara.


Selain itu, penggunaan akta-akta seperti ISA, AUKU, Akta Hasutan 1948, Akta Polis 1967 dan sebagainya dilihat seolah-olah telah menodai hak demokrasi rakyat sekaligus menyebabkan masalah kepada rakyat. Ini kerana, rakyat susah untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka dalam hal-hal yang berkaitan kepimpinan parti pemerintah. Disamping itu juga didapati bahawa akta-akta ini telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk kepentingan peribadi gologan mereka sahaja.


Saya tidak nafikan mungkin masih terdapat banyak lagi faktor-faktor yang menyebabkan parti politik bukan perkauman ini susah mendapat tempat dalam politik Malaysia selain daripada apa yang diperkatakan di atas. Tetapi percayalah selagi masyarakat Malaysia masih lagi berpaksi kepada sentimen perkauman yang menebal dalam diri setiap kaum, parti politik bukan perkauman pasti sukar untuk mendapat tempat dalam politik Malaysia.


Sekian..

4 comments:

  1. multi racial party? menarik..but dlm negara yg serba prejudis spt malaysia..memang susah hendah hiuplah parti2 sebegini..masing2 cuba utk menjadi hero kaum masing2..but parti x prkauman ini bg saya..menyumbang sdikit sbyak kpada perpaduan..sekurang2nya didalam organisasi parti itu sendiri..kepelbagaian membentuk idea dari pelbagai sudut pandang..-mohd adib akmal-jabatan ilmu tarikh, universitas nasional malaysia..

    ReplyDelete
  2. pandangan n komen yg menarik drp saudara adib..n sy ucapkn trima ksih ats pandangan n komen ini..

    tp bila kte brcakap soal prpaduan ini, bnyak perkara yg boleh dipersoalkn dlm msyrkt Malaysia. Adakah perpaduan itu btl2 wujud dlm klngn masyarakat atau hnya dikalangan golngan elit atau pemimpin sahaja ianya wujud??mmg tidak dinafikn perpaduan itu wujud tp dlm jmlah yg sdkit sahaja sama ada dlm parti politik perkauman atau pun parti politk bukan perkauman. Sebgai contoh dalam Barisan Nasional, perpaduan hnya blh dikatakn wujud dlm golongn atsan sahaja dan dkat golongn bwahan hnya sedikit sahaja..sy boleh katakan disini bahwa perpezaan agama,budaya,bahasa,persekitran antara kaum ini sgt ssh dihapuskn sempadannya dan masing2 hndak menonjolkn dan meningkatkn kaum masing2 sama ada dlm politik, ekonomi mahupun sosial.

    ReplyDelete
  3. parti politik bukan perkauman sukar mendapat di Malaysia? Realitinya benar. Selagi mana isu perkauman itu dimainkan. Lihat sahaja bagaimana semangatnya api perkauman ditiupkan dalam perhimpunan agung parti masing-masing. Politik pemuafakatan wujud hanya sebagai alat golongan elit atasan berkuasa. Kesannya,yang atasan itu punya perpaduan, yang bawahnya punya kesyakwasangkaan. Maka sampai hujung masa, ideologi bukan berasaskan kaum hanya utopia di Malaysia.

    ReplyDelete
  4. ideologi bukan berasaskan kaum hanya utopia di Malaysia...sangat menarik pandangan ini, tq wan.

    xmustahil isu 13 Mei akan berulang semula sekiranya isu perkauman ini tidak ditangani dengan segera. Selagi mana pemimpin-pemimpin atasan ini memainkan isu perkauman dalam setiap perbuatan mereka sama ada dalam ceramah atau pun lain-lain lagi, selagi itulah semangat perkauman akan semakin menebal dalam setiap kaum masing2.

    ReplyDelete